Notis Makluman Kerja-Kerja Migrasi Alatan ZOOM Berjadual Di 2,300 Sekolah Yang Telah Mendapat Perkhidmatan 1BestariNet


Notis Makluman Kerja-Kerja Migrasi Alatan ZOOM Berjadual Di 2,300 Sekolah Yang Telah Mendapat Perkhidmatan 1BestariNet

Pihak kontraktor bagi projek 1BestariNet akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan alatan ZOOM bagi 2,300 sekolah yang telah mendapat perkhidmatan 1BestariNet (Bagi pemasangan sehingga 23 Julai 2012. Penyelenggaraan ini akan dijalankan secara berperingkat dan akan dimulakan pada 31 Julai 2012 sehingga 14 September 2012. Penyelenggaraan akan dilaksanakan secara ”remotely” dari Pusat Pengkalan Data YTL. Sekolah yang terlibat akan mengalami gangguan capaian internet selama 5 minit. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah dinasihatkan untuk mengaktifkan ZOOM 24 jam selama tempoh migrasi. Jika terdapat sebarang masalah atau mengalami gangguan melebihi tempoh masa yang ditetapkan, pihak sekolah diminta menghubungi talian meja bantuan YTL di 018-7998787 atau emel kepada moesupport@ytlcomms.my.

Di atas segala kerjasama pihak puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului ucapan terima kasih.

Terengganu terima RM8.88j bagi projek naik taraf kemudahan sekolah – Bernama


Terengganu terima RM8.88j bagi projek naik taraf kemudahan sekolah

2 Julai 2012
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelajaran memperuntuk RM8.88 juta bagi dua projek iaitu penyelenggaraan sekolah serta menaiktaraf surau sekolah di negeri ini pada tahun ini.

Peruntukan ini adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar bagi Pakej Rancangan Khas (PRK).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata bagi projek penyelenggaraan sekolah, ia melibatkan 49 sekolah dengan kos RM4.9 juta manakala projek penyelenggaraan serta menaiktaraf 51 buah surau sekolah melibatkan RM3.98 juta.

“Majlis hari ini adalah bagi program penyelenggaraan dan ubahsuai/naiktaraf surau sahaja melibatkan 40 buah sekolah dengan peruntukan RM2.488 juta.

“Tiga buah surau di bawah program itu dengan peruntukan RM177,848 masih belum dikeluarkan waran buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan inden projek transformasi dan naiktaraf surau sekolah luar bandar kepada kontraktor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kontraktor yang mendapat projek menaiktaraf surau sekolah-sekolah berkenaan supaya menjalankan tanggungjawab menyiapkannya dengan amanah dan sempurna mengikut masa ditetapkan.

“Kita tidak mahu kontraktor yang mendapat projek, membuat kerja sambil lewa sehingga projek yang diserahkan kepada mereka tidak siap atau terabai begitu sahaja sehingga merugikan banyak pihak,” katanya. – Bernama

Pelajar hidu debu setiap hari – Sinar Harian


Pelajar hidu debu setiap hari

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2012
hidu debu

GELIGA – Ibu bapa dan penduduk meminta pihak kontraktor yang melakukan kerja pembersihan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga agar tidak meninggalkan sisa selut yang telah dikorek dari dalam longkang bagi mengelakkan masalah debu.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Geliga Baru, Zulkarnean Zubir yang mewakili penduduk mendakwa, disebabkan pihak kontraktor melakukan kerja mudah dengan meninggalkan sisa selut menyebabkan sisa berkenaan mengalir ke kawasan pintu pagar sekolah selepas hujan.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan sebelum sesi persekolahan 2012 iaitu pada awal Januari lalu.

“Apabila cuaca panas selut yang telah merebak ke kawasan hadapan sekolah iaitu di hadapan pintu pagar keluar sekolah menyebabkan berlakunya masalah debu terutama apabila ada kenderaan keluar masuk sekolah.

“Disebabkan itu juga pintu pagar keluar terpaksa ditutup kerana dipenuhi selut tebal. Malah ketika sesi persekola­han­ baru dibuka Januari lalu, ada kereta guru terperangkap dalam selut ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat hanya satu pintu pagar digunakan, menurutnya, pintu pagar utama menjadi sibuk kerana menjadi laluan masuk dan keluar pada satu-satu masa.

Zulkarnean berkata, lebih parah apabila cuaca hujan, air akan bertakung di hadapan sekolah berkenaan menyebabkan pelajar dan seluruh warga sekolah tidak selesa.

“Selain tidak selesa, masalah debu ini juga dikhuatiri boleh mengganggu kesihatan pelajar yang setiap hari terpaksa menghidu debu,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkenaan diharap dapat memastikan kawasan longkang dibersihkan sepenuhnya.

“Kita juga harap pihak berwajib dapat menaik taraf jalan di bahagian pintu keluar SMK Geliga agar ia lebih tinggi sepertimana jalan di pintu pagar masuk. Kita juga minta disediakan sebuah lagi hentian bas untuk kegunaan pelajar SMK Geliga ini. Dengan pelajar sekarang
berjumlah 1,500 orang hentian bas sedia ada tidak mampu menampung keperluan pelajar,” katanya.