Kongsi gembira menjelang raya – Harian Metro


Kongsi gembira menjelang raya

Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kegembiraan jelas terpancar di wajah 47 anak yatim dari sekitar daerah Hulu Langat dikumpulkan di Wisma Jakel, Jalan Masjid India di sini, semalam untuk membeli barang keperluan Hari Raya Aidilfitri seperti baju kurung, baju melayu, samping, kasut, songkok dan tudung.

Peluang itu dikecapi mereka melalui sumbangan yang disalurkan syarikat tekstil terkemuka, Jakel Trading menerusi jalinan kerjasama dengan Program Titipan Kasih Harian Metro sempena Ramadan ini.
Pengarah Urusan Jakel Trading, Mohamad Faroz Mohamed Jakel berkata, pemberian itu tanda keprihatinan pihaknya di samping berkongsi kegembiraan bersama golongan memerlukan.

 

“Pada hari ini (semalam), kami berniat ikhlas memberi peluang kepada semua anak yatim untuk memilih sendiri pakaian hari raya agar mereka puas dan dapat memakai pakaian baru daripada kain berkualiti.
“Kira-kira RM10,000 dibelanjakan bagi sumbangan ini dan diharap ia memberi keceriaan kepada mereka menjelang hari lebaran nanti,” katanya selepas turut serta memilihkan pakaian untuk anak yatim berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza. Seorang anak yatim, Hasanain Zuhairi Zepri, 7, berkata, dia gembira kerana mendapat peluang memilih baju raya sendiri.

 

 

“Sebelum ini ibu yang pilih dan belikan baju. Tahun ini tambah seronok sebab dapat beli baju dengan kawan lain,” katanya yang memberitahu ibunya hanya bekerja sebagai penjual kuih untuk menyara keluarga.
Sementara itu, ibu tunggal, Zuraini Mohd Bashah, 39, pula menyatakan kesyukurannya terhadap sumbangan yang diberikan kepada tiga anaknya.

 

Katanya, peluang itu meringankan bebannya untuk membeli kelengkapan hari raya yang lain.
“Perasaan saya bercampur baur, gembira dan terharu kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan khas untuk anak saya,” kata guru tadika itu.