Jangan lebih-lebih – Metro


Jangan lebih-lebih

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: “Nak lapor polis boleh tapi jangan lebih-lebih. Kalau lebih-lebih, saya datang rompak sekali lagi.”

Begitu ugutan seorang daripada empat perompak bersenjatakan empat parang dan pemotong besi sewaktu memecah masuk dan melarikan barangan berharga dan wang tunai dari rumah seorang guru di Kampung Pelangai, dekat sini, awal pagi semalam, mengakibatkan mangsa kerugian lebih RM5,000.
Seorang daripada suspek berkenaan dipercayai menyelinap ke dalam rumah melalui tingkap bahagian dapur sebelum membuka pintu dapur bagi membolehkan tiga rakannya masuk.

 

Menurut mangsa Shahruzin Ismail, 52, dia bersama isteri Hanim Mohamad, 49, dan lima anak nyenyak tidur apabila dikejutkan kumpulan perompak terbabit yang bertopeng jam 2.30 pagi. “Isteri saya menjerit sebaik ternampak perompak terbabit memasang lampu bilik tidur kami sambil dua perompak mengacukan parang di leher saya dan isteri.
“Tangan kami diikat dan mata saya ditutup dengan kain manakala mulut kami disumbat kain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurut Shahruzin, tangan dan kaki kelima-lima anaknya turut diikat dan mulut mereka disumbat kain dan mereka dihimpunkan di dalam sebuah bilik dan ditutup dengan selimut.

 

FotoBESI tingkap yang dipotong perompak dengan menggunakan pemotong besi.

“Perompak meminta menyerahkan semua wang yang saya ada kerana beranggapan saya orang kaya. Saya cuba jelaskan saya hanyalah seorang guru dan rumah yang kami diami ini adalah rumah sewa manakala isteri saya pula tidak bekerja.
“Semua perompak bagaimanapun melarikan beberapa barangan berharga termasuk tiga komputer riba, lima telefon bimbit, barang kemas, peralatan komputer serta wang tunai dianggarkan RM4,000 dan jumlah keseluruhan dianggarkan melebihi RM5,000,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abd Rahim berkata, siasatan mendapati modus operandi rompakan itu sama seperti kes berlaku di sekitar Johol, baru-baru ini.
“Polis percaya tiga suspek warga negara asing dan seorang dipercayai orang tempatan itu terbabit dengan beberapa siri rompakan seumpama itu di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14

Pengawal keselamatan sekolah disamun – Sinar Harian


Pengawal keselamatan sekolah disamun

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2013
Pengawal keselamatan sekolah disamun
Sebuah laci yang diselongkar penjenayah.

RAWANG – Dua lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini disamun lapan lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian jam 2 pagi baru-baru ini.

Sumber polis berkata, lelaki warga tempatan itu diserang dalam pondok pengawal sekolah berkenaan sebelum diikat pada bahagian tangan dan kaki hampir dua jam.

Menurut sumber, penjenayah mengambil masa hampir dua jam untuk menceroboh kawasan berkenaan dan melarikan beberapa barangan berharga termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan komputer riba.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun barangan miliknya seperti dompet dan telefon bimbit turut dilarikan suspek.

“Kerugian pihak sekolah juga dianggar bernilai lebih RM10,000,” katanya. Kedua-dua mangsa tiba ke balai polis sekitar jam 4.30 pagi selepas menjadi tawanan suspek.

Kemudahan beri manfaat kepada pelajar – Metro


Kemudahan beri manfaat kepada pelajar

 0  0 Google +0  0  0

Klang: Pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkenalkan skim pemilikan komputer riba di sekolah bersama dengan kemudahan Internet seperti terkandung dalam Aku Janji Barisan Nasional mendapat reaksi positif dalam kalangan guru.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan pada program Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama warga pendidik Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Simpang Lima di sini, semalam.
Guru SJKT Ladang Jin Seng, U Yogambigai 33, berkata, kemudahan itu memberikan manfaat kepada semua pelajar terutama sekolah yang terletak di kawasan luar bandar.

 

Dia yang mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Matematik berkata, sekiranya ia terlaksana semua pihak terutama guru dan ibu bapa harus bekerjasama bagi mendidik generasi muda ini supaya tidak janggal dengan peredaran teknologi semasa.
“Saya mengajar di sebuah sekolah yang terletak di luar bandar dan melihat gelagat mereka setiap kali disuruh menggunakan komputer. Jika kita di bandar sudah biasa dengan laman sosial Facebook, tetapi bagi pelajar saya Facebook adalah sesuatu yang baru.
“Hari ini (semalam) saya mendengar sendiri, Timbalan perdana Menteri mengumumkan kemudahan komputer riba untuk setiap pelajar dan kita menyambut baik usaha kerajaan ini,” katanya ketika ditemui di program berkenaan di sini, semalam.

 

Sementara itu, bagi guru SJKT Simpang Lima, S K Fatimah, 54, yang berkhidmat hampir 30 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris berpendapat peluang kaum India dalam melanjutkan pelajaran semakin terbuka.
Katanya, ketika awal berkecimpung sebagai warga pendidik, dia sering melihat SJKT berada di kawasan ladang dan luar bandar, namun keadaan itu semakin berubah sepanjang 50 tahun di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

Fatimah berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan generasi muda terutama di kalangan kaum India harus menggunakan peluang berkenaan.
“Kerajaan sudah memberi segalanya sehingga kita mampu melihat sebuah sekolah SJKT dibina di tengah-tengah bandar seperti lokasi kita berada pada hari ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

PIBG tidak seharusnya ketinggalan dalam arus pendidikan perdana: TPM – Berita Harian


PIBG tidak seharusnya ketinggalan dalam arus pendidikan perdana: TPM

2013/04/08 – 16:41:42 PMCetakEmel Kawan
KLANG: Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) tidak seharusnya ketinggalan dalam arus pendidikan perdana bagi membantu mengangkat kecemerlangan pelajar di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, profesion perguruan bukan hanya sebagai mengisi kekosongan dalam sektor awam tetapi mesti mempunyai minat untuk mengangkat martabat pendidikan negara.

Beliau juga berkata, manifesto BN yang diumumkan perdana menteri turut memasukkan hasrat menyediakan komputer riba untuk setiap pelajar pada tahun depan jika kerajaan BN terus memerintah.

“Hanya kerajaan BN yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam menyediakan ilmu dan pengetahuan bagi merealisasikan visi mengangkat Malaysia sebagai negara maju,” katanya pada perjumpaan khas tpm bersama warga pendidik sekolah jenis kebangsaan tamil di sini, sebentar tadi.

20,000 murid tahun 4 di Terengganu bakal terima E-Book – Bernama


20,000 murid tahun 4 di Terengganu bakal terima E-Book

19 Mac 2013
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 20,000 murid Tahun 4 di seluruh Terengganu akan memerima seunit E-Book pada tahun ini yang diagihkan secara berperingkat mulai hari ini.

E-Book sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran itu mula diberi sejak tahun 2009 bertujuan
memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sejak diperkenalkan lima tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM114 juta bagi memastikan
proses pembelajaran menggunakan E-Book berjalan lancar.

“Bermula tahun ini juga, kita akan mengagihkan komputer riba kepada 4,000 guru yang mengajar murid Tahun 4 supaya melancarkan lagi proses pembelajaran dua hala antara guru dan murid di dalam kelas.

“Sebelum ini, kita hanya beri kepada guru murid Tahun 5 dan 6 sahaja, namun guru Tahun 4 juga akan menikmati kemudahan sama kerana penggunaan komputer riba itu lebih sesuai untuk mengajar murid yang dibekalkan E-Book,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program pengagihan E-Book kepada 7,546 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di sini hari ini.

Kerajaan negeri turut menempatkan 456 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di setiap sekolah seluruh Terengganu untuk tujuan membaiki dan menyelenggara kerosakan E-Book.

Ahmad berkata walaupun pendapatan yang diperoleh Terengganu bukanlah yang tertinggi dalam negara, namun peruntukan untuk sektor pendidikan sebanyak RM340 juta setiap tahun membuktikan keprihatinan barisan kepimpinannya dalam melahirkan generasi muda yang berilmu untuk menjadi aset bangsa dan negara.

“Selain E-Book, banyak bantuan dan program khas diadakan untuk memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai sedikit masa lagi.

“Justeru, saya sangat berharap agar ibu bapa dapat memantau dan membimbing anak mereka supaya menggunakan E-Book untuk tujuan akademik sahaja,” katanya. – Bernama

Empat ditahan curi gajet di Melaka – Bernama


Empat ditahan curi gajet di Melaka

5 Mac 2013

ALOR GAJAH – Polis berjaya menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes mencuri barangan gajet di dua daerah di Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata kesemua lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun itu ditahan di kawasan Bachang dan Bemban di sini pada 20 dan 22 Feb lepas.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit terlibat dalam 17 kes pecah rumah di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak enam bulan lepas.

“Polis turut merampas 13 buah telefon bimbit, lima komputer riba, dua kamera, satu pemain cakera padat dan satu cakera keras mudah alih,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam kes lain, Umar Ali Saifuddin berkata seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas ditahan di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Machap di sini, semalam.

Beliau berkata remaja terbabit yang tidak lagi bersekolah ditahan bersama 27 paket berisi dadah disyaki jenis heroin dengan berat kira-kira 41.6 gram yang keseluruhannya bernilai RM2,700 pada pukul 2.15 petang ketika sedang menunggu pelanggannya di kebun berkenaan. – Bernama

Kes kecurian dua sekolah – Sinar Harian


Kes kecurian dua sekolah

NORMAWATI ADNAN
3 Januari 2013
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.

IPOH – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menunggu laporan siasatan penuh daripada polis sebelum tindakan lanjut diambil berhubung kes kecurian peralatan sekolah di negeri ini menjelang sesi pembelajaran 2013.

Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, langkah itu perlu bagi memastikan gerak kerja di sekolah berkenaan tidak terganggu.

Menurutnya, daripada laporan yang diterima, dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yussuf (Batu Gajah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid (Tanjung Piandang) dipecah masuk, 29 dan 31 Disember lalu mengakibatkan kehilangan beberapa perkakas.

“Bagaimanapun, kedua-dua kes ini tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran murid. Sesi persekolahan dibuka dan berjalan sama seperti sekolah lain.

“Kehilangan yang dilaporkan adalah membabitkan peralatan komputer dan beberapa perkakas lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Idris berkata, buat masa ini, JPN belum menerima laporan lanjut berhubung siasatan kedua-dua kes berkenaan.

“Kita akan tunggu hingga siasatan selesai,” katanya.

Dalam laporan semalam, SK Sultan Yussuf mengalami kerugian lebih RM57,000 apabila 12 komputer riba dilarikan.

Siasatan awal mendapati, suspek masuk ke kawasan sekolah melalui pagar belakang.

Dalam kejadian 31 Disember pula, sebuah komputer dan beberapa projektor milik SMK Raja Lope Nor Rashid dilarikan.

SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk – Sinar Harian


SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk

SAIFULLAH AHMAD
2 Januari 2013
Sekolah pecah masuk
Keadaan SK Sultan Yussuf yang dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM57,000.

IPOH – Suasana hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, dekat sini bertukar muram selepas 12 komputer riba milik sekolah berkenaan dilarikan penjenayah.

Sekolah itu mengalami kerugian lebih RM57,000 dalam kejadian yang hanya disedari selepas seorang gurunya mendapati bilik guru dan pejabat diceroboh pada jam 7.30 pagi, 29 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian dimaklumkan kepada guru besar sekolah berkenaan yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat, suspek dipercayai masuk ke kawasan sekolah melalui pagar yang telah dipotong di bahagian belakang sekolah.

“Kemudian suspek naik ke tingkat satu bangunan tanpa kamera litar tertutup (CCTV) menempatkan kedua-dua bilik terbabit, melalui pintu gril tangga yang dipercayai tidak berkunci berikutan tiadak kesan dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Shaharon Anuar, suspek dipercayai lebih dari seorang telah memecah masuk bilik guru dan menyelongkar beberapa meja guru berdasarkan keadaan bilik berselerak.

Katanya, bilik guru besar yang terletak dalam pejabat terbabit diumpil dan peti besi serta almari komputer riba di dalamnya turut dipecahkan.

“Suspek mengambil beberapa komputer riba yang berada di dalam almari itu. Peti besi juga dipecahkan bagaimanapun tiada barang berharga di dalam.

“Selepas mengambil barang-barang yang dikehendaki, suspek keluar melalui jalan yang sama seperti mereka masuk,” jelasnya.

Shaharon Anuar berkata, sebanyak 12 komputer riba yang dicuri dengan nilai keseluruhan berjumlah RM57,264.50.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai didatangi mana-mana individu mencurigakan untuk menjual komputer riba dengan harga yang murah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyantee Abd Hamid di talian 05-3629222 sambungan 9066 atau telefon bimbit 017-4000950.

“Jika ada mana-mana individu yang menjual komputer riba dengan harga rendah, pastikan nombor sirinya terlebih dahulu. Jika terdapat mana-mana jenis dan nombor siri seperti mana yang dinyatakan, hubungi segera pihak polis di balai polis berhampiran atau nombor yang dinyatakan.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Ahmad Damanhuri Ibrahim ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak mengganggu sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Katanya, pihak sekolah telah diminta membuat laporan mengenai kejadian berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

Rajuk ditegur bersembang di laman sosial – Metro


Rajuk ditegur bersembang di laman sosial

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Gara-gara merajuk selepas ditegur kerana sering bersembang melalui laman sosial, seorang remaja lelaki dipercayai melarikan diri dari rumahnya, di sini, sejak empat hari lalu.

Difahamkan, Muhammad Azrul Hisham Asri, 17, keluar dari rumah jam 9.45 malam Isnin lalu, selepas ditegur ibunya Nora Ahmadi, 37, berikutan kerap menghabiskan masa di depan komputer riba milik ibunya itu.
Nora berkata, dia menegur anaknya itu petang Isnin kerana terlalu leka dan menghabiskan masa berborak kosong di laman sembang sosial.

 

“Pada sebelah malam, saya bersama anak bongsu keluar ke pekan Alor Gajah atas urusan dan pulang ke rumah jam 9.45 malam.
“Saya menyedari Muhammad Azrul yang juga anak sulung tidak membawa pakaian,” katanya.
Malah lebih membimbangkan Nora apabila anaknya menyatakan hasrat untuk ke Johor Bahru dengan rakan melalui laman sembang beberapa hari sebelum itu.

 

 

“Saya melakukan pelbagai usaha bagi mencarinya di merata tempat, termasuk di rumah rakan, tetapi tidak berjaya.
“Lebih membimbangkan apabila Muhammad Azrul masih dalam rawatan kerana kecederaan di perut akibat terbabit dalam kemalangan baru-baru ini,” katanya.

 

Nora berkata, dia tidak sangka anaknya itu sanggup meninggalkan rumah walaupun tidak pernah bertindak demikian sebelum ini.
“Saya bimbang keselamatannya yang masih belum pulih sepenuhnya dan perlukan rawatan mencuci luka di perut,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, kelmarin. Katanya, mereka yang mengetahui lokasi anak lelakinya boleh menghubungi talian 012-9325720 atau balai polis berdekatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/08

Kes pecah rumah: Remaja baru habis SPM ditahan – Bernama


Kes pecah rumah: Remaja baru habis SPM ditahan

4 Disember 2012

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja lelaki yang baharu habis menduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditahan berhubung kejadian pecah masuk rumah Ketua Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pasir di sini dua hari lalu yang mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah berkata remaja itu ditahan semalam di Permatang Pasir.

“Pelajar itu tinggal di kawasan yang sama dengan rumah Ketua Pemuda Umno berkenaan. Dia kini direman bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian tersebut dilakukan lebih  daripada seorang kerana peti besi yang mengandungi barangan berharga yang  dilarikan dari rumah Mohd Zaidi Mohd said, 43, agak berat untuk diangkat hanya seorang individu.

Antara barangan yang dilapor dilarikan ialah barang kemas, jongkong emas, komputer riba, geran tanah dan pelbagai dokumen lain serta sebuah  motosikal. – Bernama