BERITA HARIAN BERTARIKH 22 JANUARI 2013 – SMS BERKAITAN 1MURID 1SUKAN


BERITA HARIAN BERTARIKH 22 JANUARI 2013 – SMS BERKAITAN 1MURID 1SUKAN

22 February 2013

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS “RUFFEY:BHA20234” dalam ruangan Rakan@bh akhbar Berita Harian bertarikh 22 Januari 2013.

 

KPM merujuk kepada SMS – Pembangunan sukan di sekolah dan merealisasikan satu murid, satu sukan memerlukan pentadbir yang meminati sukan dan betul-betul turun padang. Bukan sekadar pandai mengarah.

 

Ingin dimaklumkan bahawa hasil kajian yang telah dilakukan oleh Bahagian Sukan KPM  mengenai Pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan; Persepsi dan Penerimaan Pengetua dan Guru Besar didapati bahawa 95% Pengetua dan Guru Besar bersedia untuk memberi kerjasama dalam melaksanakan Dasar 1Murid 1Sukan.

 

Selain itu, semua Pengetua dan Guru besar sedia maklum bahawa sukan merupakan salah satu komponen wajib dalam kokurikulum sekolah. Oleh yang demikian, pihak pentadbir seharusnya memainkan peranan secara positif dan turut serta dalam memastikan komponen sukan ini dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak terutamanya di sekolah.

 

Pihak pentadbir sekolah turut dibantu oleh Penolong Kanan Kokurikulum dan juga Setiausaha Sukan Sekolah. Mereka merupakan tonggak dan kumpulan penggalak yang telah dipilih berdasarkan penglibatan aktif mereka di dalam bidang sukan. KPM berharap semua Pengetua dan Guru Besar termasuk juga golongan 5% lagi dapat sama-sama “turun padang” dan menjayakan Dasar 1Murid 1Sukan ini. Selain itu, penerangan dan bahan bantu mengajar boleh diperolehi di laman webwww.moe.gov.my/bsukan

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sekolah pondok persendirian di Terengganu diminta daftar dengan JPNT – Bernama


Sekolah pondok persendirian di Terengganu diminta daftar dengan JPNT

30 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Sekolah pondok persendirian di negeri ini disaran agar mendaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan termasuk bantuan awal persekolahan RM100.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tindakan itu juga membolehkan kerajaan memantau sukatan mata pelajaran dan aktiviti kokurikulum sekolah berkenaan supaya selari dengan sistem akademik peringkat nasional.

“Banyak kebaikan dan faedah yang akan dinikmati oleh pelajar dan guru jika sekolah pondok persendirian berdaftar dengan JPNT kerana kita akan meneliti setiap isu di sekolah terutama dari aspek keselamatan dan masa depan pelajar.

“Justeru ibu bapa perlu berhati-hati dalam memilih sekolah yang sesuai untuk menghantar anak mereka mendapat pendidikan kerana tanpa pemantauan kerajaan, kemungkinan pelajar terdedah dengan tindakan atau aktiviti subversif yang boleh memudaratkan masa depan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program bahasa Radio Malaysia Terengganu FM di sini.

Beliau bagaimanapun menegaskan jumlah sekolah pondok persendirian yang masih belum mendaftar dengan JPNT adalah kecil dan mereka bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Mengenai pengagihan bantuan awal persekolahan RM100, Ahmad Razif berkata, hampir semua sekolah sudah menerimanya termasuk yang terletak di pulau-pulau.

“Sekolah di pulau sedikit lewat menerimanya kerana kesulitan untuk ke pulau ekoran musim tengkujuh baru-baru ini, namun pengagihan kepada sekolah di pulau sudah pun selesai,” katanya.

Sebanyak RM25.46 juta bantuan persekolahan diagihkan kepada seramai 254,634 orang pelajar di seluruh Terengganu mulai 15 Januari lalu. – Bernama

NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus – Berita Harian


NGO tolak kaedah beri markah 10 peratus

Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2012/05/22

Minta kaji semula pertandingan tulis surat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan tidak bersetuju kaedah pemberian 10 peratus markah penilaian kokurikulum sekolah kepada peserta pertandingan menulis surat 1Malaysia.

Ia memberi jalan pintas kepada pelajar memperoleh markah maksimum dalam kokurikulum tanpa perlu membabitkan diri dalam aktiviti lain.

Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja. – Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)

Sehubungan itu, mereka meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula perkara itu kerana ia bakal mendatangkan masalah kepada pihak sekolah dalam menggalakkan pelajar terbabit dalam semua aktiviti kokurikulum.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata pemberian markah itu juga disifatkan terlalu tinggi berikutan hanya membabitkan satu cabang kokurikulum.

“Aktiviti kokurikulum membabitkan empat bidang termasuk sukan, badan beruniform, persatuan seni dan ilmu. Jadi, jika ia hendak dilaksanakan juga, sepatutnya markah diberikan adalah satu per empat daripada 10 peratus supaya pelajar boleh membabitkan diri melalui tiga aktiviti lain dan tidak bertumpu pada cabang itu saja.

“Perkara ini juga harus diperjelaskan semula supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pelajar dan tidak bertentangan dengan hasrat untuk melihat pelajar aktif dalam bidang kokurikulum secara keseluruhan termasuk sukan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Pos Malaysia menganjurkan pertandingan menulis surat 1Malaysia bermula 1 April lalu dan pelajar yang mengambil bahagian akan menerima 10 peratus daripada markah penilaian kokurikulum sekolah bagi menghargai penyertaan mereka dalam program itu.

Ia terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara berusia 9 hingga 17 tahun dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 menanti pemenang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata penghargaan bagi peserta pertandingan itu seharusnya tidak membabitkan pemarkahan pelajar dalam sistem persekolahan, sebaliknya lebih baik jika difokuskan kepada ganjaran lain dalam bentuk fizikal.

Pada masa sama, katanya, pemberian 10 peratus itu juga disifatkan tidak adil bagi pelajar lain yang terpaksa berkorban masa dan tenaga memperoleh markah maksimum melalui aktiviti sukan, berbanding peserta pertandingan itu.