SETIU: “Hancur luluh hati saya apabila melihat tubuhnya sudah kaku dan kebiru-biruan sebaik dibawa naik,” kata Che Kamariah Mohamad, 52, nenek kepada kanak-kanak berusia lapan tahun yang lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang pasir mengandungi air sedalam 2.5 meter berhampiran perumahan Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Rhu Tapai, Merang, Setiu, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Mohd Syamirul Aiman meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam lubang berkenaan yang dikorek penduduk kampung untuk mengambil pasir, terletak kira-kira 800 meter dari rumahnya di PPRT itu.
Menurut Che Kamariah, dia hanya menyedari kehilangan cucunya apabila dimaklumkan Mohd Syamirul terjatuh ke dalam lubang pasir itu oleh rakan arwah kira-kira jam 2 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Saya tidak sedar bila dia keluar bermain bersama rakan-rakannya di situ kerana sebelum itu saya dapati dia masih berada di rumah menonton televisyen jam 11 pagi.
“Memang terkejut apabila dimaklumkan dia terjatuh ke dalam lubang pasir berkenaan apatah lagi arwah tidak pernah pun bermain di situ sebelum ini dan saya berasa tidak sedap hati apabila melihat basikal dan seliparnya berada di tepi lubang itu sebelum meminta tolong penduduk kampung mencarinya.
“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terlebih dahulu memberanikan diri masuk ke dalam lubang itu dan menemui mayat Mohd Syamirul yang sudah tidak bernyawa dan kebiru-biruan kira-kira jam 2.30 petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.