Dua pelajar kita terima anugerah galakan INESPO – Berita Harian


Dua pelajar kita terima anugerah galakan INESPO
Oleh Suhaila Shahrul Annuar
bhnews@bharian.com
2012/06/17
SHADISHWAREN dan Anis Sabihah menunjukkan anugerah yang dimenangi ketika tiba di KLIA, semalam.
Menang tempat keempat projek alam sekitar di Belanda

SEPANG: Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, memenangi tempat keempat Anugerah Galakan di ‘International Environment And Sustainability Project Olympiad’ (INESPO) di Belanda, minggu lalu.
P Shadiswaren, 16, dan rakannya Anis Sabihah Aidid, 16, memperoleh kejayaan itu menerusi projek sains yang berasaskan kepada ekstrak karbon tangkai pisang yang dibakar untuk menyerap asid dari air yang bercampur bahan pewarna yang dihasilkan oleh industri tekstil.
Projek mereka dinamakan ‘Once Ignore Now Hero: Banana Stalk Based Activated Carbon (BSAC) As Low Cost Adsorbent For Basic and Reactive Dyes Control’.

Kejayaan itu akan membolehkan mereka mewakili Malaysia dalam Pameran Sains Antarabangsa di Hong Kong tidak lama lagi.

Mereka bersaing dalam kalangan lebih 300 pelajar dari 42 negara lain yang mempamerkan 150 projek dalam pertandingan itu.

Anis Sabihah berkata mereka berpuas hati kerana usaha gigih bersama guru dan rakannya untuk mencipta projek sains berkenaan membuahkan hasil.
“Segala usaha dan penat lelah kami terbalas dengan kejayaan dalam pertandingan itu. Kejayaan ini boleh dijadikan sumber inspirasi kepada semua bahawa bahan terbuang yang kita sangka tiada guna sebenarnya memberi manfaat yang sangat bernilai,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, petang semalam.

Sementara itu, guru penasihat, Go Seow Ann, berkata mereka mengambil masa lebih setahun untuk melakukan penyelidikan bagi menghasil bahan yang bermanfaat untuk industri tekstil itu.

“Biasanya, kilang tekstil akan mengalirkan air bercampur pewarna yang digunakan untuk mewarna kain ke sungai atau laut dan asid yang terhasil daripada pewarna kain sangat berbahaya kepada alam sekitar.

“Kami berharap inisiatif ini bukan hanya dapat memberi manfaat kepada industri tekstil, malah membantu kita menjaga alam sekitar, sekaligus membuktikan Malaysia mempunyai projek sains dan inovasi bertaraf dunia,” katanya.