Tangan adik bercacah lambang kongsi gelap
Batu Pahat: Dengan menjadikan pelajar belasan tahun sebagai sasaran, Geng 04 di daerah ini dikatakan aktif merekrut remaja bertujuan mengukuhkan kegiatan gengsterisme dan pengaruh mereka.
Setiap ahli baru yang direkrut turut diumpan imbuhan wang dan jaminan keselamatan menyebabkan remaja termasuk yang masih bersekolah mudah terpengaruh untuk menyertai kumpulan haram itu.
Dengan menggunakan tatu bersimbol seperti lambang Nazi di tangan setiap anggotanya, Geng 04 dipercayai memperalatkan anggota mereka termasuk remaja untuk melakukan kegiatan pengedaran dadah selain terbabit dalam pergaduhan berkumpulan.
Mendedahkan perkara ini, seorang abang kepada ahli kumpulan 04, yang hanya mahu dikenali sebagai Suresh, 30, berkata, dia menyedari adik lelakinya yang dikenali sebagai Ravi, 16, terbabit dalam Geng 04 selepas ternampak tatu di tangan kiri remaja itu.
“Saya terkejut apabila ternampak simbol itu di tangan adik menyebabkan saya mula menyoalnya beberapa soalan bagi mengetahui perkara sebenar.
“Pada mulanya dia enggan memberi jawapan, namun selepas dipujuk baru dia mengaku dan mendakwa dia dipaksa menyertai kumpulan itu.
“Adik saya juga memberitahu jika saya mendedahkan keahliannya, dia dibelasah,” katanya.
Suresh berkata, adiknya direkrut menjadi ahli Geng 04 oleh seorang lelaki yang menemuinya dan beberapa rakannya ketika dia bekerja sambilan di sebuah kedai di Yong Peng.
“Ada antara mereka juga diarahkan untuk mengedar dadah secara kecil-kecilan selain turut terbabit sekiranya terdapat pergaduhan.
“Kumpulan itu amat licik kerana saya dimaklumkan mereka juga memasang umpan duit sebagai habuan kepada pelajar yang menyertai kumpulan.
“Selain menconteng papan tanda dengan angka 04 bagi menunjukkan kawasan ‘jajahan’ mereka, geng terbabit turut bertindak ganas sekiranya arahan mereka diingkari,”katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/29