SKM galak sekolah sertai aktiviti komersial – Bernama


SKM galak sekolah sertai aktiviti komersial
1 Ogos 2013

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan lebih banyak koperasi sekolah mempelbagaikan aktiviti komersial khususnya penghasilan produk baru yang dapat meningkatkan pendapatan koperasi tersebut.

Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata koperasi sekolah seharusnya sentiasa mengamalkan sifat berdaya saing dan daya tahan dalam menghasilkan pelbagai produk termasuk produk teknologi maklumat.

“Sekolah adalah tempat terbaik untuk pelajar menceburi dan mempelajari bidang perniagaan dan keusahawanan. Jadi anggota koperasi diharapkan dapat memulakan budaya keusahawanan ini dengan membuka kedai-kedai runcit bagi memupuk minat para pelajar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan Projek Perisian Animasi Eksplorasi Cabaran Sejarah (ECS) Kolej Vokasional, Gombak yang merupakan projek pertama seumpamanya dihasilkan dan dipasarkan menerusi koperasi sekolah itu.

ECS adalah sebuah perisian pendidikan bercorak permainan animasi 3D bagi mata pelajaran Sejarah mencakupi sukatan tingkatan empat dan tingkatan lima untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dicipta sepasukan guru dan pelajar sekolah itu.

Perisian itu juga mendapat pengiktirafan luar negara apabila dianugerahi pingat emas dalam Program Penyelidikan Antarabangsa di Amerika Syarikat pada tahun lepas dan ia dipatenkan untuk dipasarkan ke sekolah lain sebagai bahan tambahan pembelajaran mulai hari ini.

Nik Ali berkata penciptaan perisian ECS itu merupakan ciptaan paling cemerlang pernah dihasil dan dipasarkan menerusi koperasi sekolah dan ia harus dicontohi koperasi sekolah lain.

“SKM bersedia menawarkan pelbagai pinjaman kewangan kepada mana-mana koperasi sekolah yang ingin melebarkan perniagaan mereka. Contohnya untuk ECS, kita telah beri pinjaman mudah di bawah Tabung Modal Pusingan sebanyak RM50,000 tanpa cagaran di samping memberi geran pengukuhan sebanyak RM20,000.

“Malah jika pasaran produk ini menampakkan peningkatan, kita akan tawarkan pinjaman yang lebih kompetitif untuk mengembangkan lagi produk tersebut,” katanya.

Tambah Nik Ali, perubahan era pembelajaran kini yang banyak menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)     dilihat peluang terbaik untuk koperasi sekolah menerokai dan mencari ruang menambah pendapatan.

Pada majlis sama, Kolej Vokasional Gombak menandatangani perjanjian persefahaman di antara Asdion Hospitality Solution Sdn Bhd dan Smart Ebook Technology Sdn Bhd sebagai jalinan kerjasama untuk memasarkan produk tersebut. – Bernama

KEHADIRAN WAKIL KOPERASI SEKOLAH KE PERSIDANGAN TAHUNAN ANGKASA NEGERI 2013


KEHADIRAN WAKIL KOPERASI SEKOLAH KE PERSIDANGAN TAHUNAN ANGKASA NEGERI 2013

15 March 2013

Muat Turun
KEHADIRAN WAKIL KOPERASI SEKOLAH KE PERSIDANGAN TAHUNAN ANGKASA NEGERI 2013

Semua sekolah menengah disasar tubuh koperasi menjelang 2015 – Bernama


Semua sekolah menengah disasar tubuh koperasi menjelang 2015

28 Jun 2012
KUCHING – Semua sekolah menengah di negara ini disasar menubuhkan koperasi masing-masing menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim.

Katanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan meningkatkan usaha bagi memastikan sasaran tersebut tercapai.

Koperasi sekolah mempunyai kekuatan tersendiri dan berpontensi untuk diperkukuh serta diperkasa, katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Mega Permata Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, di sini hari ini.

Katanya di Sarawak terdapat 179 koperasi sekolah setakat ini yang mempunyai 214,740 anggota dan modal syer/yuran hampir RM1.33 juta serta aset bernilai RM20.6 juta.

“Berdasarkan rekod SKM Sarawak hanya lapan sekolah di negeri ini belum ada koperasi dan kesemuanya merupakan sekolah mubaligh kerana mempunyai lembaga pengarah sendiri masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai kolej itu, Rohani berkata koperasi sekolah terbabit menduduki senarai 10 terbaik di Sarawak dan ke-77 di peringkat kebangsaan daripada kira-kira 2,000 koperasi di seluruh negara.

Sementara itu, Rohani berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Hari Koperasi Negara di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Julai ini, yang dijangka menyaksikan perhimpunan 100,000 peserta. – Bernama