Tangguh ambil alih tanah SRJK Chin Woo – Bernama


Tangguh ambil alih tanah SRJK Chin Woo
20 September 2013

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membuat keputusan untuk menangguhkan pengambilalihan tanah di dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di sini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata tanah seluas 0.169 hektar di dalam kawasan sekolah itu adalah milik kerajaan dan sepatutnya diambil oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 24 Sept ini.

“Kita tangguhkan pengambilalihan tanah itu dan selepas tarikh tersebut tiada apa-apa tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-57 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan melancarkan Kamus Melayu Inggeris Dewan dan produk hasil pelesenan DBP di sini, hari ini.

Julai lalu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berhasrat untuk mengambil tanah di dalam sekolah tersebut bagi membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur yang bernilai RM32.5 juta.

Bagaimanapun keputusan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sejak 1938.

Sehubungan itu, Ali meminta ibu bapa agar tidak lagi bimbang tentang isu pengambilalihan tanah itu, sebaliknya berunding dengan pihak kerajaan.

“Kita masih ada ruang untuk rundingan membabitkan pihak ibu bapa, sekolah serta pejabat tanah dan galian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata proses rundingan akan dijalankan dalam masa terdekat namun tidak memberikan tempoh masa ia akan berlangsung.

Terdahulu dalam ucapannya, Ali berkata penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam, pendidikan, kewangan, kepenggunaan dan media massa akan terus dipertingkat.

Katanya langkah sama juga perlu dilakukan dalam sektor pelancongan dan kebudayaan, kerja raya, sumber manusia, sains, teknologi selain belia dan sukan.

“Bagi pihak kerajaan, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan termasuklah program ‘Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris’.

“Pihak kerajaan juga telah mengeluarkan pekeliling mengenai langkah-langkah memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam,” katanya. – Bernama

Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib: KSN – Bernama


Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib: KSN

2013/08/15 – 17:23:04 PMCetakEmel Kawan
SEPANG: Penjawat awam yang dilapor membelasah isterinya dalam lif seperti yang tersebar di laman web sosial akan dikenakan tindakan tatatertib jika terbukti bersalah, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Selepas polis membuat siasatan, kami akan ambil tindakan sewajarnya. Jika terbukti bersalah akan melalui hukuman yang dikenakan melalui mahkamah.

“Seterusnya tindakan mengikut peraturan yang sedia ada dalam perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Ketua Setiausaha Negara bersama masyarakat Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Sungai Melut di sini hari ini.

Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebar secara meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali dalam sebuah lif hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun. – BERNAMA

Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Bonus Aidilfitri – Bernama


Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Bonus Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini tetap meminta kerajaan memberi bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus itu dapat mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

“Sekarang ramai peniaga yang menaikkan harga barang sempena musim perayaan. Jika diberi bonus setengah bulan itu diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menyatakan kerajaan masih belum membincangkan mengenai pemberian bonus Aidilfitri itu.

Pada Isnin, Ali dilapor berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini yang boleh dianggap sebagai bonus.

Mengulas lanjut, Omar berkata pemberian bonus itu juga dapat menaikkan semangat bekerja dalam kalangan penjawat awam, sekali gus turut membantu meningkatkan produktiviti mereka.

“Bonus setengah bulan yang diberikan secara ‘advance’ kepada penjawat awam bukan sahaja dapat memberi semangat kepada mereka untuk memberikan perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat, malah menggembirakan anggota keluarga mereka kerana persiapan hari raya lebih mudah dan tidak membebankan,” katanya.

Omar juga berkata kenaikan gaji tahunan dan bonus setengah bulan haji sempena Aidilfitri untuk penjawat awam adalah dua perkara berbeza.

Beliau berkata pemberian KGT dua kali pada tahun ini telah dijanjikan oleh kerajaan dan merupakan kenaikan sama rata mengikut gred jawatan tetapi bonus setengah bulan Aidilfitri adalah khusus untuk musim perayaan.

Justeru, katanya Cuepacs amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri itu. – BERNAMA

Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam: Najib – Bernama


Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam: Najib

2013/07/17 – 15:41:36 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

“Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi,” katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Kenyataan CUEPACS itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. – BERNAMA

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam – Utusan


Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam

 

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

“Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam

(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam

sempena pembentangan Bajet 2014 nanti. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130717/dn_34/Aidilfitri-PM-bayangkan-berita-gembira-penjawat-awam#ixzz2ZIx7kUBG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan: Muhyiddin – Bernama


Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan: Muhyiddin

2013/05/24 – 12:31:55 PMCetakEmel Kawan
PHUKET: Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lalu selepas pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baharu, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini.

Beliau berkata proses penggabungan dua kementerian – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi – yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata, penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan ‘Ministry of Education’.

Beliau berkata, walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.
Muhyiddin berkata, sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan membabitkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata, proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah… jadi sebelum kita nak buat keputusan yang membabitkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. – BERNAMA

Penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dijangka selesai sebulan – Bernama


Penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dijangka selesai sebulan

21/05/2013 6:45pm

 

PUTRAJAYA – Penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meringkaskan nama kedua-dua kementerian itu kepada Kementerian Pendidikan dan diharap mendapat persetujuan dalam tempoh segera.

“Proses pencantuman kedua-dua kementerian ini bukan sesuatu yang sukar kerana Kementerian Pelajaran menumpukan kepada sekolah rendah dan menengah telah dilakukan sekian lama sementara itu Kementerian Pengajian Tinggi berurusan dengan pendidikan tinggi telah dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh pimpinan terdahulu.

“Sementara itu, struktur baru kementerian ini sedang disusun. Saya telah

mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Ali Hamsa) dan semalam (berbincang) dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) (Datuk Mohamad Zabidi Zainal) sambil mendengar pandangan dari kedua-dua pimpinan tertinggi sedia ada,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Kementerian Pelajaran dan pegawai-pegawai kanan sektor pengajian tinggi di Kementerian Pelajaran di Kompleks E dan Presint 5. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_29.htm#ixzz2TvomJZTL
Hakcipta terpelihara

Kerajaan akan lancar Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia – Bernama


Kerajaan akan lancar Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia

2013/04/09 – 14:50:40 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) tidak lama lagi yang menyediakan rumah mampu milik kepada penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata perumahan itu akan dibina di atas tanah kerajaan dan ditawarkan pada harga antara 20 dan 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

“Sebagai projek perintis, sebanyak 10,000 unit kediaman berkenaan akan dibina di Putrajaya dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

“Kita juga akan mencari tanah milik kerajaan yang sesuai di bandar besar lain, termasuk di Johor Baharu untuk tujuan berkenaan,” katanya pada Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Johor di Pusat Islam, di sini hari ini.

Katanya, PPA1M bertujuan membantu penjawat awam membeli rumah di bandar besar yang pada masa kini berada di luar jangkauan kuasa membeli mereka.

“Harga rumah mampu milik akan ditawarkan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi serta dilengkapi segala kemudahan asas yang diperlukan,” katanya. – BERNAMA

Tindakan tatatertib serta-merta – Utusan


Tindakan tatatertib serta-merta

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusansabah@utusan.com.my

Kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara menderma untuk Tabung Wira Negara pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 di Putrajaya, semalam.

LAHAD DATU 15 Mac – Mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah menghina pasukan keselamatan akan diambil tindakan tegas termasuk dikenakan tindakan tatatertib serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa menegaskan pihaknya langsung tidak akan berkompromi terhadap tindakan tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab itu.

“Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan sebarkan maklumat palsu yang tidak sahih dan janganlah hendak cuba menjadi orang yang menyebarkan maklumat seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat tentang keadaan pencerobohan di Lahad Datu di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130316/dn_15/Tindakan-tatatertib-serta-merta#ixzz2Neyt56ih
© Utusan Melayu (M) Bhd

Najib: Penjawat awam dapat satu kenaikan gaji tahunan – Bernama


Najib: Penjawat awam dapat satu kenaikan gaji tahunan

11 Mac 2013
Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.

“Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan ‘Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020’, di sini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI). – Bernama