Hilang sejak raya – Metro


Hilang sejak raya

Oleh MOHD FAUZI ABDULLAH
fauzie@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: “Katanya nak pergi beraya tapi sampai sekarang tak pulang-pulang,” kata seorang bapa, Dzuliloniny Abu Samah, 54, ketika menceritakan kehilangan anaknya, Khadijah, 16, yang dipercayai lari dari rumah sejak 21 Ogos lalu.

Dzuliloniny yang bekerja sebagai Pembantu perangkaan itu berkata, pada hari kejadian iaitu Aidilfitri ketiga, Khadijah yang dipanggil adik memaklumkan mahu keluar beraya ke rumah rakannya selepas dijemput teman lelakinya dikenali sebagai Saiful berusia lingkungan 20 tahun, di rumah mereka di Taman Saujana Bukit Katil, Melaka.
“Sebelum keluar dari rumah, dia meminta daripada saya RM150 namun saya hanya memberinya RM100.

 

“Dia hanya memaklumkan mahu keluar beraya ke rumah rakannya bersama Saiful dan saya ada berpesan kepada mereka supaya pulang sebelum malam,” katanya memaklumkan Khadijah adalah anak keenam daripada tujuh beradik.
Dzuliloniny berkata, dia tidak sangka Khadijah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Bukit Baru, Melaka itu menghilangkan diri kerana tidak pernah ada sengketa antara mereka sebelum ini.
“Dia keluar rumah sehelai sepinggang bersama Saiful menaiki motosikal Yamaha RXZ pada hari itu. Saya pelik mengapa dia bertindak demikian sedangkan saya sekeluarga tahu dia berkawan dengan Saiful,” katanya memaklumkan Saiful menetap di Felda Neram, Kemaman, Terengganu.

 

 

Bapa tujuh anak itu berkata, sejak Khadijah menghilangkan diri, dia sudah lebih empat kali berulang-alik dari Melaka ke sekitar Kuantan untuk mencari anaknya itu tetapi gagal walaupun mendapat tahu Khadijah pernah dilihat beberapa kali di bandar ini.
“Saya tinggal sekejap di rumah keluarga isteri saya, Zaharina Harun, 35, di Balok, di sini, semata-mata mahu mencari adik yang lari mengikut teman lelakinya.

 

“Namun, sehingga kini saya masih tidak menemui mereka dan buntu di mana mereka berada,” katanya yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 23 Ogos lalu, jam 8.45 malam.
Menurutnya, dia sudah habis ikhtiar untuk mencari di mana Khadijah berada kerana semua panggilan telefon yang dibuat tidak berjawab.
“Saya pernah menghubungi Saiful namun dia juga enggan menjawab panggilan saya,” katanya.
“Abah merayu pada adik jika terbaca berita ini, pulanglah segera, begitu juga dengan Saiful tolong bawa balik Khadijah ke rumah pakcik,” katanya.
Dzuliloniny meminta orang ramai yang tahu atau mempunyai maklumat serta pernah melihat Khadijah supaya menghubunginya segera di talian 019 6526478 atau 013 9487311.