Murid tahun empat cemas, kenderaan dipandu ibu dirempuh – Sinar Harian


Murid tahun empat cemas, kenderaan dipandu ibu dirempuh

M FEISAL NORAWI
11 Januari 2013
Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Keadaan dua Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di simpang lampu isyarat SK Mentakab Jaya, Kampung Megat Segama, Temerloh semalam.
Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Latifah dan anaknya Umi Aishah ditenteramkan orang ramai yang membantu dalam kejadian semalam.

TEMERLOH – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya di sini mengalami saat mencemaskan apabila kenderaan dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat hadapan sekolah dekat  Kampung Megat Segama di sini, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Latifah Abd Ghani 42, yang memandu Perodua Myvi baru keluar dari simpang sekolah selepas mengambil anaknya Umi Aishah Mohd Nasir untuk pulang ke rumah di Taman Seri Kemuning.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat menghala ke bandar Temerloh bertukar hijau dia terus memandu keluar dari simpang sekolah tetapi secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bandar Temerloh terus merempuh bahagian hadapan keretanya.

“Akak terkejut sangat, tiba-tiba kereta akak dirempuh sebelah kanan dan berpusing ke kiri,” katanya di tempat kejadian semalam.

Latifah berkata, akibat rempuhan itu kereta dipandunya beralih kedudukan manakala Perodua Myvi yang melanggarnya terbalik.

Latifah bersama anaknya kemudian dibantu orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Songsang.

Kedua-dua beranak itu dilaporkan hanya alami bengkak-bengkak di tangan.

Sinar Harian yang kebetulan berada di tempat kejadian merakamkan detik cemas orang ramai cuba membantu mengeluarkan dua mangsa dari kereta yang terbalik.

Sementara itu, menurut penumpang wanita dalam kereta Perodua Myvi yang merempuh kereta Latifah, dia bersama adik lelakinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

“Kami ada temu janji di hospital, sampai di sini tiba-tiba terbabit kemalangan, nak buat macam mana lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Beberapa peniaga berhampiran tempat kejadian menggesa pihak berkuasa meletakkan lebih banyak papan tanda keselamatan di kawasan terbabit selain memanjangkan tempoh lampu isyarat di situ.

4 sahabat nyaris maut kereta terjunam dalam sungai – Sinar Harian


4 sahabat nyaris maut kereta terjunam dalam sungai

MOHD AZLIM ZAINURY
5 Disember 2012
4 sahabat nyaris maut kereta terjunam dalam sungai
Perodua Viva ini dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

MARANG – Empat sahabat nyaris maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka dipercayai terbabas, lalu terjunam ke dalam sungai di Kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Kampung Gong Balai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, pemandu kereta, Sharil Amri Muhammad Suhaimi, 25, bersama tiga penumpang, dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, kereta itu dipercayai dipandu laju menyebabkannya terbabas ke sebelah kiri jalan dan nyaris melanggar besi pengadang jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira 1.5 meter.

Akibatnya, pemandu, Sharil Amri tidak sedarkan diri manakala tiga lagi rakannya, Wan Syamil Asyraf Wan Ramli, 17, dan Nurul Shaffiqa Mohd Mustaffa, 15, serta Nurul Shaira Shaari, 15, tidur sebelum kejadian berlaku.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian, sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sharil Amri yang dikatakan lemas dan cedera di bahagian dahi akibat terhantuk, dilaporkan stabil selepas menerima rawatan kecemasan, manakala tiga lagi penumpang hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Niat murni bapa bertukar tragedi – Sinar Harian


Niat murni bapa bertukar tragedi

SAPINAH AB GHANI
3 Disember 2012
Niat murni bapa bertukar tragedi
Ramli (empat, kanan) sayu melihat jenazah Mohamad Fikri di Klinik Kesihatan Balai, Bachok sebelum dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat, kelmarin.

KOTA BHARU – Niat murni seorang bapa memberi pendedahan fardu ain bertukar tragedi apabila menerima khabar kematian anak lelakinya selepas lemas ketika mandi di Pantai Senak di sini, kelmarin.

Ramli Isnin, 53, berkata, anak bongsu daripada lapan beradik itu dihantar mengikuti program di masjid berhampiran rumah mereka sebagai mengisi masa lapang sempena cuti sekolah.

“Pengajian tersebut selama tiga minggu, dan akan berakhir 6 Disember nanti,” katanya kepada media ketika ditemui di Klinik Kesihatan Balai, Bachok, di sini, kelmarin.

Ramli berkata, kali terakhir dia berjumpa Mohamad Fikri yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Langgar Khamis lalu, sebelum anaknya menyuarakan hasrat untuk pulang ke rumah.

“Saya nasihatkan agar menghabiskan program tersebut tambahan ia hanya berbaki seminggu, dia akur,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui Mohamad Fikri dibawa ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan daripada rakannya memaklumkan kejadian itu kira- kira jam 4 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat sebelum disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Mohamad Fikri antara 21 pelajar yang sedang mengikuti Kem Motivasi Solat, Program Penghayatan al- Quran dan Sunah di Masjid Pasir Lada, Pasir Hor bermula 18 November hingga 6 Disember dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Senang, Telipot malam kelmarin.

Manakala, tiga lagi rakannya yang nyaris lemas dalam kejadian itu, Muhammad Noriman Mat Fadzli, 15, dihantar ke HRPZ II, selain Mohd Faiz Abdul Majid, 13, dan Ahmad Mohd Syed, 12, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan lanjut kini dilaporkan stabil.

Calon SPM cedera elak anjing – Sinar Harian


Calon SPM cedera elak anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Oktober 2012
Calon SPM cedera elak anjing
Hamsinah menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya Mohd Nor Afif Irham.

Terseret beberapa meter selepas terjatuh dari motosikal

BENUT – Seorang pelajar sekolah menengah tercedera apabila motosikal yang ditungganginya terjatuh dan terseret beberapa meter, gara-gara mengelak dua ekor anjing liar yang muncul secara tiba-tiba, dalam kejadian berhampiran Parit Serom, dekat sini, Isnin lalu.

Kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika Mohd Nor Afif Irham Abd Rashim, 17, dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan.

Menceritakan detik cemas yang dilalui, Mohd Nor Afif Irham berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tanpa diduga.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sri Tanjung itu berkata, menjadi rutinnya pada setiap malam Isnin ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan yang diadakan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya tak sangka kemunculan anjing liar itu memandangkan keadaan jalan ketika itu amat tenang dan sunyi.

“Secara tiba-tiba sahaja dua ekor anjing liar muncul di tengah jalan,

“Saya cuba mengelak, tapi malangnya saya terjatuh dan terseret ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Markom, dekat sini, semalam.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.

Katanya, seorang penduduk yang tinggal di situ datang memberikan pertolongan kepadanya.

“Saya terus menghubungi rakan saya, dan saya dibawa menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Mujur saya tidak mengalami kecederaan yang teruk dan hanya mengalami luka di bahagian kaki, tangan dan badan,” katanya.

Ibunya, Hamsinah Omar, 51, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya amat terkejut dan khuatir Afif akan mengalami kecederaan teruk yang menyebabkan dia tidak boleh mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini.

“Mujur, kecederaan Afif tidak serius,” katanya.

Jelasnya, laluan itu sudah biasa digunakan anaknya itu untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Parit Markom.

Dia amat berharap agar kemalangan yang menimpa anak ketiga dari enam adik beradik itu dijadikan iktibar kepada pihak berkuasa yang terbabit untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah anjing-anjing liar di situ.

Difahamkan, kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku, kerana sebelum ini terdapat juga kemalangan yang melibatkan penduduk disebabkan oleh anjing-anjing liar sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

Beri izin suntik anak – Metro


Beri izin suntik anak

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Ibu bapa diminta memberi kerjasama membenarkan anak mereka mendapatkan suntikan pelalian demam campak melalui aktiviti dijalankan Kementerian Kesihatan di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi berlaku jangkitan khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, aktiviti suntikan membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun itu dilakukan di klinik kesihatan, taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak kerajaan serta swasta dan kediaman seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Aktiviti itu diadakan dari Oktober hingga Disember tahun ini bagi mencegah jangkitan demam campak.

 

“Pejabat Kesihatan Daerah yang terbabit akan mengumumkan tarikh dan tempat pemberian suntikan diadakan melalui edaran risalah sekurang-kurangnya seminggu sebelum aktiviti itu dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dr Hasan berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 1,569 kes demam campak dicatatkan iaitu pada kadar 55 kes bagi setiap sejuta penduduk, manakala bagi tahun ini, sehingga Jun lalu sebanyak 1,224 kes dicatatkan.
Menurutnya, sebanyak 70 peratus daripada kes demam campak dikesan itu didapati tidak mendapat suntikan pelalian.

Warga emas, remaja maut kemalangan – Utusan


Warga emas, remaja maut kemalangan

KUANTAN 24 Ogos – Seorang wanita warga emas dan seorang pelajar tingkatan empat maut dalam dua kemalangan jalan raya di Pahang, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata dalam kejadian pertama di Kilometer (KM) 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, dekat Bera, Khadijah Tan, 60, mati selepas motosikal yang dibonceng melanggar seekor lembu.

“Kejadian berlaku pukul 3.20 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak ke atas jalan.

Katanya, mangsa cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan, sementara penunggang pula hanya cedera ringan.

Menurut Mohamed Fauzi, kemalangan kedua berlaku pukul 4 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Motosikal yang ditunggang Ahmad Raziman Ab. Razak, 16, dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak ke atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah. – BERNAMA

Pelajar maut motosikal rempuh kereta – Bernama


Pelajar maut motosikal rempuh kereta

31 Julai 2012
KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Felda Lepar Hilir 4 dekat sini malam tadi.

Muhammad Amirul Ermey Anuar, 17, dari Felda Lepar Hilir 4, Gambang mati ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah berkata dalam kejadian 11.30 malam itu pemandu kereta terbabit yang datang dari arah Felda Hilir 4 sedang membelok ke kanan untuk masuk ke rumahnya.

“Ketika membelok ke simpang kanan, keretanya dirempuh motosikal yang ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal mangsa tiada lampu dan kawasan itu juga agak gelap,” katanya di sini hari ini.

Mohd Rizal berkata mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gambang untuk rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan pada 1.30 pagi tadi.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun – Bernama


Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun

29 Julai 2012

Kanak-kanak berusia sembilan tahun, Tuan Mohd Hafiz setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup ketika bermain mercun itu di Kampung Kuala Kangkong. – Foto Bernama
Mohd Sohibullah, 27, dipercayai mungkin buta mata di sebelah kirinya, cedera di bahu dan tangan kiri setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup.
ALOR SETAR – Dua cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, kanak-kanak terbabit Tuah Mohd Hafiz Mohd Razli, 9, cedera di dahi dan badan sementara jirannya Mohd Sohibollah Saad, 27, cedera di mata, bahu dan tangan kiri.

Mercun bola itu dibeli Mohd Sohibollah di Bazar Ramadan di Tandop dua hari lepas dan merancang untuk bermain bersama Tuah Mohd Hafiz sementara menunggu waktu berbuka puasa, petang semalam.

“Masa kejadian…saya yang pegang mercun dan dia menyalakan api sebelum sumbu mercun tersebut jatuh ke dalam bekas plastik berisi 40 biji mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam semalam.

Katanya, sumbu mercun yang terjatuh dan masih menyala itu tidak sempat dibuang dari bungkusan mercun bola yang berada berdekatan.

Rentetan itu, satu letupan kuat berlaku dan Mohd Hafiz terpelanting dan tidak sedarkan diri, kata Mohd Sohibollah yang bekerja di sebuah syarikat percetakan di sini.

Katanya, panik dengan keadaan yang menimpa Tuah Mohd Hafiz, dia segera mendapatkan bantuan jiran dan kedua-dua mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Empat sebelum dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Mohd Ghazali berkata Sohibollah telah selesai menjalani pembedahan pada matanya dan kini ditempatkan di wad mata hospital berkenaan.

“Dia ditempatkan di wad itu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara Tuah Mohd Hafiz yang sebelum ini dirawat di wad Kanak-kanak HSB telah dibenarkan pulang.- Bernama

Pelajar dua sekolah keracunan makanan – Sinar Harian


Pelajar dua sekolah keracunan makanan
WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Julai 2012

Sebahagian murid dibawa ke sekolah setelah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gunung Rapat, semalam.
Pelajar yang dipercayai keracunan makanan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, semalam.
SEREMBAN – Lebih 70 pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) di sini, keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), semalam.

Kejadian sejak tengah malam kelmarin itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.

Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata, 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kirakira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.

“Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan. Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.

Beliau mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak keracunan makanan.

Beberapa pelajar terbabit ketika ditemui berkata, mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.

Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata, dia mula mengalami sakit perut sejak malam kelmarin sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.

“Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.

“Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata, dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Razak mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan akan menyiasat kejadian berkenaan.

Sementara itu di IPOH, kira-kira 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat apabila dikesan keracunan makanan selepas menikmati nasi goreng di kantin sekolah berkenaan, semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi melibatkan murid tahun 4, 5 dan 6 yang terlibat dalam sesi pagi persekolahan

Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara, Marazlan Amran ketika dihubungi memaklumkan, semua murid terlibat kini dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau bagaimanapun memaklumkan masih menunggu laporan lengkap berkaitan insiden itu sebelum tindakan lanjut.

Keracunan makanan di dua sekolah – Utusan


Keracunan makanan di dua sekolah

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my

SEKUMPULAN murid SK Sungai Rapat yang menerima rawatan pesakit luar selepas dipercayai keracunan makanan di Klinik Kesihatan Gunung Rapat, Ipoh, semalam.
SEREMBAN 16 Julai – Seramai 15 daripada 72 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said di sini dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini hari ini kerana disyaki mengalami keracunan makanan selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit.

Difahamkan, pelajar sekolah terbabit mengadu sakit perut selepas bersarapan dan makan tengah hari di asrama sekolah berkenaan semalam.

Seorang pelajar, Nur Farhana Abd. Raup, 17, berkata, dia mula sakit perut selepas bersarapan bihun yang disediakan di asrama berkenaan pagi semalam.

“Pada mulanya saya tidak rasa apa-apa tetapi pada sebelah malam perut saya mula sakit dan terpaksa ke tandas beberapa kali,” katanya di sini hari ini