Peningkatan gejala sosial babitkan pelajar di Kelantan membimbangkan: Polis – Bernama


Peningkatan gejala sosial babitkan pelajar di Kelantan membimbangkan: Polis

2013/05/28 – 18:06:50 PMCetakEmel Kawan
Tweet

 
 
PASIR PUTEH: Pembabitan pelajar sekolah menengah dalam gejala sosial termasuk kes penyalahgunaan dadah, kecurian dan rogol di Kelantan adalah membimbangkan. 

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kelantan, Asisten Komisioner Aziz Salleh, berkata peningkatan itu berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab serta suka ‘lepas tangan’ kepada pihak lain. 

 

“Mereka meletakkan tanggungjawab itu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru di sekolah sepenuhnya untuk mendidik anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas menutup latihan tahunan Kor Kadet Polis Kontinjen Kelantan di Pantai Bisikan Bayu, hari ini. 

 

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut berhubung perkara itu. 

Aziz juga berkata gejala yang lebih membimbangkan adalah pembabitan pelajar dalam penagihan serta pengedaran dadah oleh sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap mereka. 

“Perkara ini bukan saja membabitkan pelajar di bandar malah seluruh pelusuk kampung, termasuk kawasan pedalaman,” katanya. 

Beliau berkata, sehubungan itu, polis kini memantau situasi berkenaan secara serius dan mengambil tindakan sewajarnya, dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah, termasuk memberi ceramah di sekolah. – BERNAMA

Semua sekolah di Pulau Pinang disaran tubuh Kor Kadet Polis – Bernama


Semua sekolah di Pulau Pinang disaran tubuh Kor Kadet Polis

21/05/2013 3:03pm

 

BUKIT MERTAJAM – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menyarankan agar semua sekolah menengah di negeri itu mewujudkan Kor Kadet Polis yang dilihat dapat mengurangkan masalah jenayah juvana.

Katanya, setakat ini hanya 67 daripada 126 sekolah menengah di Pulau Pinang mempunyai pasukan itu sebagai kegiatan kokurikulum, membabitkan 3,094 anggota.

“Saya minta pengarah pelajaran negeri supaya membuat permohonan untuk mengadakan Kor Kadet Polis di sekolah yang belum mempunyai pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan ulang tahun Kor Kadet Polis ke-43 Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selain mengurangkan isu jenayah membabitkan pesalah juvana, kewujudan Kor Kadet Polis di sekolah juga dapat meningkatkan disiplin dan keperibadian pelajar selain mendedahkan pelajar dengan tugas kepolisan.

Ujarnya, kes jenayah membabitkan pesalah juvana di negeri itu menunjukkan penurunan 2.5 peratus iaitu daripada 636 kes pada 2011 kepada 620 kes tahun lepas. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz2Tvp31ovJ
Hakcipta terpelihara

Kadet polis mampu disiplinkan pelajar – Sinar Harian


Kadet polis mampu disiplinkan pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 April 2012
kadet polis

PONTIAN – Penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti kadet polis di peringkat sekolah bukan sahaja dapat mendisiplinkan mereka, tetapi turut membantu mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Deputi Superintendan Wan Razani Wan Iberahim berkata, pengisian aktiviti kadet polis yang menitikberatkan soal disiplin dalam setiap aspek sangat bermanfaat kepada pelajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dilatih berkawad, tetapi turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang berguna untuk pembentukan sahsiah dan peribadi.

“Pengetahuan yang diberikan juga banyak memupuk minat pelajar untuk menyertai pa­­sukan polis sebagai kerjaya mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pe­ringatan Hari Kor Kadet Polis ke-42 Peringkat Daerah Pontian di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keahlian pelajar di dalam unit beruniform di sekolah-sekolah menengah di daerah ini juga menunjukkan peningkatan yang amat baik dengan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum.

“Mereka sudah mula menunjukkan minat untuk sama-sama menyertai kadet polis di sekolah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu 13 kadet polis menerima anugerah kecemerlangan dan penghargaan Kor dan empat sekolah menerima anugerah Kor Kadet Polis Daerah Pontian.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Maahad Pontian, Sekolah Tinggi Pei Chun, dan Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

Sementara itu bagi Siti Najiha Jamaludin, 17, dari SMK Sri Tanjung penglibatannya dalam pasukan kadet polis sekolah telah bermula sejak tingkatan satu lagi.

Katanya, impian untuk menjadi anggota polis apabila sudah tamat sekolah kelak membuatkannya begitu berminat untuk menyertai kadet polis di sekolahnya.

“Latihan yang diadakan amat membantu mendisiplinkan saya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis,” katanya.