Merajuk ibu tak mampu biaya sekolah – Metro


Merajuk ibu tak mampu biaya sekolah

 7  2 Google +0  0  0

Johor Bahru: Akibat merajuk dengan ibu yang bekerja sebagai tukang cuci kerana tidak mampu membiayai persekolahan, seorang remaja perempuan, Siti Nurul Soleha Jafery, 13, menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Flat Laman Tasik Pandan di sini, sejak 24 Mac lalu.

Lebih membimbangkan, remaja itu dipercayai menghilangkan diri bersama seorang lelaki baru dikenali yang kononnya menjadi abang angkatnya.
Ibu remaja perempuan itu, Habibah Daing Marakah, 46, berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu tidak bersekolah sejak Jun tahun lalu kerana masalah kewangan keluarga.

 

Menurutnya, sejak setahun lalu dia terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga dengan pendapatan RM600 sebulan selepas suaminya, Jafery Atan, 46, hilang upaya akibat kemalangan di tempat kerja.
Katanya, dengan pendapatan bulanan itu, dia perlu membayar pinjaman perumahan bank sebanyak RM230 sebulan selain membeli pelbagai barangan dapur untuk empat ahli keluarga yang tinggal di rumah berkenaan.
“Siti Nurul Soleha atau mesra dengan panggilan Leha dan abangnya, Mohamad Solihin, 14, (anak kelima) tidak dapat bersekolah sejak pertengahan tahun lalu kerana saya tidak mampu membiayai tambang bas sekolah berjumlah RM90 sebulan.

 

“Pada masa sama, kami nyaris kehilangan tempat tinggal kerana rumah ini hampir dilelong selepas bayaran tertunggak selama lima bulan.
“Mujurlah Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tampil membayar tunggakan itu bagi membolehkan kami terus tinggal di rumah ini,” katanya. Berikutan itu, sesiapa mempunyai maklumat berkaitan anaknya diminta menghubungi 017-7503075.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08

UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia – Bernama


UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia

02/02/2012 7:44pm

 

TANJUNG MALIM 2 Feb. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini akan menubuhkan sebuah sekolah makmal pertama di Malaysia yang meliputi prasekolah sehingga sekolah menengah secara berperingkat-peringkat bermula pada awal tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, penubuhan sekolah makmal itu berharga RM41 juta mampu memberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya kepada penuntut dan siswazah UPSI.

Operasi, kokurikulum dan pengurusan sekolah dalam universiti ini dijalankan sepenuhnya oleh UPSI, katanya kepada pemberita selepas melawat UPSI hari ini.

Beliau berkata, sekolah makmal tersebut diwujudkan yang melambangkan status dan peranan UPSI sendiri sebagai sebuah universiti pendidikan yang tersohor di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, sekolah makmal bagi peringkat prasekolah telah dimulakan pada awal tahun ini, tetapi menumpang di sebuah bangunan di UPSI.

“Setakat ini kami mempunyai 70 orang kanak-kanak tadika di sekolah kami dan tahun depan kita akan mulakan peringkat seterusnya satu persatu iaitu peringkat sekolah rendah apabila mereka mula naik ke tahun satu,” katanya. – BERNAMA