Kanak-kanak lemas di sungai ketika leka bermain di atas sampan – Sinar Harian


Kanak-kanak lemas di sungai ketika leka bermain di atas sampan

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Kanak-kanak lemas di sungai Terjatuh ketika leka bermain di atas sampan
Salleh terkilan tidak dapat menyelamatkan cucunya yang terjatuh ke dalam sungai Cherang Melintang selepas bermain di atas sampan miliknya.

TUMPAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Kampung Cherang Melintang di sini ketika leka bermain di atas sampan milik datuknya petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa Khairul Anwar Sudin dikatakan mengikut datuk tirinya, Salleh Deraman, 83 ke sungai itu, jaraknya 500 meter dari rumah mereka bersama dua sepupu tiri, Haikal Rozi, 10 dan Normalisa Rozi, 5.

Dua sepupu mangsa terselamat kerana ketika kejadian mereka berada di tebing sungai itu, hanya mangsa naik ke sampan yang diikat kemas pada sebatang kayu di tebing sungai terbabit.

Difahamkan mangsa terjatuh ke dalam sungai apabila dia tidak dapat mengimbangi badannya ketika berdiri kerana bot yang diikat di tebing bergerak.

Mangsa anak sulung daripada tiga beradik merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering.
Ketika kejadian ibu bapanya, Sudin Zakaria, 39 dan Norizan Salleh 32, tiada di rumah kerana menziarahi saudaranya di Kedai Buluh, Kota Bharu.

Salleh berkata, dia bersama arwah, Haikal dan Normalisa menunggang basikal  ke sungai tersebut, bagaimana pun  di pertengahan jalan dia singgah  di rumah Penghulu Mukim Cherang Melintang, Ismail Mat Yusof.

“Tiga cucu saya itu meneruskan perjalanan mereka ke sungai terbabit dengan basikal, saya kemudiannya menyusul selepas itu,” katanya.

Katanya, selepas selesai urusannya dengan penghulu itu, dia meneruskan perjalanan ke sungai tetapi berselisih dengan Haikal dan Normalisa yang nampak tergesa-gesa mengayuh basikal untuk pulang ke rumah.

“Saya tidak sempat bertanya apa-apa dengan dua cucu saya itu, lalu meneruskan perjalanan ke sungai tanpa mengesyaki apa-apa. Dari jauh nampak orang ramai berdiri di tebing sungai terbabit tetapi tidak menyangka ada kejadian lemas dan yang lemas itu adalah cucu sendiri.

Mujur ada orang kampung di seberang sungai terbabit ternampak cucu saya terjatuh,” katanya.
Menurutnya, dia terus terjun ke sungai mencari cucunya dan menyelam sebanyak lima kali tetapi gagal sebelum minta bantuan bomba.

Katanya, dia redha dengan pemergian cucunya walau pun beberapa jam sebelum kejadian arwah begitu manja  apabila memeluk dan merayu agar membenarnya mandi sungai Cherang Melintang itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Rosli Muhammad berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran di lokasinya jatuh pada jam 7.30 petang.

“Operasi mencari dilakukan selepas pihak bomba terima panggilan jam 6.58 petang. Seramai 8 anggota termasuk tiga Pasukan Penyelamat Unit  di Air bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Kedai Buluh Kota Bharu, pagi semalam.

Lelaki culik 3 kanak-kanak dipenjara 4 tahun – Utusan


Lelaki culik 3 kanak-kanak dipenjara 4 tahun

RASAH 28 Nov. – Seorang lelaki dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Seremban, dekat sini hari ini selepas mengaku bersalah menculik tiga kanak-kanak dan mencuri sebuah kereta milik bapa mangsa Khamis lalu.

Rose Azrool Mohd. Arshad, 34, mengaku menculik Muhammad Hazimi Khairul Anwar, 12, dan dua adiknya, Muhammad Hanif, 3, serta Muhammad Haziq, 1, daripada jagaan Norhayati Shahimi, 42, di hadapan pasar mini di Taman Desa Dahlia, Senawang di sini kira-kira pukul 2.20 petang, 22 November lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Bekas pekerja kedai makan itu turut didakwa mencuri sebuah kereta jenis Proton Wira bernombor pendaftaran KAH 4537 milik Khairul Anwar Zakaria pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121129/ma_01/Lelaki-culik-3-kanak-kanak-dipenjara-4-tahun#ixzz2DZHPo8P5
© Utusan Melayu (M) Bhd

2 sahabat baik ditelan lubuk – Metro


2 sahabat baik ditelan lubuk

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
USUNG...anggota bomba dan penyelamat Balai Kuala Kubu Bharu mengangkat jenazah mangsa yang  lemas di Air Terjun Sungai Kedondong, Batang Kali,  semalam.
USUNG…anggota bomba dan penyelamat Balai Kuala Kubu Bharu mengangkat jenazah mangsa yang lemas di Air Terjun Sungai Kedondong, Batang Kali, semalam.

BATANG KALI: “Saya lemah lutut dan trauma kerana hanya mampu melihat dua rakan karib tenggelam dan timbul ditelan lubuk pusar tanpa mampu berbuat apa-apa,” kata Khairul Anwar Md Asri, 16, menceritakan detik cemas dialami Muhammad Syawal Syahiran Kamarolzaman, 18, dan Alif Anwar Amiruddin, 21, yang lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Kedondong, Jalan Genting Highlands, dekat sini semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.57 pagi, ketika dia bersama lapan rakan sekerja lain berkunjung ke pusat perkelahan itu bagi menghabiskan cuti.
Katanya, rakan lain berumur 16 dan 21 tahun yang berada atas tebing juga hanya mampu melihat dua mangsa terkapai-kapai lemas ketika mereka mula turun hendak mandi di kawasan itu. “Saya terkedu dan trauma melihat kejadian berlaku di depan mata itu.

 

“Saya nampak Alif cuba selamatkan Muhammad Syawal tetapi gagal malah mereka lemas bersama,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam. Menurutnya, pada awalnya, mereka cuba meninjau kawasan cetek dan ketika itu, Alif turun ke sungai sebelum diikuti Muhammad Syawal.
Katanya, mereka cuba mencari kawasan cetek kerana Muhammad Syawal tidak tahu berenang.
Beliau berkata, rakan lain cuba menyelamatkan mereka dengan menghulurkan sebatang kayu tetapi gagal.

 

 

Khairul Anwar berkata, sebelum kejadian, Alif sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada teman wanitanya mengatakan dia mahu pergi tanpa menyatakan tempat dituju.
Menurutnya, SMS itu dihantar jam 8.54 pagi sebelum mereka bergerak ke tempat kejadian dari Kuala Lumpur.

 

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Hulu Selangor, Noor Azhar Tajudin berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa mandi.
Menurutnya, mayat pertama iaitu Alif ditemui jam 12.50 tengah hari dan Muhammad Syawal jam 2.05 petang di celah batu.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.
Bapa Muhammad Syawal yang juga anggota polis bertugas di Brickfields, Koperal Kamarolzaman Ismail, 44, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HKKB, berkata, dia bergegas ke HKKB selepas mendapat panggilan daripada isterinya, Laila A Hasan, 41, memaklumkan kejadian malang menimpa anaknya itu.
Katanya, anaknya kerap bercuti ke beberapa kawasan air terjun bersama keluarga setiap hujung minggu dan cuti umum.
“Saya sedih menerima dugaan Allah ini namun pasrah dengan suratan takdir.
“Arwah tidak menceritakan lokasi dituju dan hanya memberitahu ibunya, mahu berkonvoi menaiki motosikal ke Batang Kali,” katanya.
Bapa kepada Alif, Amiruddin Hashim, berkata, keluarganya dihubungi rakan anaknya itu pagi semalam dan bergegas ke HKKB untuk mengetahui kejadian sebenar.
Katanya, kejadian malang menimpa anaknya cukup pilu dan bagaikan sukar diterima kerana berlaku terlalu pantas.
“Kami masih tidak percaya apa yang berlaku. Kebahagian keluarga hilang sekelip mata. Tidak sangka cuti anak bertukar mimpi buruk akhirnya.
“Arwah seorang anak bertanggungjawab, penyayang dan kelakar,” katanya ditemani isterinya, Seripah Mat Kasim, 43, di sini semalam.
Turut menziarahi keluarga mangsa di sini adalah sepupu Seripah, isteri Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan iaitu Datin Rabiatul Adawiah Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26

Anak Karim cemerlang SPM terima sumbangan – Utusan


Anak Karim cemerlang SPM terima sumbangan

KHAIR Najid Karim (tengah) menunjukkan sijil penghargaan yang diterima kepada ibu bapanya, Siti Hawa Mohd. Ariff (kanan) dan Karim Sulaiman pada Majlis Anugerah Ibu Bapa dan Pelajar Cemerlang SPM 2012 anjuran Khairul Group di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 5 April – Anak pemenang Anugerah Kajai 2001, Karim Sulaiman, 51, iaitu Khair Najib adalah antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diraikan oleh Khairul Group.

Khair Najib yang memperoleh 9A pada SPM lepas, menerima sumbangan RM500 yang disampaikan oleh Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat di sini hari ini.

Karim yang menderita penyakit papular mucinosis turut hadir ditemani isterinya, Siti Hawa Mohd. Ariff pada majlis tersebut.

Menurut Siti Hawa, kejayaan Khair Najib, yang cacat tangan kanan, menjadi kebanggaan beliau dan suaminya yang tidak mampu bertutur dengan lancar dan perlu dibantu untuk menjamah makanan.