Ceupacs mahu penjawat awam kibar Jalur Gemilang – Bernama


Ceupacs mahu penjawat awam kibar Jalur Gemilang
15 Ogos 2013
  •  Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
< 1 / 1 >

MELAKA – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman meminta 1.4 juta penjawat awam di negara ini memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.

Malahan kata beliau, semua kenderaan rasmi kerajaan termasuk lori dan bas juga perlu dipasang Jalur Gemilang sebagai lambang semangat cintakan negara selaras dengan tema sambutan ‘Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku’.

Langkah ini juga sebagai penghargaan kepada kerajaan yang sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan insentif, katanya.

“Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila hendak meriahkan sambutan hari kemerdekaan setahun sekali pasang bendera susah.

“Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara takkan hendak beli bendera sebatang pun tak boleh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu hadir sesi kunjungan hormat Cuepacs Melaka terhadap Ketua Menteri Datuk Idris Haron sempena 100 hari pentadbiran beliau.

Omar berkata beliau juga akan mengadakan lawatan mengejut ke beberapa bangunan rasmi kerajaan di seluruh negara untuk melihat pelaksanaan pemasangan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini.

“Tahun lepas saya pergi di kebanyakan pejabat kerajaan tapi sambutan kemerdekaan sunyi sepi tanpa pemasangan bendera. Bukan perlu belanja yang besar pasang lampu macam sambutan hari raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan penjawat awam terutama golongan suami agar tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan imej sektor itu.

Beliau mengulas rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan seorang lelaki, dipercayai penjawat awam, membelasah isterinya di hadapan dua anak mereka, ketika berada di dalam lif di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.

Rakaman itu disebar luas menerusi media sosial.

Sementara itu pada satu majlis di NILAI, Negeri Sembilan, Omar berkata Cuepacs melihat saranan penambahan anggota polis sebagai tepat pada masanya susulan kejadian jenayah yang dilihat meningkat, terutama membabitkan kes tembak.

Langkah itu juga katanya dilihat dapat mempertingkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan. – Bernama

‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’


‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’

3 Ogos 2013
  • 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'
< 1 / 1 >

PUTRAJAYA – “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” dipilih tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 tahun ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata tema tersebut telah dipersetujui Jemaah Menteri.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut KKMM, tema yang lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa itu dipilih untuk mengingatkan rakyat kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara.

“Selaras dengan pendekatan tema ini, konsep sambutan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara.

“Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna di Sabah menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan,” menurut kenyataan itu.

Sempena pemilihan tema ini, KKMM berkata satu pertandingan logo kemerdekaan telah diadakan selama 10 hari dan Noor Hishammudin Omar dipilih sebagai pemenang utama dengan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Untuk meraikan Hari Kemerdekaan Ke-56 ini, menurutnya beberapa acara akan diadakan termasuk majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang yang akan diadakan pada 16 Ogos di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah.

Sambutan Ambang Merdeka akan diadakan buat pertama kalinya di Pusat Maritim Putrajaya dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti bermula 5 petang anjuran Perbadanan Putrajaya, termasuk Karnival Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya.

“Perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan Ke-56 akan diadakan di Dataran Merdeka yang melibatkan persembahan pasukan keselamatan negara yang terdiri daripada gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Acara yang melibatkan empat segmen iaitu Rukun Negara, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat:Tanah Tumpahnya Darahku dengan penyertaan lebih kurang 4,000 orang termasuk acara formasi di padang, pameran aset pasukan keselamatan negara dan demonstrasi lintas udara oleh PDRM dan ATM akan diadakan”.

Sempena Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia, KKMM berkata Sabah dan Sarawak akan mengadakan pelbagai acara bagi memeriahkan sambutan termasuk acara bot berhias yang akan diadakan di tebingan Sungai Sarawak pada 15 September dan
pelancaran duit syiling khas sempena Jubli Emas di Padang Merdeka, Kuching pada 16 September.

“Di Sabah, sambutan acara Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 akan diadakan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu bermula 15 September termasuk aktiviti Karnival Rakyat dan acara kemuncak sambutan pada 16 September yang akan dimeriahkan dengan penyertaan kesemua 35 kumpulan kaum atau etnik yang lengkap dengan pakaian tradisional suku kaum masing-masing,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dan Jubli Emas Hari Malaysia Ke-50 menerusi http://www.malaysiamerdeka.gov.my. – Bernama

Majlis Pelancaran Kempen Kibar


Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sekolah-Sekolah Malaysia, Peringkat Kebangsaan, Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan ke-55, 2012

Maklumat lanjut lihat laman web sebelum ini di sini.

Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012


Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012

Untuk maklumat lanjut, sila muat turun Kertas Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012
Muat turun
Panduan Pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Aktiviti Berkaitan Sempena Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-55, Tahun 2012