Polis tahan remaja samun mesin minuman – Bernama


Polis tahan remaja samun mesin minuman

17 Julai 2013

GEORGETOWN – Polis menahan seorang lagi remaja berusia 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pecah dan samun mesin vendor minuman di sekitar Sungai Dua dan Gelugor, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan dan maklumat awam, suspek ditahan di sebuah flat di Sungai Dua, berdekatan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada pukul 2.30 pagi.

Katanya polis turut merampas sebatang besi jenis ‘kuku kambing’ yang dipercayai digunakannya untuk melakukan jenayah tersebut.

“Dengan penangkapan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sebanyak lima kes dan suspek turut mengaku pernah memecah masuk beberapa bilik pensyarah dan pejabat kampus USM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan dua remaja yang telah ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memecah mesin vendor minuman dan cubaan memecah mesin juruwang automatik (ATM) di USM.

“Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup), suspek yang kita tahan pagi ini tidak terlibat dalam dua kes cubaan memecah mesin ATM itu tetapi ketiga-tiga mereka saling mengenali dan kita yakin mereka ada kaitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek ditahan reman sehingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

Polis pantau aktiviti rekrut pelajar sekolah sertai kumpulan gengster – Bernama


Polis pantau aktiviti rekrut pelajar sekolah sertai kumpulan gengster

15 Januari 2013

GEORGETOWN – Polis sedang memantau kegiatan kumpulan kongsi gelap yang merekrut pelajar sekolah menyertai kumpulan mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, sejak sesi persekolahan bermula awal bulan ini, polis telah menerima beberapa laporan dari ibu bapa dan guru mengenai anggota kumpulan kongsi gelap menunggu di luar kawasan sekolah dan mempelawa para pelajar menyertai kumpulan mereka.

“Pemantauan sedang giat dilakukan dan kita telah mengerahkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) supaya meronda di kawasan sekolah yang telah dikenal pasti di sekitar daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Phor Tay di Sungai Dua hari ini.

Beliau berkata, URB akan melakukan rondaan sebelum dan selepas waktu persekolahan bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu Gan berkata, polis percaya dapat menyelesaikan 11 kes samun di sekitar daerah ini susulan penahanan seorang lelaki berusia 50 tahun yang menyamar sebagai anggota polis di Lebuh Maccalum semalam.

Beliau berkata, pada kejadian pukul 1.50 petang itu, suspek memakai seragam polis bersama dua lagi rakannya yang berpakaian biasa telah merompak sebuah rumah selepas memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dari cawangan narkotik dan jenayah berat.

“Polis masih memburu dua lagi rakannya dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes cubaan membunuh teman wanitanya pada 5 Ogos lepas berjaya diberkas dalam sebuah restoran di Bukit Tambun petang semalam.

Gan berkata, pada kejadian pukul 11 pagi itu, suspek M. Kumarasingam, 28, dipercayai menolak teman wanitanya dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Batu Uban sehingga menyebabkan buku lali mangsa mengalami keretakan.

Beliau berkata, suspek berasal dari Bagan Serai turut meloloskan diri dari tahanan polis ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, setelah dipukul orang awam.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh serta Seksyen 224 kerana melarikan diri dari tahanan polis. – Bernama

Polis buru lima lelaki serang remaja – Bernama


Polis buru lima lelaki serang remaja

14 Mei 2012

GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan lima lagi suspek berumur lingkungan 20-an kerana dipercayai terlibat dalam insiden serangan bersenjata terhadap seorang remaja lelaki malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, motosikal yang dinaiki remaja berusia 17 tahun terbabit, dihadang dan ditendang oleh enam lelaki bersenjatakan pisau dan topi kaledar di Jalan Masjid Negeri, di sini.

“Apabila mangsa jatuh, salah seorang lelaki terbabit mengelar tangan kanan remaja itu dengan sebilah pisau. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gan berkata kesemua suspek melarikan diri sejurus polis tiba di tempat kejadian kecuali seorang dapat diberkas dan kini direman sehingga Rabu ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Gan berkata polis menahan seorang suspek kes samun bersenjata melibatkan dua buah kedai serbaneka di Jelutong dan Ayer Itam, pagi semalam.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 8 pagi dan 10 pagi itu, lelaki berumur 36 tahun yang bersenjatakan parang panjang dan berpakaian serba hitam dikatakan memasuki kedua-dua kedai berkenaan dan melarikan wang tunai serta barangan bernilai hampir RM1,000.

“Bagaimanapun, polis berjaya menjejaki suspek di rumahnya yang turut dihuni anggota keluarganya yang lain di Bukit Gelugor berdasarkan nombor plat motosikal yang dinaikinya,” kata beliau.

Beliau berkata suspek ditahan di rumahnya pada pukul 2.30 petang semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. — Bernama

Kanak-kanak maut terjatuh tingkat 13 pangsapuri – Bernama


Kanak-kanak maut terjatuh tingkat 13 pangsapuri

14 Mei 2012

GEORGETOWN –  Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun maut apabila terjatuh dari tingkat 14, Pangsapuri Desa Mawar, Farlim di Ayer Itam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata pada kejadian antara pukul 8 malam hingga 11.30 malam itu, mangsa dikatakan tinggal bersendirian di rumah milik datuknya.

“Kanak-kanak itu tinggal berdua dengan datuknya di rumah itu sejak lahir kerana kedua ibu bapanya telah bercerai dan ketika kejadian, datuknya tiada di rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung kejadian itu dan siasatan juga mendapati terdapat dua buah kerusi yang dibiarkan berada di balkoni rumah berkenaan.

Mayat kanak-kanak itu telah dihantar Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. – Bernama

Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang – Bernama


Seorang lagi kanak-kanak dikurung di Pulau Pinang

2012/01/02

GEORGETOWN: Tangisan kanak-kanak perempuan yang berlarutan lebih 10 jam di rumah di Jalan Perak, di sini, awal pagi tadi, mengejutkan seorang jiran yang bertindak menghubungi polis.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata, beliau mendengar kanak-kanak itu menangis dan sesekali meminta tolong sejak jam 3 petang semalam hingga 1 pagi tadi.

“Saya menghubungi polis pagi tadi selepas mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan masih menangis,” katanya ketika ditemui di sini.

Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berkenaan.

Katanya, polis mengambil masa lebih setengah jam untuk masuk ke rumah berkenaan kerana ia berkunci.

“Selepas mendapat bantuan daripada jiran di flet berkenaan, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dalam keadaan takut dan trauma itu kerana ditinggalkan seorang diri,” katanya.

Jurucakap polis itu berkata, beberapa jiran menyedari bapa kanak-kanak itu pulang ke kawasan perumahan berkenaan tetapi lelaki terbabit melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.
Katanya, hasil maklumat jiran, polis cuba menghubungi anggota keluarga kanak-kanak malang itu tetapi gagal.

“Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu didera dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis juga sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berumur lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Pada 29 Disember lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda, Butterworth. – BERNAMA