Koperasi sekolah perlu naik taraf – Sinar Harian


Koperasi sekolah perlu naik taraf

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2013

KUALA PILAH – Koperasi sekolah di seluruh negara perlu menaik taraf perniagaan masing-masing dengan mempelbagaikan barangan jualan termasuk keperluan harian pelajar bagi menambah perolehan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata langkah itu juga dapat membantu pelajar terutama di sekolah di luar bandar, yang ada ketikanya terpaksa ke bandar untuk membeli barangan keperluan harian.

“Saya percaya koperasi sekolah di negara ini boleh berkembang maju dan berjaya sebagaimana kejayaan koperasi di negara yang maju dalam gerakan koperasinya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau sebelum itu hadir  majlis pelancaran Hari Koperasi Sekolah 2013 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja’afar di sini yang turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mengulas lanjut, Hasan berkata sejak diperkenalkan pada 1960-an dengan hanya sembilan koperasi sekolah perintis, setakat 31 Dis lalu terdapat 2,244 koperasi sekolah di seluruh negara dengan keanggotaan 2.1 juta dan perolehan RM285.2 juta.

Dari segi perniagaan koperasi keseluruhan, terdapat lebih 10,200 koperasi dengan keanggotaan 8 juta, melibatkan aset bernilai RM100.4 bilion dan perolehan RM31.09 bilion setahun, katanya.

Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata Malaysia mempunyai gerakan koperasi sekolah yang tersusun dan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) mengiktiraf gerakan koperasi sekolah di Malaysia antara yang terbaik di dunia.

Beliau turut memberi contoh koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Kota di Kota Bharu, Kelantan yang mencapai perolehan lebih RM1 juta pada tahun lepas.

Kini sudah ada 30 buah sekolah di seluruh negara menjurus ke arah perolehan RM1 juta setahun, katanya.

Ketika berucap pada majlis itu beliau berkata selain memberi pendedahan dan pengetahuan asas pengurusan dan pentadbiran kepada pelajar, penubuhan koperasi sekolah juga dapat memupuk minat dan mengembleng semangat keusahawanan mereka.

“Angkasa pula telah diberi kepercayaan untuk memainkan peranan dalam membangunkan gerakan koperasi sekolah di negara ini,” katanya. – Bernama

Hujan tidak jejas sesi persekolahan di Kelantan – Utusan


Hujan tidak jejas sesi persekolahan di Kelantan

GELAGAT murid-murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian (1) di kantin sekolah ketika waktu rehat pada hari pertama persekolahan yang bermula di Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROSNI MASRI

KOTA BHARU 1 Jan. – Cuaca hujan kadang kala lebat, ternyata tidak menjejaskan hari pertama sesi persekolahan 2013 di negeri ini dengan pelbagai gelagat pelajar baharu terutama murid tahun satu dapat disaksikan.

Situasi itu dapat disaksikan di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian (1) di sini apabila lebih 200 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan mereka hari ini.

Secara keseluruhan mereka kelihatan begitu ceria, malah nampak penuh bersemangat untuk memulakan alam persekolahan selepas bercuti panjang.

Bagaimanapun, terdapat sebilangan kecil yang kelihatan sedih dengan tangisan kecil dan sesekali agak nyaring, meminta ibu dan bapa mereka terus menemani di kelas.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130102/dn_12/Hujan-tidak-jejas-sesi-persekolahan-di-Kelantan#ixzz2Gm9m0hSP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kanak-kanak maut dirempuh lori ais – Utusan


Kanak-kanak maut dirempuh lori ais

KUANTAN 28 Dis. – Seorang murid lelaki berusia 11 tahun maut dirempuh sebuah lori ais ketika melintas jalan di Kilometer 12, Jalan Jerantut-Paya Embun-Jerantut Feri dekat Kampung Lada, Jerantut petang semalam.

Dalam kemalangan pukul 5 petang itu, mangsa, Mohd. Faizol Aidil Arzula dari Kampung Lada mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki kanan.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, semasa kejadian, mangsa dipercayai cuba melintas dari kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba.

“Sebuah lori muatan ais dipandu seorang lelaki berusia 30-an yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Jerantut gagal mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, kata beliau, seorang penunggang motosikal terbunuh selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah bas ekspres membawa 40 penumpang di Kilometer 5, Jalan Bentong-Karak dekat Bentong semalam.

Kata Mohamed Fauzi, dalam kejadian pukul 11.15 malam itu, mangsa, Karim Sudin, 28, yang merupakan Orang Asli Kampung Lobak, Bentong, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Kejadian dipercayai berpunca motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan di hadapannya seterusnya masuk ke laluan bertentangan.

“Ekoran itu, mangsa bertembung dengan bas ekspres terbabit yang dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu bas dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121229/dn_16/Kanak-kanak-maut-dirempuh-lori-ais#ixzz2GUlOf3Vm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Suspek kes ragut ditahan sebelum menaiki pesawat – Utusan


Suspek kes ragut ditahan sebelum menaiki pesawat

Jalaluddin Abdul Rahman (kiri) menyerahkan 1Malaysia Privilege Card kepada Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 23 Sept. – Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam dua kes ragut melibatkan seorang guru dan doktor kelmarin, semasa suspek cuba melarikan diri dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini pagi ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya suspek berusia 19 tahun itu terlibat dalam kedua-dua kes ragut tersebut dengan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan, berdasarkan modus operandinya.

“Kita telah menahan remaja yang berusia 19 tahun pukul 11.30 pagi ini ketika dia cuba melarikan diri dengan pesawat ke satu destinasi selepas mendapat maklumat hasil daripada siasatan yang kita jalankan.

Guru cedera dilanggar peragut – Utusan


Guru cedera dilanggar peragut

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

ZURA Ashikin dirawat di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

KOTA BHARU 22 Sept. – Ketika pihak polis mempergiatkan usaha mencegah jenayah ragut di bandar Kota Bharu ekoran kejadian ragut dan tetak yang berlaku hujung bulan lalu, aktiviti jenayah itu kini beralih pula di pinggir bandar ini.

Dalam kejadian di Pasir Tumboh di sini pagi semalam, seorang wanita bukan sahaja diragut beg tangannya, malah penjenayah berkenaan turut melanggar mangsa dengan kereta ketika melarikan diri.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8 pagi itu menyebabkan guru pra sekolah, Zura Ashikin Mustafa, 48, bukan sahaja kerugian hampir RM2,000 malah tindakan kejam penjenayah itu menyebabkan mangsa patah tulang pinggul dan mengalami beberapa kecederaan lain.

Zura Ashikin yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Hashim di sini berkata, dia baru sahaja keluar dari sebuah bank di situ dan singgah ke kedai buku berhampiran untuk membeli beberapa barang bantuan persekolahan.

“Saya membeli polistirena dan baru sahaja hendak meletakkan barang itu ke dalam kereta Proton Waja saya dengan beg tangan disangkut di bahu kiri.

“Tiba-tiba beg tangan saya direntap dari belakang oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar lalu saya terjatuh dan terseret sejauh kira-kira tiga meter.

“Belum pun sempat bangun, tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki suspek datang dan salah satu tayarnya melanggar saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini hari ini.

Menurutnya, beg tangan tersebut berisi sejumlah wang serta sebuah telefon bimbit.

“Beberapa saksi memberitahu bahawa kereta yang digunakan suspek turut dinaiki beberapa orang lelaki,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi berkata, selepas melanggar wanita itu, kereta suspek terus menuju ke Jalan Peringat.

“Mangsa patah tulang pinggul kiri serta luka di kedua-dua ibu jari kaki, lutut kanan dan kaki kiri. Mangsa sedang dirawat di HUSM dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis memohon orang ramai yang melihat kejadian ini agar tampil memberi maklumat,” katanya.

Kejadian ragut itu merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan apabila pada 30 Ogos lalu seorang wanita cedera parah di tangan kiri akibat ditetak ketika cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut.

Kedua-dua suspek bagaimanapun ditangkap dalam tempoh tidak sampai dua minggu dan susulan daripada kejadian itu, lebih 100 anggota polis wanita ditugaskan di 20 kawasan tumpuan ramai di bandar ini untuk menyedarkan orang ramai terutama golongan wanita mengenai ciri-ciri keselamatan yang perlu diambil.