Kes culik murid di Pulau Pinang selesai: Polis – Bernama


Kes culik murid di Pulau Pinang selesai: Polis

2012/05/18

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya kes penculikan kanak-kanak berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang Isnin lalu selesai selepas penahanan seorang wanita yang juga suspek utama kurang dari 24 jam selepas kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supt Baharudin Mustapha, berkata berdasarkan siasatan terhadap wanita berusia 23 tahun yang juga rakan kepada ibu kanak-kanak itu, dia bertindak menculik T Purani secara bersendirian berikutan dendam terhadap keluarga mangsa.

“Polis yakin kes ini selesai dengan penahan wanita terbabit kerana berdasarkan siasatan, hanya dia seorang yang menculik kanak-kanak itu tanpa dibantu oleh sesiapa.

“Dia akan direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Purani, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Perai dilapor diculik berikutan dia tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah Isnin lalu.

Kejadian itu disedari nenek mangsa lalu memberitahu kepada ibu mangsa yang kemudianya membuat laporan polis.

Difahamkan suspek turut meminta wang tebusan berjumlah RM24,850 daripada keluarga mangsa jika mahu kanak-kanak terbabit selamat.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Baharudin berkata polis sedang mengesan beberapa suspek bagi membantu siasatan berhubung kes tauke ladang ayam yang ditemui mati dengan kesan jerut dileher dan tangan diikat di Taman Impian, Alma, kelmarin.

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan lebih dari seorang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan. – BERNAMA

‘Ambillah nyawaku’ – Metro


‘Ambillah nyawaku’

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin  yang melepuh dan berdarah.
SAKIT…Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin yang melepuh dan berdarah.

SUNGAI PETANI: “Saya sedih melihat keadaannya kerana setiap hari dia (Noor Ashikin) memohon kepada Tuhan agar ambil saja nyawanya kerana tidak tahan menanggung derita akibat kegatalan pada badannya yang dialami sejak Julai tahun lalu,” kata Suraya Maidin, 45, ibu kepada Noor Ashikin Mohd Irwan, 17, yang kulitnya melepuh dan berdarah tanpa diketahui puncanya.

Keadaan itu menyebabkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di sini, tidak ke sekolah kerana sukar memakai pakaian berikutan kulit badannya tertanggal dan berdarah sehingga tidak mampu menahan kesakitan.
Suraya yang berniaga nasi lemak berkata, penyakit Noor Ashikin mula dikesan selepas dia mengadu gatal seluruh badan sepulang dari sekolah dan apabila membuka baju, mendapati seluruh kulit badannya menggelembung dan selepas itu pecah.

 

Menurutnya, sejak itu seluruh tubuh anaknya sentiasa berdarah dan Noor Ashikin tidak boleh terdedah kepada keadaan panas kerana kulitnya akan kembali menggelembung dan pecah serta berdarah menyebabkannya meraung kesakitan.
Noor Ashikin masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak awal bulan ini.
Suraya yang juga ibu tunggal dan tinggal di Flet Paya Nahu di sini berkata, sejak mengalami penyakit itu, Nor Ashikin sudah beberapa kali dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan HSAH bagi menerima rawatan, tetapi doktor pakar gagal mengenal pasti penyakit anaknya.

 

 

“Sebelum ini, dia pernah dirawat selama sebulan di HSB dan rawatan susulan di HSAH selepas penyakitnya didapati berkurangan. Bagaimanapun, selepas seminggu keluar hospital, penyakit itu datang kembali menyebabkan anak saya dimasukkan semula ke hospital.
“Terbaru, 8 April lalu apabila dia dimasukkan ke HSAH akibat kulitnya tertanggal dan seluruh badannya berdarah.

 

“Dia kini masih dirawat di HSAH dan keadaannya semakin beransur pulih, tetapi beberapa bahagian tubuh yang tertutup seperti ketiak, pinggang dan kedua-dua paha masih berdarah.
“Saya sedih melihat keadaannya yang menanggung penderitaan. Tidurnya juga tidak lena kerana sakit, malah tempat tidurnya perlu dilapik dengan plastik bagi mengelak kulitnya yang tertanggal, melekat,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin, yang memohon sesiapa saja membantu mencari cara menyembuhkan penyakit anaknya itu.