Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien – Berita Harian


Dua lagi suspek disyaki terbabit bunuh Nurul Aien

2012/02/27

TAIPING: Polis mengesyaki ada lebih dua suspek yang dikenali mangsa terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan yang ditemui maut dalam kolah di bilik air rumahnya, di sini petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata siasatan awal polis di tempat kejadian mengesyaki kematian Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang ditemui lemas dengan keadaan kepala dan separuh badannya berada dalam kolah selain turut cedera di kepala, tidak dilakukan suspek secara berseorangan.

Sehubungan itu, katanya, polis kini melakukan usaha memburu suspek lain yang dipercayai terbabit selepas menahan seorang suspek berusia 18 tahun awal pagi kelmarin dan kini direman tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan.

“Kami percaya ada suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. Polis juga percaya mangsa mungkin mengenali suspek yang ditahan itu memandangkan dia tinggal berdekatan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, jam 4.30 petang Jumaat lalu.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Yusof berkata, polis juga menolak dakwaan mangsa dirogol berdasarkan hasil bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, kelmarin.
Katanya, suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa dan cuba merogol serta mencabul mangsa, tetapi gagal apabila mangsa melawan sebelum dipukul dengan objek keras di kepala.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan lemas akibat kepalanya dibenam di dalam kolah, selain kesan kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Nurul Aien tidak dirogol – Utusan


Nurul Aien tidak dirogol

 

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

 

IPOH 26 Feb. – Polis hari ini mengesahkan kematian seorang pelajar perempuan yang ditemui dalam kolah di bilik air rumahnya di Changkat Jering dekat sini Jumaat lalu, tidak melibatkan serangan seksual.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd. Diah berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat Nurul Aien Mohd. Saimon mendapati mangsa maut akibat lemas.

Menurut beliau, hasil bedah siasat itu juga mendapati, kecederaan belakang kepala mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Berdasarkan laporan ini, polis percaya mangsa tidak dirogol dalam kejadian tersebut, sebaliknya mangsa mati akibat lemas di dalam kolah.

“Kita percaya semasa kejadian, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga mangsa ditekan atau dicampak ke dalam kolah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Nurul Aien, 16, ditemui mati dalam kolah di rumahnya di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Wan Ahmad Rasdi, dekat sini bersendirian di rumahnya.

Yusuf berkata, ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun yang direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Berdasarkan maklumat awal, kata beliau, polis tidak menolak kemungkinan suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian kemungkinan suspek dan mangsa mempunyai hubungan,” jelasnya.

Menurut Yusuf, sehingga kini pihaknya masih belum menjumpai senjata yang digunakan untuk memukul mangsa dalam kejadian tersebut.

Dibenam dalam kolah – Metro


Dibenam dalam kolah

Laporan dan foto YAHYA AWANG
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERKEJUT... Saedah dengan anaknya Mohd Azrul menceritakan kejadian yang menimpa Nurul Aien.
TERKEJUT… Saedah dengan anaknya Mohd Azrul menceritakan kejadian yang menimpa Nurul Aien.

TAIPING: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut, dipercayai dirogol sebelum kepalanya dibenam di dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, petang kelmarin.

Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato’ Wan Ahmad Rasdi (SMKDWAR) itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.

Dalam kejadian jam 4.30 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, mangsa dikenali sebagai Nurul Aien Mohd Saimon ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.

 
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung jam 4.30 petang.