Giant, Nobita masuk jawi – Metro


Giant, Nobita masuk jawi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seorang ayah menggelarkan dirinya sebagai Doraemon, manakala dua anaknya sebagai Giant dan Nobita untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada mereka yang menyertai Majlis Khatan Perdana anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, semalam.

Zaidi Harun, 39. menggelarkan dirinya Doraemon memberi semangat kepada anak sulung, Muhammad Adam Harith, 10 dan kedua, Muhammad Alif Hazran, 9 walaupun proses berkhatan sudah selesai bagi menenangkan kedua-dua anak lelakinya.
Tindakan itu dibuat selepas Muhammad Adam menangis ketakutan ketika dibius doktor sebelum dikhatankan, berbanding Alif yang lebih tenang dan hanya mengerang sepanjang proses itu.

 

“Ayah Doraemon, abang (Muhammad Adam) Giant, jadi kena kuat, tak boleh menangis. Alif pula Nobita, kena kuat juga, tak boleh mudah menyerah kalah ketika berdepan dengan sebarang kejadian.
“Kalau nak jadi pemimpin pun tak boleh takut kena berani,” katanya ketika menenangkan anaknya.
Sementara, Alif Hazran ketika ditemui berkata, dia hanya gementar dan takut ketika dibius doktor, tetapi perasaan itu hilang ketika proses berkhatan walaupun sakit sikit.

 

 

“Saya tak menangis, abang yang menangis. Takut juga bila nak khatan, tapi bila selesai dah rasa lega. “Lepas ni saya dan abang kena berpantang dulu, tak boleh lasak sangat,” katanya ketika ditemui.

Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid – Sinar Harian


Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Peserta khatan dirai naik kereta kuda keliling masjid
Peserta khatan diarak dengan menaiki kereta kuda mengelilingi masjid An-Nur sebelum mereka dikhatankan.

TUMPAT – Suasana di perkarangan Masjid An-Nur meriah apabila seramai 39 peserta khatan diraikan dengan perarakan menaiki kereta kuda sempena majlis khatan perdana, di sini, semalam.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kota Kubang Labu itu turut dimeriahkan dengan menyuap pulut semangat kepada peserta sebelum mereka dikhatankan.

Pengerusi KRT Kota Kubang Labu, Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood berkata, setiap tahun acara berkhatan perdana diadakan di sini dan tahun ini mendapat kerjasama dengan Masjid An-Nur.

“Pihak KRT mengenakan bayaran RM30 kepada setiap peserta walau pun kos berkhatan sebenarnya hampir RM80. Perbelanjaan selebihnya ditanggung oleh pihak KRT,” katanya ketika ditemui pada Majlis Khatan Perdana tersebut.

Menurutnya, seramai lima doktor disediakan untuk proses berkhatan itu dan ada antara doktor itu adalah penduduk dalam KRT ini.

“Penyertaan peserta tidak terhad kepada kanak-kanak dalam KRT ini sahaja kerana semasa pendaftaran tersebut ada peserta dari jauh luar dari daerah ini,” katanya.

Majlis berkhatan ini dirasmikan  timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad merupakan Pengerusi Masjid An-Nur.

Majlis khatan beramai-ramai imarahkan masjid – Bernama


Majlis khatan beramai-ramai imarahkan masjid

13 November 2012

SUNGAI PETANI – Kesedaran bahawa masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat umat Islam melakukan ibadat solat mendorong penduduk di Kampung Sungai Pasir di sini menganjurkan majlis khatan beramai-ramai di  masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Muhibbuddin di kampung itu, Ali Ahmad berkata program julung kali tersebut mendapat kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah dewan khas untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan, justeru fungsinya perlu diperluas, tidak hanya memfokus kepada ibadat solat semata-mata.

“Dengan adanya program seperti ini, ia bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat sebaliknya mengimarahkan lagi masjid ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Wakil MRA, Dr Mohd Saifullah Alhany Abdul Halim pula berkata program itu adalah yang kedua bagi MRA tahun ini dengan tujuan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat setempat.

“Untuk program hari ini, lebih 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun selamat dikhatankan dengan bantuan tujuh doktor serta dibantu lebih 15 sukarelawan dan anggota MRA,” katanya. – Bernama

Murung selepas berkhatan – Sinar Harian


Murung selepas berkhatan

IZWAN ROZLIN
6 Mac 2012
anak

PETALING JAYA – Seorang remaja memerlukan kos rawatan bagi memulihkan anggota sulitnya yang mungkin tidak boleh berfungsi selepas dikhatankan menggunakan peralatan tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

Ibu mangsa, Ummi Kalsom Ahmed, 40, berkata, anaknya yang kini berusia 14 tahun bakal menanggung risiko alat sulitnya tidak dapat berfungsi akibat kejadian berkenaan.

Menurutnya, pada 2008, anaknya mengikuti majlis khatan yang dianjurkan sebuah masjid dengan kerjasama sebuah jabatan agama, bagaimanapun anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun terpaksa dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti apabila mengadu sakit.

“Dia ditahan wad selama dua bulan, doktor ketika itu memaklumkan terpaksa melakukan pembedahan dengan menampal kulit perit pada alat sulitnya selepas ia rosak akibat dijangkiti kuman,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, di sini.

Meskipun sudah empat tahun berlalu, Ummi Kalsom berkata, anaknya kini berada dalam keadaan tertekan.

“Saya mahu meneruskan rawatan, namun sehingga kini, tiada mana-mana pihak yang mahu tampil membantu, malah sejak kejadian itu tiada individu mengakui kesalahan yang menyebabkan kejadian seumpama ini berlaku.

“Saya mahu lihat anak saya pulih dan menjalani kehidupan normal seperti remaja lain yang sedang meningkat dewasa,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Ummi Kalsom di talian             016-3734007      .