Pujuk pelajar masuk sekolah – Metro


Pujuk pelajar masuk sekolah

 0  2 Google +0  0  0

Oleh Hamid Karim

Shah Alam: Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning (SMKK) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melancarkan Ops Lepak bagi mengatasi masalah yang semakin serius babitkan pelajar sekolah berkenaan.

Yang DiPertua PIBG sekolah itu, Kuan Chee Keong berkata, ia inisiatif ibu bapa membantu guru mengatasi masalah terbabit kerana bimbang gejala negatif itu akan menjadi bertambah parah jika tidak dibendung, apatah lagi ia bukan isu yang boleh diatasi sekelip mata jika tidak mendapat kerjasama semua pihak.
Katanya, sebagai permulaan, satu jawatankuasa dianggotai tujuh guru dibentuk akan menggunakan kaedah pujukan dan nasihat bagi memastikan pelajar tidak membuang masa di restoran atau kedai makan di luar sekolah walaupun waktu persekolahan sudah bermula.

 

“Menerusi kaedah ini, masalah pelajar yang sering melepak di beberapa restoran berdekatan sekolah dan lewat memasuki kelas, sama ada sesi pagi atau petang akan dipantau guru tertentu menerusi kaedah lembut dan berhemah.
“Idea ini dicetuskan bagi memastikan masalah lepak dan lewat masuk ke kelas dalam kalangan pelajar dapat ditangani. Kita dapati banyak pelajar masih lepak di restoran selepas waktu persekolahan yang bermula pada jam 7.25 pagi,” katanya.
Chee Keong berkata, sejak dilancarkan sebulan lalu, masalah terbabit semakin dapat diatasi dan yakin ia akan memberi impak positif. “Bagi memastikan Ops Lepak mencapai matlamatnya, PIBG akan meminta kerjasama pengusaha restoran membunyikan loceng yang kami bekalkan pada jam 7.15 pagi dan mengingatkan pelajar yang masih makan atau minum supaya segera memasuki kelas masing-masing. “Pada masa sama kami turut meminta kerjasama pengusaha restoran menampal poster Ops Lepak di premis masing-masing sebagai tanggungjawab sosial mereka,” katanya.

FotoGURU memanggil pelajar masuk ke dalam sekolah sebaik loceng berbunyi.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14

Prihatin pendidikan rakyat – Metro


Prihatin pendidikan rakyat

 0  0 Google +0  0  0

Masalah kesesakan lebih 2,000 pelajar sekolah rendah dan menengah yang menghantui penduduk Kota Kemuning sejak 10 tahun lalu dijangka berakhir dengan cadangan pembinaan tiga sekolah baru.

Projek dianggarkan bernilai RM45 juta itu membabitkan pembinaan sebuah sekolah baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning 2 dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khe Beng dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa bagi menampung pertambahan jumlah pelajar sekitar Kota Kemuning.
Parlimen Kota Raja mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sri Andalas dan Sri Muda dengan jumlah undi keseluruhan 104,134 orang terdiri tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

 

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja Kamaruzzaman Johari berkata, beliau menerima pelbagai rungutan dan bantahan daripada ibu bapa akibat kesukaran mendapat tempat di sekolah kawasan itu kerana mereka enggan mendaftar anak di sekolah berdekatan yang dikatakan terlampau sesak.
Menurutnya, isu seperti kesesakan sekolah, masalah diajukan ibu bapa berkenaan perlu diambil kira atas beberapa faktor seperti pengangkutan dan jarak ke sekolah yang begitu jauh.
Katanya, menyedari hakikat itu, Kerajaan Pusat yang diterajui BN begitu prihatin membantu masyarakat yang memandang pendidikan sebagai tonggak utama untuk mencapai kejayaan.

 

Selaku Ahli Jawatankuasa Pendidikan UMNO Selangor beliau berkata, pembinaan beberapa sekolah baru itu dilihat satu pendekatan seimbang dalam melahirkan modal insan berilmu pengetahuan.
Selain masalah pendidikan, beliau berkata, masalah banjir kilat yang sering melanda tiga kawasan iaitu Johan Setia, Jalan Kebun dan Sri Muda setiap kali hujan lebat memaksa penduduk menghabiskan wang yang banyak untuk membaiki kediaman.

 

Katanya, masalah itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk yang berasa seperti dianaktirikan kerajaan negeri apabila hanya menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang menyokong mereka saja.
Kamaruzzaman berkata, sebagai parti yang prihatin, BN Kota Raja mengambil inisiatif mengemukakan beberapa manifesto baru khusus bagi kawasan Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
“Walaupun tewas kerusi Parlimen ini pada Pilihan Raya Umum 2008, BN dan UMNO Bahagian Kota Raja sentiasa berjuang membela nasib rakyat yang mendakwa ditindas dengan janji palsu pembangkang.
“Kami menerima banyak rungutan daripada penduduk yang berasa ditipu dengan janji pembangkang. Jadi, bagi menyelesaikan masalah ini, kami mengusulkan dana bagi pembinaan sekolah baru serta mengatasi masalah banjir dari kerajaan Pusat,” katanya.
Menurutnya, bagi membantu mengatasi mangsa banjir yang tertindas akibat tidak menerima bantuan kerajaan negeri, beliau menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang.
“Selain itu, komitmen diberikan setiap ahli parti komponen BN ialah bergotong-royong membaiki bumbung, lantai dan dinding rumah rosak menunjukkan kami begitu komited memastikan kehidupan rakyat terjamin. Inisiatif kerajaan memberikan rumah baru kepada golongan miskin di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) juga mampu mengurangkan masalah gelandangan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23