Jerebu: Sekolah di Pontian, Kota Tinggi pula diarah tutup – Berita Harian


Jerebu: Sekolah di Pontian, Kota Tinggi pula diarah tutup

2013/06/21 – 11:59:03 AMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Dua lagi daerah diarah menghentikan operasi kesemua sekolahnya hari ini akibat jerebu apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan pada paras berbahaya melebihi 300.

Sebanyak 195 sekolah membabitkan 71,097 murid serta pelajar di Pontian dan Kota Tinggi ditutup serta-merta.

Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata satu lagi daerah iaitu Kulaijaya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan bacaan IPU melebihi 150.

STPM: Kebanyakan negeri catat keputusan baik – Bernama


STPM: Kebanyakan negeri catat keputusan baik

18 Mac 2013
STPM
Pelajar-Pelajar SMK (P) Sultan Ibrahim gembira sambil meraikan kejayaan mereka selepas mendapat keputusan STPM 2012 di sekolah mereka di Johor Bahru hari ini – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan hari ini, dan ada di antara sekolah yang mencatatkan pencapaian kelulusan 100 peratus.

Di KEDAH, sebanyak 11 sekolah mencatatkan keputusan 100 peratus kelulusan dengan lima daripadanya adalah sekolah kategori luar bandar manakala enam sekolah kategori bandar.

Pengarah Pelajaran negeri Mansor Lat dalam kenyataannya berkata 22 daripada 4,214 calon memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan dua daripadanya mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil.

Di KELANTAN, sebanyak 14 sekolah mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan empat pelajar dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat kebangsaan berbanding hanya seorang pada tahun 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hussain Awang berkata peratus kelulusan keseluruhan calon STPM pada 2012 ialah 95.12 peratus atau 5,399 calon berbanding 95.99 peratus atau 5,838 calon pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya jumlah calon yang mendapat lima prinsipal berkurangan kepada 1,248 orang atau 24.53 peratus berbanding 1,310 orang atau 24.45 peratus pada 2011.

Di JOHOR, sebanyak 34 sekolah mencapai 100 peratus kelulusan berbanding 30 sekolah pada 2011 dengan seramai 5,127 daripada 5,311 (96.54 peratus) calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Mohd Nor A. Ghani berkata sekolah yang mencapai peratus keputusan tertinggi di peringkat empat dan lima prinsipal adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Kota Tinggi (90.91 peratus); SMK Jementah, Segamat (86.67 peratus); dan SMK (Perempuan) Sultan Ibrahim, Johor Baharu (79.49 peratus).

Peratusan calon yang memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.49 pada 2012 adalah seramai 983 orang (18.51 peratus) berbanding 908 orang (19.06 peratus) pada 2011., katanya dan menurutnya 16 sekolah mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh.

Di TERENGGANU, keputusan STPM yang diumumkan itu menyaksikan dua pelajar negeri tersebut terpilih sebagai beberapa calon terbaik negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hashim Mohd Zin berkata seramai 2,861 orang calon (96.01 peratus) telah mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

“Pencapaian ini adalah yang terbaik berbanding dua tahun lalu dan yang lebih membanggakan setelah dua pelajar kita terpilih buat pertama kali sebagai calon terbaik negara,” katanya dalam sidang media.

Sementara di MELAKA, calon lulus penuh STPM 2012 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.17 peratus dengan jumlah 1,198 pelajar berbanding 1,151 pada 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, seramai 644 calon berjaya memperoleh empat prinsipal iaitu peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dari segi kualiti, seramai 14 calon memperoleh PNGK 4.0 dan 425 calon memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas,” katanya kepada pemberita.

Katanya secara keseluruhan, keputusan STPM di negeri itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun daripada segi gred purata negeri (GNP) iaitu meningkat 0.05 mata kepada 2.5 berbanding 2.45 pada 2011.

Di PAHANG, pencapaian kelulusan penuh keputusan STPM di negeri itu meningkat sebanyak 2.69 peratus iaitu 96.51 peratus berbanding 93.82 peratus tahun 2011.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Rosdi Ismail berkata, peratus pencapaian lulus daripada 2,435 pelajar itu berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh 94.44 peratus.

Bagi PNGK yang mendapat keputusan tertinggi iaitu 4.0 turut meningkat daripada 11 calon pada 2011 kepada 30 calon tahun lepas, katanya.

Katanya, prestasi keseluruhan sekolah menunjukkan 20 buah sekolah daripada 49 buah sekolah berjaya mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus manakala 26 buah sekolah lagi berjaya mencapai kelulusan penuh melebihi 90 peratus.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran negeri Kalsom Khalid berkata seramai 13 orang pelajar, tiga daripada jurusan sains dan bakinya jurusan sastera memperoleh PNGK 4.00.

“Terdapat seramai 1,394 orang calon atau 94.9 peratus lulus  sekurang- kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Daripada jumlah itu sebanyak 23 lulus 5 prinsipal, 679 lulus 4 prinsipal, 318 lulus 3 prinsipal, 215 lulus 2 prinsipal dan 159 lulus 1 prinsipal,” katanya dalam kenyataan.

Di SARAWAK, seramai 5,216 orang atau 92.82 peratus calon sekolah layak mendapat sijil STPM 2012 berbanding 5,210 calon (90.96 peratus) pada 2011.

Seramai 6,017 calon telah menduduki peperiksaan tersebut di Sarawak pada 2012 iaitu 5,668 orang atau 94.20 peratus merupakan calon sekolah menengah kebangsaan, sementara 349 orang (5.80 peratus) adalah calon persendirian.

Namun begitu, di PULAU PINANG, keputusan STPM menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata Pulau Pinang mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 1.71 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.15 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).

Di PERAK, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Muhamat Roli Hassan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus menunjukkan penurunan sebanyak 0.80 peratus berbanding pada tahun 2011 iaitu 95.81 peratus.

“Sebanyak 4,376 calon daripada jumlah keseluruhan 4,606 merekodkan kelulusan penuh. Daripada jumlah itu sebanyak 188 calon lulus lima prinsipal serta 2,152 lulus empat prinsipal,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sebanyak 51 pelajar memperoleh PNGK 4.0 dengan peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding tahun 2011 manakala sebanyak 1,171 pelajar mendapat PNGK antara 3.0 dan 4.0.

Di SABAH, seramai 5,376 orang calon atau 89.41 peratus mendapat lulus penuh berbanding 88.76 peratus pada tahun 2011.

Ketika mengumumkan keputusan STPM Sabah di SMK Tansau di sini, Pengarah Pelajaran negeri Jame Alip  berkata ini menunjukkan peningkatan pencapaian peratus lulus negeri meningkat sebanyak 0.65 peratus.

Beliau berkata antara sekolah mencapai 100 peratus lulus ialah SMK Likas Kota Kinabalu, SMJK Tiong Hua, Sandakan, SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sekolah Tinggi Kota Agamam Mohd Ali, Ranau, SMK Kunak, Kunak, SM.Sung Siew, Sandakan, SMK Merotai, Tawau, SMK Segaliud, Sandakan dan SMK Weston, Beaufort.

Sementara itu, Nurul Jannah Sulaiman dari SMK Perempuan Likas muncul pelajar terbaik negeri Sabah bagi Aliran Kemanusiaan dengan PNGK 4.00 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek dan Gred A- bagi Pengajian Perniagaan.

Hong Joway dari SM La Salle muncul pelajar terbaik Aliran Sains dengan PNGK 3.92 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek. – Bernama

Remaja 16 tahun cari wali – Sinar Harian


Remaja 16 tahun cari wali

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013
Remaja 16 tahun cari wali
Nor Azanita menunjukkan sijil kelahirannya yang didaftarkan di Johor Bahru

KOTA TINGGI – Seorang remaja perempuan mendakwa tidak pernah bertemu kedua-dua ibu bapanya sejak dilahirkan, kini mencari wali bagi membolehkannya melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan.

Nor Azanita Bakar, 16, berkata, sejak kecil dia tinggal bersama keluarga angkat di Segamat malah hingga kini tidak mengetahui butiran lanjut mengenai latar belakang ibu bapanya itu.

Ibu bapa angkatnya juga tidak banyak berbicara mengenai ibu bapa kandungnya namun selepas didesak, ibu angkatnya hanya memaklumkan ibunya hanya dikenali sebagai Ana.

“Saya bersekolah hingga tingkatan tiga tetapi selepas itu saya berdikari sendiri dengan menyewa di luar dan mencari kerja.

“Namun kini saya menghadapi masalah kerana perlukan wali untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan saya.

“Malah perkahwinan  kami yang sepatutnya dilangsungkan pada 28 Januari ini terpaksa ditangguhkan kerana masalah wali,” katanya yang kini bekerja dan menyewa di Felda Air Tawar 5.

Sebaik menyewa di Felda Air Tawar 5, Nor Azanita rapat dengan Mohamad Sahar Noh, 62, yang dianggap sebagai bapa angkat yang prihatin akan nasibnya.

Mohamad Sahar berharap Nor Azanita dipertemukan dengan walinya secepat mungkin.

“Apa yang diharapkan mana-mana pihak yang pernah  mengenali ibu bapa kepada Nor Azanita akan segera mencari anaknya ini bagi melancarkan urusan pernikahannya.

“Kita bimbang akan pandangan orang ramai, jika dia sudah diijabkabulkan tidak ada perkara yang perlu dirisaukan lagi tambahan pula suaminya nanti boleh menjadi tempatnya berlindung,” katanya.

UPSR: Murid cemerlang tak puas hati – Sinar Harian


UPSR: Murid cemerlang tak puas hati

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 November 2012
Muhammad Shahrizan
Muhammad Shahrizan di samping ibu dan ayah serta adiknya menunjukkan anugerah pelajar cemerlang yang diterima.
Nurul Athira dicium ibunya selepas menerima anugerah pelajar cemerlang kategori calon Orang Asli.
Nurul Athira dicium ibunya selepas menerima anugerah pelajar cemerlang kategori calon Orang Asli.

KOTA TINGGI – “Walaupun dinobatkan murid cemerlang, saya masih tak puas hati,” kata Muhammad Shahrizan Salim, 12, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR kategori calon Orang Asli peringkat Johor.

Jelasnya, dia sedikit terkilan dengan keputusan 3A 2B yang diperoleh dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu.

Tambahnya, dia berjanji akan menebus kekecewaan itu pada masa akan datang.

“Saya sasarkan keputusan 4A 1B, walaupun sedikit terkilan tapi saya akan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk berjaya dan mendapatkan keputusan lebih baik pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) nanti,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang
bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sungai Layar itu kepada Sinar Harian, semalam.

Bagi ibunya, Shahriza Norazman, 30, berkata, walaupun dia dan suami Salim Abdul Karim, 32, hanya dapat belajar sehingga darjah dua dan enam dia tidak mahu anaknya mengikut jejak sama.

Menurutnya, apa yang diharapkan anaknya dapat membesar dengan pendidikan yang cukup kerana hanya dengan ilmu sahaja yang dapat merubah nasib keluarga.

Bagi rakannya, Nurul Athira Norazman, 12, yang turut menerima anugerah sama berkata, usaha membuat nota kaki selama ini membuahkan hasil apabila dia mendapat keputusan 2A dan 3B dalam peperiksaan tersebut.

“Sebelum ini, setiap kali peperiksaan saya tidak pernah mendapat A dalam sebarang mata pelajaran. Tak sangka, saya mampu memperoleh keputusan ini dan dinobatkan murid cemerlang,” katanya.

Manakala, ibunya, Masnah Mdtap, 49, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu guru bahawa anaknya dianugerahkan pelajar cemerlang.

Menurutnya, dia jarang melihat anaknya itu belajar, tetapi suka membuat nota mengulang kaji pelajaran.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan keputusan yang baik kepada Nurul Athira, walaupun seakan tidak percaya anugerah diperolehnya,” katanya.

Ayah rentung dalam van – Metro


Ayah rentung dalam van

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...Nor Aini Syahirah (kiri) dan adiknya, Nor Aina Syafiqah (tengah) ditenteramkan ahli keluarga. Gambar kecil, Daud.
PILU…Nor Aini Syahirah (kiri) dan adiknya, Nor Aina Syafiqah (tengah) ditenteramkan ahli keluarga. Gambar kecil, Daud.

KOTA TINGGI: Sukar digambarkan kesedihan dirasai empat beradik ketika melihat ayah mereka mati terbakar selepas van Nissan Vanette dinaiki mereka berlanggar sebuah kereta di Kilometer 11, Jalan Lok Heng-Mawai, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 9.15 pagi itu, anggota polis berpangkat koperal, Daud Talib, 46, rentung selepas tersepit di tempat duduk pemandu dan gagal diselamatkan.

Turut terkorban dalam kemalangan jam 9.15 pagi itu ialah Adibah Hashim, 48, pemandu kereta Proton Iswara yang bertembung van dipandu Daud.

Isteri Daud, Salina Kadis, 44, parah manakala empat anak dan tiga anak saudara berusia lima hingga 17 tahun yang berada dalam van sama cedera ringan.

 
Kejadian berlaku apabila Adibah hilang kawalan sebelum kereta dipandunya termasuk ke laluan bertentangan dan bertembung van dinaiki Daud sekeluarga.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01

3 lagi mati lemas di pantai – Utusan


3 lagi mati lemas di pantai

 

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

 

JENAZAH dua beradik dibawa keluar untuk dihantar ke rumah keluarga mereka di Ulu Tiram selepas selesai bedah siasat di HKT, Kota Tinggi, semalam. – UTUSAN/FARIK SALLEH

 

KOTA TINGGI 24 Jan. – Seperti tidak mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi mati lemas dalam tempoh dua hari lalu, tiga lagi termasuk dua beradik menjadi mangsa terbaru kejadian itu, petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua beradik dan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mati lemas di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil dan di Pantai Tanjung Balau dekat Desaru di sini.

Dalam kejadian pertama pukul 2.30 petang di Pantai Tanjung Buloh, Mohamad Izzuddin Sanudin, 12, dan Mohamad Aqhmal (gambar), 21, dari Ulu Tiram, Johor Bahru ditemui dalam keadaan terapung selepas keluarganya menyedari kehilangan mereka berdua.

Ibu bapa mereka, Sanudin Abu, 45, dan Norhayati Ibrahim, 43, datang ke pantai itu sejak pagi untuk berkelah bersama enam anak mereka yang lain.

Menurut Norhayati, sebelum itu mereka dikejutkan dengan kejadian kanak-kanak nyaris lemas dan dikejarkan ke pantai untuk pertolongan cemas.

“Namun pada masa sama, kami menyedari Mohamad Izzuddin dan Mohamad Aqhmal tiada di celah orang ramai lantas mula mencari mereka berdua.

“Tidak lama kemudian seorang pemancing ternampak satu mayat terapung lalu menariknya ke pantai.

“Kami terperanjat kerana mendapati mangsa adalah Aqhmal dan selang setengah jam, mayat Izzuddin pula ditemui terapung oleh seorang pengunjung lain,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.

Jenazah dua beradik itu dituntut ahli keluarganya pada pukul 9 malam selepas bedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga mereka di Ulu Tiram dan dikebumikan pada malam yang sama di Tanah Perkuburan Islam Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah, Che Mahazan Che Aik berkata, selain dua beradik itu, seorang lagi mangsa yang merupakan lepasan SPM, Richard Rajakumaran, 18, mati lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, pukul 2 petang.

Katanya, mangsa datang ke pantai itu bersama 17 ahli keluarganya dari Taman Perling, Johor Bahru.

Difahamkan, seramai tujuh daripada mereka bermain air di pantai sebelum dilambung ombak namun hanya Richard seorang yang hilang dibawa arus.

“Mayat Richard ditemui terdampar di pantai di tempat kejadian 30 minit kemudian,” katanya lagi.