37 murid keracunan – Sinar Harian


37 murid keracunan

NORMAWATI ADNAN
24 Julai 2013
37 murid keracunan
Adun Buntong, A Sivasubramaniam turut melawat mangsa keracunan.

BUNTONG – Seramai 37 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guru Kalgidar, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Buntong setelah mengadu sakit perut dan muntah dipercayai keracunan makanan.

Kejadian membabitkan murid tahun satu hingga enam itu dikesan berlaku selepas semua murid mengambil makanan di kantin sekolah pada waktu rehat kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, semua murid yang menerima rawatan sebagai pesakit luar itu mengaku sakit perut, muntah, pening dan cirit-birit antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan Jabatan Kesihatan mendapati, kemungkinan gejala itu berpunca daripada sejenis makanan dikenali sebagai idli iaitu makanan tradisi masyarakat India yang diperbuat daripada tepung beras yang dikukus.

“Kita syak semua murid ini telah dijangkiti bakteria bacillus cereus yang terdapat dalam makanan itu, sampel makanan sudah diambil untuk tujuan ujian makmal dan kita akan tunggu laporan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, arahan penutupan kantin sekolah sudah dilakukan serta-merta.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, sekolah berkenaan hanya memperoleh 62.1 peratus terhadap penilaian pendidikan kesihatan kepada murid sekolah dan guru.

“Saya agak kecewa kejadian seperti ini boleh berlaku.  Kita tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitamkan pengendali kantin yang didapati bersalah,” katanya.

Daripada laporan yang diterima daripada Jabatan Kesihatan negeri, 36 murid mengalami sakit perut, muntah (27), pening (10), cirit-birit (10), dan semua murid dibenarkan pulang pada jam 1.30 petang, semalam.

Sinar Harian difahamkan, sekolah berkenaan terpaksa menumpang gerai makanan luar untuk dijadikan kantin berikutan ketiadaan kemudahan itu.

Pegawai Khas Menteri Besar, C Sivaraj berkata, perkara itu berlaku berikutan jumlah murid yang sedikit iaitu seramai 97 orang.

Katanya, pihaknya sebelum ini ada menyarankan agar dibina kantin, namun timbul masalah pemilikan tanah apabila pihak swasta tidak membenarkan sebarang binaan kekal dibuat di kawasan itu.

Kereta cikgu ‘terbang’ – Metro


Kereta cikgu ‘terbang’

 2  1 Google +1  0  0

Rembau: Seorang guru berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya ‘terbang’ hampir 10 meter akibat dirempuh sebuah kereta sebelum melanggar pagar dawai Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Jelawai di Kilometer 3, Jalan Seberang Batu Hampar-Mampong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, Rahimah Osman, 44, yang juga guru Sekolah Kebangsaan Seberang Batu Hampar, Chembong dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rembau untuk membuat pemeriksaan tekanan darah.
Suami mangsa, Mohd Hisham Zainal, 46, berkata, sebaik menerima panggilan isterinya, dia yang berada di rumah di Taman Sri Rembau bergegas ke tempat kejadian dan bersyukur isteri selamat dan tidak cedera, tetapi trauma.

 

“Sejurus sampai di tempat kejadian isteri sudah keluar kereta dan dibawa orang ramai ke klinik. Saya dimaklumkan bahagian belakang kereta isteri dilanggar sebuah kereta. “Perlanggaran itu mengakibatkan isteri gagal mengawal stereng dan mungkin tertekan minyak menyebabkan kereta meluncur ke depan dan melanggar pagar dawai tanah perkuburan ini,” katanya. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara Aeroback dipandu seorang pekerja kilang dari Seberang Batu Hampar ke Mampong dipercayai mengekori terlalu rapat dan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang kereta jenis sama yang berada di hadapan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10, Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

20 murid SK Bukit Lintang keracunan susu – Utusan


20 murid SK Bukit Lintang keracunan susu

JASIN 21 Mei – Seramai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Umbai setelah mendakwa sakit perut dan muntah-muntah dipercayai akibat keracunan makanan.

Kejadian melibatkan murid tahun satu dan tiga itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi dan mereka mengadu mengalami sakit perut selepas minum susu kotak 1Malaysia.

Bagaimanapun, kesemua murid yang mendapat rawatan di klinik berkenaan dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada susu yang diminum oleh pelajar dan dikhuatiri tercemar. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130521/dn_31/20-murid-SK-Bukit-Lintang-keracunan-susu#ixzz2Tvdpb5ph
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru maut ketika sambutan Hari Guru – Bernama


Guru maut ketika sambutan Hari Guru

16 Mei 2013

ALOR SETAR – Seorang guru wanita meninggal dunia selepas mengalami serangan sakit jantung ketika menyertai sukaneka sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Pendang hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi, mangsa Che Maznah Mad Isa, 56, yang dikatakan menyertai permainan kerusi berirama di dewan sekolah, tiba-tiba rebah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Suami mangsa, Sudarji Shatry, 53, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian isterinya.

“Arwah sebelum ini tidak pernah mempunyai sebarang penyakit kritikal dan tidak pernah mengadu sakit,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Che Maznah yang mengajar subjek Matematik, berkhidmat selama 32 tahun di sekolah itu dan disifatkan seorang guru yang tegas.

Arwah berasal dari Alor Setar, menetap di Kampung Banggol Petai Luar, Pendang dan mempunyai tiga orang anak.

Mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pendang.- Bernama

Dua anak dipukul guru – Sinar Harian


Dua anak dipukul guru

AZLINA OTHMAN
8 April 2013
Dua anak dipukul guru
Hamzah menunjukkan dua laporan polis yang dibuat dan gambar muka anaknya, Muhammad Hafiz Hisham yang didakwa ditampar guru.

KULAIJAYA – Seorang bapa mendakwa dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun yang bersekolah di sebuah sekolah rendah di daerah ini dipukul guru masing-masing tanpa alasan yang munasabah.

Bapa berkenaan menyuarakan kekesalan terhadap tindakan guru-guru terbabit yang didakwa memukul pada bahagian muka dan kepala anak-anaknya dalam kejadian berasingan.

Pengawal keselamatan, Hamzah Abdul Hamid, 47, berkata, kejadian pertama dikesan berlaku sekitar dua bulan lalu apabila anaknya, Siti Nuraishah, 12, enggan ke sekolah selepas didakwa dikasari gurunya.

“Saya mengetahui hal ini seminggu selepas kejadian. Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah kerana dipukul pada bahagian kepala menggunakan rotan di hadapan rakan lain selepas tidak dapat menjawab soalan Matematik.

“Saya kemudiannya datang ke sekolah untuk merujuk perkara itu kerana Siti Nuraishah tidak mahu ke sekolah
seperti ketakutan malah malu akibat dipukul.

“Ketika cuba mendapatkan penjelasan, guru besar sekolah hanya memaklumkan akan menyiasat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hamzah berkata, dia ada membawa Siti Nuraishah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara dan diarahkan ke Hospital Kulai dan hasilnya terdapat kesan bengkak pada bahagian kepala.

“Keesokannya, saya merujuk perkara ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulaijaya bersama laporan kesihatan anak dan mereka beritahu akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Kemudian, belum pun reda kisah si kakak, Hamzah mendakwa anak lelakinya, Muhammad Hafiz Hisham, 10, pula ditampar
pada bahagian muka hingga meninggalkan sedikit kesan calar dengan alasan tidak membawa buku, baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila nampak muka Muhammad Hafiz Hisham merah dan ada kesan calar seperti ditampar.

Anak saya mengaku tidak membawa buku dan mahu berkongsi dengan kembarnya Muhammad Hafiz Hashim di dalam kelas.

“Saya khuatir kerana anak saya menghidap penyakit saluran jantung sempit kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Saya merujuk perkara itu ke sekolah, tapi alasan yang sama diberikan iaitu siasatan akan dilakukan,” katanya.

Dia yang tidak berpuas hati dengan situasi itu mahu dua guru terbabit tampil memohon maaf atas kekasaran dilakukan.

Katanya, dia tidak tidak marah tindakan yang diambil jika benar mahu menghukum kerana anak-anaknya melakukan kesalahan.

“Tetapi, jika mahu mengajar pelajar, gunalah cara yang betul dan tidak menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru.
Janganlah sampai dipukul pada bahagian muka atau kepala.

“Sebagai bapa, saya kesal dengan kejadian yang berlaku. Saya anggap perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia merupakan masalah kecil,” katanya.

Terdahulu, Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tenggara, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan dan sekiranya guru terlibat didapati bersalah, tindakan selanjutnya mengikut prosedur ditetapkan akan diambil.

Guru wanita naik minyak belasah murid – Sinar Harian


Guru wanita naik minyak belasah murid

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013

KETENGAH JAYA, Dungun – Perselisihan faham antara anak lelaki dengan rakan sebaya menyebabkan seorang ibu yang juga guru sekolah hilang pertimbangan apabila sanggup bertindak membelasah seorang murid tahun tiga.

Akibatnya, mangsa yang juga seorang cucu peneroka cedera akibat dipukul oleh guru berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku di salah sebuah sekolah di Felda Ketengah Jaya beberapa hari lalu ketika hari persekolahan.

Sumber memaklumkan, guru terbabit dikatakan naik minyak selepas anak lelakinya mengadu berlakunya pertelingkahan antara dia dan mangsa ketika berada di sekolah pada 18 Februari lalu.

Beberapa hari kemudian, suspek dikatakan memanggil mangsa masuk ke bilik guru sebelum memukulnya dengan kasut, selain menumbuk di bahagian perut.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan perut.

Difahamkan, ketika guru wanita itu memukul mangsa, beberapa guru ada di lokasi terbabit dan hanya menyaksikan kejadian.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya berkaitan kejadian terbabit, selain turut mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya atas kecederaan dialami.

Pelajar maut terkena renjatan elektrik – Utusan


Pelajar maut terkena renjatan elektrik

KLANG 27 Feb. – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di hadapan Sekolah Menengah Tengku Idris Shah, Kapar di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 1.05 petang itu, mangsa, Mohammad Amirul Syafiq Halim (gambar), 15, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kapar sebelum jenazahnya dibawa ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dibedah siasat.

Mohammad Amirul dikatakan terkena renjatan tersebut daripada kotak pembekal elektrik yang terletak di luar kawasan sekolah itu dipercayai milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tidak ditutup dengan sempurna.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang menunggu bas untuk pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Kapar kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130228/dn_18/Pelajar-maut-terkena-renjatan-elektrik#ixzz2MAiQc2FO
© Utusan Melayu (M) Bhd

2 lemas main air banjir – Metro


2 lemas main air banjir

 73  9 Google +2  1  0

Oleh Rosliza Mohamed

Machang: Keseronokan bermain air banjir membawa padah apabila dua remaja terbunuh selepas bot yang mereka naiki bersama lima rakan terbalik di kolam ikan sedalam 2.4 meter di Kampung Pertok, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi sebelum mayat Muhammad Zulkhairi Ab Talib, 15, dan Mohammad Ariff Johan Mohd Noh, 13, ditemui kira-kira setengah jam kemudian oleh penduduk kampung.

Abang kepada Muhammad Zulkhairi, Mohd Zahari, 29, berkata sebelum itu sebaik selesai bersarapan, ibu mereka, Hanifah Mamat, 53, sudah menasihatkan adiknya supaya tidak keluar rumah.

“Adik tidak ke sekolah hari ini (semalam) kerana jalan ke sekolah ditenggelami banjir. Bagaimanapun, dia tetap keluar dan kira-kira jam 11 pagi, seorang jiran memaklumkan adik lemas,” katanya.

FotoHANIFAH (tengah) ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui anaknya lemas.

Mayat pelajar Sekolah Menengah (SMK) Temangan dan SMK Pankal Meleret itu dibawa ke Klinik Kesihatan Temangan sebelum dirujuk di Hospital Machang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/articles/2lemasmainairbanjir//Article#sthash.9mEw7NWX.dpuf

75 murid keracunan – Metro


75 murid keracunan

 8  0 Google +0  1  0

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Norul Awatif Romli

Klang: Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Bukit Kapar, Meru, di sini, gempar apabila 75 murid sekolah berkenaan mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit dipercayai keracunan makanan selepas sesi rehat, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, murid berkenaan masing-masing dari tahun empat hingga enam mengadu sakit perut selepas waktu rehat sebelum pihak sekolah menghubungi pasukan perubatan daripada klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kejadian sama berlaku kelmarin apabila terdapat murid yang sakit perut.

 

Pasukan perubatan yang melakukan rawatan membawa dua murid perempuan ke Klinik Kesihatan Meru untuk diberikan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.
Bapa murid, Zamri Saadan, 36, ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya, Nur Nadiah Farhana, 12, selepas pulang ke rumah jam 2 petang, semalam.
Menurutnya, Nur Nadiah juga pulang dalam keadaan kurang bermaya kerana dia dimaklumkan mengalami sakit perut selepas memakan nasi goreng pada waktu rehat. “Ini kejadian pertama sejak anak saya belajar di sekolah berkenaan. Mujur keadaannya tidak serius dan dia boleh meneruskan persekolahan pada sesi petang seperti biasa,” katanya, semalam.

 

FotoDUA murid di kawasan kantin sekolah terbabit.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurut Mahmud, kakitangan Pejabat Kesihatan Klang turut hadir ke sekolah berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut kejadian itu.

 

“Selepas saringan kesihatan dijalankan, dua murid dihantar ke Klinik Kesihatan Meru untuk mendapatkan rawatan susulan namun semua mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Katanya, kantin sekolah berkenaan juga diarahkan untuk ditutup sementara sehingga 5 Mac ini bagi membolehkan siasatan mengenai tahap kebersihan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Sebar Akta Kanak-kanak 2001 – Sinar Harian


Sebar Akta Kanak-kanak 2001

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
Sebar Akta Kanak-kanak 2001
Kakitangan klinik kesihatan memberi borang soal selidik HIV dan AIDS kepada pelajar tingkat empat sekolah tersebut.

TANJUNG IPOH – Statistik salah laku kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi 2012 mencecah 38 kes yang kebanyakannya melibatkan kecurian.

Pegawai JKM Bahagian Kanak-kanak, Emelia Kamarulzaman, berkata, Akta Kanak-kanak 2001, menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

“Peringkat usia kanak-kanak di bawah akta ini ialah 18 tahun ke bawah. Akta ini merujuk kepada perlindungan kanak-kanak, melalui aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap mereka.

“Contoh penderaan seksual menurut Akta Kanak-kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam sebarang aktiviti berunsur seks. Perkara seperti ini perlu dicegah sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui selepas Program Remaja HIV dan Sayangi Diri Anda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Samad, dekat sini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, akta tersebut perlu disebarkan kepada generasi muda terutama di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Buat masa ini, pihak JKM telah pergi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Tinggi, SK Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Muhammad dan SMK Tunku Besar Burhanuddin.

“Pihak JKM amat mengalu-alukan pihak klinik kesihatan untuk bekerjasama dengan kami bagi memberi pendedahan maklumat kepada remaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Terachi, Ahmad Awaludin berkata, program tersebut mensasarkan remaja supaya mereka tidak terjebak kegiatan jenayah yang merosakkan masa depan sendiri.

“Kita khuatir, ramai anak Melayu yang tersasar akibat perbuatan sendiri.

“Tidak bersekolah, mencuri, melakukan perbuatan dilarang dalam Islam. Semua ini perlu dibendung dari peringkat awal supaya ia tidak berleluasa,” katanya.

Ahmad menyatakan, melalui program tersebut, sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran, kefahaman, secara lebih terperinci berhubung HIV dan Aids.

“Melalui ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Terachi, Dr Farhana Mohd Yusuf, menerangkan kepada remaja cara hidup sihat bebas HIV dan Aids.

“Saya berharap, dengan adanya program ini dapat meningkatkan pengetahuan remaja selain memberi manfaat kepada pelajar tingkatan  empat,” katanya.