Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan – Kosmo


Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan

 

28/07/2013 3:48pm

 

KOTA BHARU – Seorang mekanik dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada awal Februari tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh Mohamad Arman Hairi Mat Hassan, 21 didapati bersalah.

Mohamad Arman Hairi didakwa merogol gadis berusia 16 tahun 5 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Badang, di sini, pada pukul 3 petang, awal Februari tahun lalu. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2aKIvE2IF
Hakcipta terpelihara

Murid Tahun Lima cedera terkena mercun buatan sendiri – Bernama


Murid Tahun Lima cedera terkena mercun buatan sendiri

2013/07/25 – 13:43:30 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Bechah Durian, Bunut Susu, Pasir Mas, di sini cedera di mata kanan dan melecur di sekitar mulutnya apabila bermain mercun buatan sendiri, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Nur Hakim Mohd Nawi, 11, dari Kampung Padang Embun, Tendong, Pasir Mas, cuba membuat bunga api dengan menggunakan belerang daripada mercun jenis bola dan pasir yang dimasukkan ke botol air mineral.

Bapa mangsa, Mohd Nawi Wan Sulaiman, 57, berkata anak kesembilan daripada 12 beradik itu kemudian mencucuh mercun buatan sendiri itu dengan menggunakan kertas surat khabar.

“Saya difahamkan dia ingat mercun buatannya itu akan menjadi seperti suar tapi tak sangka ia meletup dan mencederakan dirinya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), tempat anaknya menerima rawatan di sini hari ini.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, yang melawat kanak-kanak itu berkata kecederaan yang dialami mangsa telah dirawat namun pihaknya masih belum mengetahui sama ada mata mangsa dimasuki pasir atau tidak.

“Kita akan buat pemeriksaan lanjut. Dia kini berada dalam keadaan stabil,” katanya sambil menambah kes itu yang kedua diterima hospital berkenaan bulan ini. – BERNAMA

Sewa pistol: Lelaki, remaja 15 tahun diberkas – Kosmo


Sewa pistol: Lelaki, remaja 15 tahun diberkas

 

JALALUDDIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan peluru yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di sekitar negeri ini apabila berjaya menahan dua tauke pistol yang didapati mengedar dan menyewakan senjata api kepada penjenayah untuk melakukan onar termasuk membunuh.

Remaja berusia 15 tahun dan lelaki berumur 29 tahun ditahan pada pukul 3 pagi semalam di sebuah rumah di Bunut Susu, Pasir Mas selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan kedua-dua suspek berbahaya berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2Zj8BYD4X
Hakcipta terpelihara

JKM minta gadis cacat penglihatan tunggu bantuan – Sinar Harian


JKM minta gadis cacat penglihatan tunggu bantuan

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2013
JKM minta gadis cacat penglihatan tunggu bantuan
Keratan akhbar Sinar Harian yang melaporkan kisah Siti Natasha.

KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meminta gadis cacat penglihatan, Siti Natasha Shahril Azli, 15 supaya menunggu bantuan sehingga usia 18 tahun.

Pegawai JKM Jajahan Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh berkata, remaja orang kelainan (OKU) tersebut pernah menerima Elaun Pendidikan Khas semasa bersekolah di Kota Bharu, namun bantuan tersebut dihentikan apabila dia tidak meneruskan persekolahan.

“Siti Natasha akan menerima semula bantuan daripada JKM yang dipanggil Elaun Orang Cacat Tidak Bekerja sebanyak RM150 sebulan. Sekiranya dia bekerja, dia akan menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM300 sebulan,” katanya, semalam.

6 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan, gadis berkenaan memohon JKM mempercepatkan bantuan kepadanya dalam meneruskan hidupnya bersama keluarga.

Bapanya, Shahril Azli Mamat, 42 bekerja kampung menghadapi masalah kemek apabila tempurung kepala apabila terlibat dalam kemalangan pada 1996 dahulu, manakala ibunya, Siti Zuraini Zakaria, 34 menerima tempahan membuat kuih.

Ruzaidi berkata,  berdasarkan siasatan daripada pihaknya, ibu bapa keluarga tersebut masih mampu bekerja dan boleh menyara remaja tersebut.

Kata beliau, selepas usia 18 tahun dan ke atas, Siti Natasha akan diberikan bantuan berdasarkan permohonan yang dibuatnya.

Katanya, JKM prihatin terhadap nasib OKU, namun pihaknya mempunyai syarat tertentu bagi membolehkan mereka menerima bantuan.

Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul – Sinar Harian


Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2013
Remaja mengaku salah pukul abang guna tukul
Remaja terbabit (dua kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.

KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan memukul abangnya dengan tukul, April lalu.

Hukuman terhadap pesalah juvenil dari Kampung Perupok, Bachok itu bagaimanapun ditangguhkan kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap abangnya yang berusia 23 tahun itu di rumah mereka pada jam 4 petang, 14 April.

Dalam kejadian itu, dia dikatakan meminta wang daripada ibunya, bagaimanapun berang dan bercakap kasar selepas permintaan tidak dipenuhi.

Abang tertuduh yang ikut campur dengan niat meredakan keadaan diserang pula oleh remaja itu dengan senjata tukul menyebabkan dia cedera di telinga kiri.

Tuduhan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pada prosiding semalam, remaja berkenaan turut dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan doktor dan juga laporan akhlaknya.

Kes bersambung 24 Julai depan.

Polis berkas warga emas, disyaki rogol remaja 15 tahun – Kosmo


Polis berkas warga emas, disyaki rogol remaja 15 tahun

21/05/2013 5:46pm

 

KOTA BHARU – Seorang warga emas berusia 58 tahun ditangkap polis awal pagi ini kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun sehingga gadis itu kini mengandung 15 minggu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi hari ini berkata, suspek yang dikenali sebagai Pok Mat ditangkap polis di rumahnya di Kampung Gaung Mulong, di sini pada pukul 2.30 pagi.

Menurut Azham, bermula awal tahun lalu, suspek yang merupakan kawan kepada bapa mangsa telah membawa gadis itu ke rumahnya lalu merogol mangsa di rumah tersebut.

“Sejak kejadian itu, mangsa kerap kali dirogol mangsa di tempat yang sama.

“Setelah menerima aduan, kita menangkapnya awal pagi semalam di rumahnya. Polis turut mendapati ujian air kencing terhadap lelaki itu yang bekerja sebagai buruh positif dadah jenis morfin,” katanya. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_23.htm#ixzz2TvotMJ2n
Hakcipta terpelihara

Guru hina pasukan keselamatan tiada rekod sakit mental – Utusan


Guru hina pasukan keselamatan tiada rekod sakit mental

KOTA BHARU 20 Mac – Polis tidak menerima sebarang laporan atau pengesahan kesihatan bahawa seorang guru, Mohamad Lotfi Nor, 37, yang ditahan dan disiasat kerana menghina pasukan keselamatan melalui laman sosial Facebook miliknya mengalami masalah mental.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sepanjang siasatan dijalankan, pihaknya tidak menerima laporan atau pengesahan kesihatan daripada doktor yang menyatakan guru terbabit mempunyai masalah mental sehingga mempengaruhi tindakannya mengeluarkan kata-kata penghinaan tersebut.

“Kami masih belum menerima apa-apa laporan doktor mengatakan beliau (Mohamad Lotfi) ada masalah penyakit jiwa atau masalah psikiatri,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Jalaluddin berkata, suspek direman sehingga esok sementara polis menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum mendakwa guru berkenaan di mahkamah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130321/je_01/Guru-hina-pasukan-keselamatan-tiada-rekod-sakit-mental#ixzz2O9qqpTEV
© Utusan Melayu (M) Bhd

SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu – Utusan


SK Zainab 2 lancar Tabung Wira Lahad Datu

Oleh NURUL AKMAR AIDA

KOTA BHARU 17 Mac – Pelbagai pihak di negeri ini terus menyatakan sokongan mereka kepada pasukan keselamatan negara yang berjuang menentang pengganas Sulu di Sabah dengan melancarkan Tabung Wira Lahad Datu.

Antara yang mengambil inisiatif melancarkan tabung tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, Jalan Telipot di sini, bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu keluarga anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Majlis pelancaran tabung itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Tuan Mahmud Tuan Mat dengan dihadiri Guru Besar, Aidah Mohd. Salleh sempena Mesyuarat PIBG Ke-37 sekolah itu semalam.

Tuan Mahmud ketika ditemui kemudiannya berkata, sumbangan ini amat besar ertinya kepada keluarga anggota keselamatan yang gugur di medan perang kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu membiayai kos persekolahan anak-anak.

“Setakat ini sumbangan yang dapat dikumpul kira- kira RM1,200. Walaupun wang yang diperolehi tidak seberapa tetapi sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga untuk meneruskan hidup dan ini menunjukkan keprihatinan kita terhadap mereka.

“Kutipan sumbangan ini tidak terhenti setakat ini sahaja kerana akan diteruskan lagi pada minggu hadapan sehingga akhir bulan Mac dan kita akan mengutip sumbangan ini semasa perhimpunan sekolah, malah ibu bapa juga boleh mengirimkan melalui anak-anak kepada sekolah.

“Sumbangan sebegini perlu diberi oleh masyarakat kerana mengenangkan pengorbanan tentera untuk mempertahankan tanah air daripada diceroboh. Jika ada masyarakat yang tidak bersetuju dengan kerja kutipan derma ini ia adalah perbuatan yang tidak betul,” katanya di sini semalam. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130317/dn_63/SK-Zainab-2-lancar-Tabung-Wira-Lahad-Datu#ixzz2NnkE2PBg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru hina anggota keselamatan Op Daulat direman – Sinar Harian


Guru hina anggota keselamatan Op Daulat direman

ADILA SHARINNI WAHID
15 Mac 2013
Suspek
Suspek seorang guru (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

KOTA BHARU – Seorang guru yang didakwa menghina anggota keselamatan berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Habri Muhamad terhadap guru yang berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden, Mohd Kamal Zainal berkata, perintah reman dibuat bagi membolehkan pihak polis mengendalikan siasatan terhadap kes guru berkenaan.

“Reman tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan berkuat kuasa hari ini sehingga Isnin, 18 Mac,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Suspek merupakan seorang guru yang bertugas di Tok Bali, Pasir Puteh. Dia tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi.

Dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh setelah laporan diterima berhubung kenyataan dalam akaun Facebook miliknya yang menyatakan: “semua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Lahad Datu, Sabah, adalah sebagai ‘anjing-anjing’ yang mati katak, memandangkan tidak dapat mempertahankan negara dari serangan puak Sulu.”

36,000 pelajar YIK nikmati BB1M, bantuan awal sekolah – Utusan


36,000 pelajar YIK nikmati BB1M, bantuan awal sekolah

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 10 Mac – Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima peruntukan Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah hampir RM4 juta untuk para pelajar di 68 buah sekolah di bawah kelolaannya.

Timbalan Pengarah YIK (Bahagian Sekolah), Mohamed Ya berkata, jumlah tersebut tidak termasuk kepada pelajar di 20 buah sekolah lagi yang sudah berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang mana telah menerima bantuan lebih awal.

Beliau berkata, pihaknya amat bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan sekolah-sekolah YIK daripada agihan bantuan tersebut yang akan memberi manfaat kepada lebih 36,000 pelajar YIK secara keseluruhannya.

“Keprihatinan Kerajaan Persekutuan ini sekali gus menunjukkan pengiktirafan kerajaan kepada sekolah-sekolah agama di negeri ini yang mengamalkan sistem pembelajaran bersepadu antara kurikulum Kementerian Pelajaran dan sukatan YIK yang memfokus kepada Bahasa Arab dan agama.

“Soal duit datang daripada mana tidak penting tetapi yang jelas ia adalah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan yang mana kita mesti bersyukur dan pelajar mesti manfaatkan.

“Para pelajar tidak boleh membazir membeli bahan bacaan tidak berkaitan sebaliknya hendaklah membeli buku untuk kepentingan pendidikan mudah-mudahan rezeki akan bertambah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan dan BB1M kepada 2,296 pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi (P) berjumlah RM213,000 di dewan sekolah itu di sini hari ini.

Turut hadir menyampaikan bantuan adalah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Ab. Aziz Daud mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130310/dn_32/36000-pelajar-YIK-nikmati-BB1M-bantuan-awal-sekolah#ixzz2N8oM5cwq
© Utusan Melayu (M) Bhd