21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini – Bernama


21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini

20 Oktober 2012
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Seramai 21,610 murid Tahun 2 hingga Tahun 5 di Terengganu berjaya mengkhatamkan al-Quran secara serentak dalam majlis berasingan yang diadakan di setiap daerah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 6,383 murid melakukannya di Kuala Terengganu, 3,186 (Besut), 2,653 (Setiu), 2,551 (Marang), 2,555 (Dungun), 2,349 (Kemaman) dan 1,933 (Hulu Terengganu).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan itu adalah bukti keberkesanan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan syiar Islam.

Beliau berkata bagi Terengganu, sebanyak RM36 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan kelas Kafa dan sehingga ini, seramai 21,000 hingga 30,000 murid berjaya mengkhatam al-Quran setiap tahun.

“Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.- Bernama

Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua – Bernama


Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

7 Mac 2012
Pelajar terbaik STPM Terengganu amal empat petua

BESUT – Seorang daripada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri Terengganu, Siti Aisyah Syahirah Azman dariSekolah Menengah Agama Maarif di sini sentiasa mengamalkan empat perkara yang beliau anggap telah menentukan kejayaannya.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini berkata amalan yang dilakukan secara ikhlas setiap hari itu mempermudahkan beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran sehinggalah mencapai kejayaan dalam semua matapelajaran yang diambil.

“Saya selalu amalkan sembahyang sunat dhuha, sembahyang hajat, baca Al-Qurandan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolahnya selepas menerima keputusan STPM di sini hari ini.

Gadis berusia 19 tahun ini memperolehi ‘A’ dalam Pengajian Am, Usuluddin,Syariah dan Sejarah serta ‘B+’ dalam Bahasa Arab.

Siti Aisyah Syahirah, anak seorang ahli perniagaan dan ibunya seorang guru agama, berkata masanya tidak pernah dibiarkan berlalu dengan kosong tanpa kegiatan yang berfaedah yang sekurang-kurangnya dipenuhi dengan membaca Al-Quran.

Menurutnya beliau telah khatam Al-Quran sebanyak 12 kali sejak berumur 12 tahun dan bercita-cita untuk menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dalam bidang pendidikan.

Siti Aisyah Syahirah antara tiga pelajar terbaik negeri Terengganu selain Abdul Rahim Abdullah dari SMKA Durian Guling, Marang dan Rosmalizai Adanan dariSMK Tengku Ibrahim, Setiu. – Bernama