Guru, pembantu guru Tabika Perpaduan ditawar kontrak 3 tahun – Bernama


Guru, pembantu guru Tabika Perpaduan ditawar kontrak 3 tahun

22 Mei 2012
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

PUTRAJAYA – Semua 3,400 guru dan pembantu guru Tabika Perpaduan di seluruh negara akan ditawar kontrak baru selama tiga tahun mulai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata sebelum ini, kesemua guru dan pembantu guru ditawar kontrak setiap tahun dan ini menyebabkan ‘unsur ketidaktentuan’ di kalangan mereka kerana khuatir kontrak ditamatkan.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada guru dan penolong guru Tabika Perpaduan yang bertungkus lumus mendidik generasi muda negara.

“Saya berharap dengan insentif ini, para pendidik di Tabika Perpaduan akan meningkatkan mutu dan kualiti pengajaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Kecemerlangan Warga Kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) hari ini.

Seramai 315 warga kerja JPNIN dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Pada masa ini terdapat 1,732 Tabika Perpaduan di seluruh negara. Ia ditubuhkan mengikut kawasan Rukun Tetangga bertujuan menyediakan kemudahan pendidikan asas untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun khasnya dari golongan berpendapatan rendah, di samping menyemaikan benih keharmonian dan perpaduan.

Sementara itu, Koh berkata perlindungan insurans kemalangan bagi anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM40,000, mulai tahun ini.

Beliau berkata terdapat 2,910 SRS dengan jumlah anggota peronda seramai 145,000 orang di seluruh negara sehingga tahun lepas.

Selain itu, Koh berkata JPNIN mensasar untuk melahirkan 300 mediator komuniti yang mempunyai kemahhiran mediasi dan secara sukarela setiap tahun.

Sehingga tahun lepas, beliau berkata seramai 519 mediator telah dilatih dengan menjalani kursus kemahiran proses mediasi komuniti yang dikendalikan Pakar Sosio-psikologi Datuk Dr Wan Halim Othman.

“Intervensi mediator komuniti terbukti berjaya membantu menyelesaikan pertelingahkan dan mententeramkan keadaan di kalangan masyarakat agar tidak mencetuskan konflik,” katanya.

Sementara itu, Koh menyaran semua rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan negara agar Malaysia kekal sebagai 20 negara paling aman di dunia.

Beliau berkata menurut kajian Global Paece Index (GPI) 2011, Malaysa adalah negara ke-19 paling selamat daripada 154 negara di seluruh dunia.

“Kemungkinan pada tahun ini, kedudukan Malaysia akan menurun kerana beberapa demonstrasi dan kelakuan ganas telah berlaku akhir-akhir ini..Ini bergantung kepada kita semua untu mengekalkan keamanan negara,” katanya.

Malaysia menduduki tangga ke-38 pada 2008, sebelum memperbaiki kedudukannya daripada tempat ke-26 pada 2009 kepada tempat ke-22 pada 2010. – Bernama

Persefahaman mula di sekolah – Berita Harian


Persefahaman mula di sekolah
Oleh Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2012/02/22

MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada   pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Petaling Jaya, semalam.

MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Petaling Jaya, semalam.

Murid mesti dididik pentingnya menghormati masyarakat majmuk

PETALING JAYA: Langkah mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam mengenai pentingnya menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama, haruslah bermula pada peringkat sekolah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara dapat menjana kekuatan lebih besar pada depan apabila rakyat tidak melihat kelainan dan perbezaan antara satu sama lain.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu akan membolehkan warga pendidik, guru, ibu bapa dan pelajar mengutamakan kepentingan untuk tidak menyentuh dan menghormati sensitiviti kaum lain.

“(Sebaliknya) kita menghormati kelainan kita, menerimanya sebagai suatu warisan yang kita hargai yang mungkin tidak banyak terdapat di negara lain seperti Malaysia.

“Ada negara yang mempunyai satu agama tetapi mempunyai pelbagai puak, bergaduh dan berperang sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, matlamat negara adalah untuk terus mewujudkan persefahaman dan mewujudkan perpaduan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi negara yang maju.

Katanya, Malaysia berjaya mencatat pelbagai kemajuan yang besar dan tinggi hasil daripada kerjasama semua bangsa dan penganut agama di negara ini.

“Sama ada kita Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya, kita dapat terima ini sebagai kepelbagaian dan Malaysia menjadi maju kerana kita berjaya wujudkan suasana yang sebegini.

“Justeru, kita mahu suasana ini kekal dan dapat diterjemah dalam bentuk yang lebih konkrit, maka kita akan dapat menentukan perkara yang lebih utama dalam aspek pembangunan, pendidikan, ekonomi, sosial serta aspek politik,” katanya.