Suami wanita mati dipukul direman – Utusan


Suami wanita mati dipukul direman

Suspek (kiri) yang merupakan suami kepada Nor Fatimah Anis Md. Radzi ditahan reman bersama dua lelaki lain dibawa keluar dari mahkamah di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 29 Dis. – Tiga lelaki termasuk suami kepada Nor Fatimah Anis Md. Radzi, 17, yang maut akibat dihentak dengan objek keras di Kampung Alor Gelegah di sini semalam ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Supritendan V. Saravanan berkata, dua daripada mereka berusia 26 tahun manakala seorang lagi berusia 23 tahun. Kesemuanya bekerja sebagai mekanik.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suami mangsa mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan melibatkan dadah dan kes curi motosikal.

“Motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu dan pihak polis masih menyiasat kes ini dengan terperinci.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121230/ma_01/Suami-wanita-mati-dipukul-direman#ixzz2GUmjTk5g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dipukul gara-gara teman wanita – Sinar Harian


Dipukul gara-gara teman wanita

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Oktober 2012
Dipukul gara-gara teman wanita
Romah dan Mohd Alif menunjukkan laporan polis yang dibuat.

ALOR SETAR – Seorang ibu kesal apabila anak bongsunya dipukul rakan sekolah dengan menggunakan kayu cota dengan alasan anaknya mengganggu teman wanita pelajar lelaki itu.

Ibu mangsa, Romah Hashim, 53, berkata, kejadian yang berlaku Ahad lalu di sebuah sekolah agama swasta di Derga diketahui setelah dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Alif Sharif, 15, yang menerusi panggilan telefon yang dibuat anaknya.

Mohd Alif yang kini sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendakwa dia dipukul pelajar itu di bahagian perut, lengan, kaki dan belakang badan.

Menurutnya, akibat daripada kejadian terbabit anaknya terpaksa menjawab kertas soalan dalam keadaan tidak selesa kerana masih berasa sakit akibat daripada kejadian itu.

“Sewaktu menerima panggilan saya hanya menyangka tiada apa-apa kesan dan hanya bergaduh biasa namun apabila diperiksa saya mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian.

“Saya segera memaklumkan pada guru sekolah itu dan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar,” katanya.

Romah berkata, sebagai ibu dia kesal kerana dengan kejadian yang berlaku kerana kayu cota merupakan barangan larangan yang tidak sepatutnya dibawa oleh pelajar ke sekolah.

Dia berkata, pihak sekolah sepatutnya memeriksa pelajar terlebih dahulu sebelum sesi persekolahan bermula kerana bimbang sekiranya mereka membawa barang larangan sehingga boleh menimbulkan kejadian yang berlaku terhadap anaknya.

Mohd Alif ketika menceritakan kejadian itu berkata, sehari sebelum kejadian dia telah berjumpa dengan rakannya itu di sebuah kafe siber di Simpang Kuala, dekat sini dan remaja itu telah mengugut akan memukulnya di sekolah.

Dia yang langsung tidak mengenali teman wanita rakannya itu tidak menyangka akan dipukul sehingga mengganggu konsentrasinya untuk menjawab peperiksaan.

“Walaupun masih berasa sakit di beberapa bahagian yang dipukul namun saya terpaksa habiskan menjawab kertas soalan.

“Selepas kejadian itu, saya tidak menerima ugutan daripada pelajar berkenaan dan berharap kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.

Jurucakap sekolah memaklumkan kes yang berlaku adalah kes terpencil dan telah pun diselesaikan oleh pihak sekolah dengan memanggil kedua-dua pelajar untuk meminta maaf agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.

Adzaman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (Refer To Order) yang merujuk semula kepada sekolah.

Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior – Bernama


Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior

9 Julai 2012
ALOR SETAR – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di sini mendakwa gegendang telinganya cedera selepas ditampar oleh pelajar senior di asrama sekolah itu, Khamis lalu.

Mangsa, Mohamad Hazim Mohamad Zaid, 13, berkata kejadian itu berlaku selepas seorang senior menampar pipinya atas kesalahan kecil kerana tidak mengemas tempat tidurnya Rabu lalu.

Selepas kejadian itu, mangsa yang mengalami pening kepala, mata kabur dan pendengaran kurang jelas mengadu kepada ibunya selepas pulang ke rumah di Kampung Rambai, Simpang Empat, dekat sini pada petang hari kejadian.

Dia dibawa ke klinik Tanah Merah, Pendang untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan dibawa ke Hospital
Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibu mangsa, Norhafizah Puteh, 39, berkata doktor mengesahkan bahawa gegendang telinga sebelah kanan anaknya itu pecah dan mengalami pendarahan akibat ditampar dengan kuat dan dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) Mansor Lat berkata bahawa beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung kes tersebut.

“Saya sekarang ada di Putrajaya dan masih belum dimaklumkan tentang kes ini, tapi saya akan siasat kes ini selepas selesai kerja saya di sini nanti” katanya selepas dihubungi. – Bernama