Korban 2 sepupu – Metro


Korban 2 sepupu

 102  0 Google +0  0  0

Percutian lebih 30 ahli keluarga yang berkelah di Sungai Tombungan, di sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas cuba menyelamatkan seorang saudara mereka dalam kejadian di Kampung Nawai, Kiulu, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa, Ahmad Ainurrahim Paidi, 19, dan sepupunya, Safardi Paumin, 22, maut apabila gagal menyelamatkan diri ketika cuba membantu seorang lagi sepupu mereka, Adibah Litono, 14, yang hampir lemas.
Difahamkan, aktiviti perkelahan itu disertai lebih lima keluarga dari Kampung Kebayou, Telipok, yang tiba di kawasan perkelahan itu seawal jam 8.30 pagi.

 

Menurut seorang ahli keluarga mangsa, Litono Sohia, 53, ketika kejadian, anaknya, Adibah, bersama beberapa sepupu mereka termasuk kedua-dua mangsa mandi-manda di sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan anak saya meminta tolong dan terkapai-kapai dalam air.
“Ketika itu, kedua-dua mangsa bertindak menyelamatkan anak perempuan saya, namun mereka pula tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

Katanya, dia segera terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka, namun hanya dapat menyelamatkan Adibah, manakala gagal menyelamatkan dua lagi sepupunya.
“Kami kemudian mendapatkan bantuan orang kampung untuk mencari mangsa di dasar sungai berkenaan,” katanya.

 

Litono berkata, kira-kira sejam kemudian, mayat kedua-dua mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 10.21 pagi dan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, sebaik tiba, kami mendapati kedua-dua mangsa sudah ditemui orang ramai yang membantu di tempat kejadian.
“Operasi ditamatkan sebaik saja mayat ditemui dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28