Gagal selamat rakan lemas – Metro


Gagal selamat rakan lemas

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: “Saya segera terjun ke sungai dan cuba menolaknya ke atas sebaik melihat dia terkapai-kapai, tetapi gagal menyelamatkannya,” kata Muiz Hanafi Mat Razol Ghani, 15, rakan kepada Mohamad Aliff Imran Ghani, 15, yang lemas ketika mandi di Taman Pertanian Air Terjun Sekayu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang meninggal dunia selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi bersama empat rakan.

Muiz Hanafi berkata, sebelum kejadian, dia bersama empat rakan termasuk mangsa ke taman itu untuk mandi, namun nasib tidak menyebelahi arwah apabila pautannya pada batu terlepas sebelum dihanyutkan arus sungai.

Sebelum kejadian itu, dia duduk berhampiran arwah bersama seorang lagi rakan manakala dua lagi yang tidak mandi berada tidak jauh dari kami.

FotoORANG ramai mengangkat jenazah Mohamad Aliff Imran (gambar kecil).

“Beberapa minit sebelum kejadian, arwah mengajak kami pulang, tetapi pautannya pada batu tiba-tiba terlepas lalu dibawa arus sungai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Pelajar ditembak disangka burung – Kosmo


Pelajar ditembak disangka burung
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

MOHD. ROYDY menunjukkan kesan serpihan peluru dilepaskan seorang pemburu yang mengenai bahu kirinya dalam kejadian di Kuala Berang 2 Julai lalu.

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar cedera di bahu kiri apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) selepas menyangka mangsa sebagai burung ketika sedang berburu di Kampung Kuala Kejil, Kuala Berang baru-baru ini.

Kejadian pukul 7 malam, 2 Julai lalu itu berlaku apabila Mohd. Roydy Abdul Razak, 17, sedang memanjat sebatang pokok kundang untuk mengambil sarang burung sebelum suspek yang sedang berburu terus melepaskan tembakan ke arahnya sebaik melihat pokok berkenaan bergoyang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa yang cedera di bahu kiri selepas terkena serpihan peluru dari senapang patah berkenaan kemudian turun sebelum memberitahu terasa kebas.

Katanya, mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Bukit Payong bagi mengeluarkan serpihan peluru tersebut keesokan harinya.

“Perkara itu lambat dilaporkan kerana keluarga suspek telah bersetuju untuk menanggung kos perubatan mangsa. Namun sebaliknya berlaku hingga membuatkan keluarga mangsa bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang semalam (kelmarin),” katanya pada sidang akhbar semalam.

Mahu pihak sekolah beri penjelasan – Sinar Harian


Mahu pihak sekolah beri penjelasan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2012
Mahu pihak sekolah beri penjelasan

KUALA BERANG – “Kalau betul sepanjang saya bekerja ada membuat masalah, kenapa tidak berbincang terlebih dahulu sebelum bertindak menyuruh majikan menukarkan saya ke tempat lain,” itu luah ibu tunggal yang mendakwa dirinya teraniaya.

Rokiah Mohamed, 44, ketika ditemui berkata, dia terkilan dengan jawapan yang diberikan pihak pengurusan sekolah kerana sepanjang bekerja di situ, dia mendakwa tidak pernah diajak berbincang masalah yang berlaku terhadap cara kerjanya sehingga diberhentikan.

“Kalau betul saya melakukan kesalahan, kenapa tidak diberitahu terlebih dahulu supaya ia boleh diselesaikan dengan cara baik, tetapi memilih cara ini sehingga saya hilang mata pencarian.

“Ini tidak adil bagi saya selaku seorang ibu tunggal yang juga menanggung anak serta cucu yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Rokiah yang malu dengan kenyataan itu berkata, jika benar dia mendatangkan masalah kepada sekolah selama ini, dia mahu bersemuka dengan pihak pengurusan sekolah itu untuk mengetahui cerita sebenar punca dia diarah ditukar ke sekolah lain.

“Jika betul saya salah, saya mengaku tetapi dalam situasi sekarang, saya dibuang kerja atas arahan pihak sekolah tanpa mengetahui punca sebenar menyebabkan saya amat terkilan.

“Sepatutnya perkara seperti ini perlu dibawa berbincang terlebih dahulu, jangan terburu-buru kerana saya mempunyai tanggungan dan juga seorang ibu tunggal,” katanya.

Sehingga kini, Rokiah masih mencari kesalahan yang dilakukan dan berharap pihak sekolah tampil untuk memberi penjelasan supaya dia mengetahui punca sebenar.

Semalam Sinar Harian melaporkan mengenai seorang tukang sapu di sebuah sekolah di bandar Kuala Berang mendakwa diberhentikan tanpa sebarang notis, malah lebih malang dia juga mendakwa, majikannya memberitahu arahan memberhentikannya adalah daripada pihak pengurusan sekolah.

‘Saya rimas pakai topeng’ – Metro


‘Saya rimas pakai topeng’

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA BERANG: “Bukan sebab malu, tapi rasa rimas dan panas apabila memakai topeng itu menyebabkan saya lebih selesa mengikuti pembelajaran di dalam kelas tanpa memakainya,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 10, ketika ditemui pada hari pertama persekolahan sesi 2012 di Sekolah Kebangsaan Padang Star, Sekayu, semalam.

Nurul Dahyatul atau lebih mesra dipanggil Lin di kalangan ahli keluarganya kelihatan gembira dan seronok mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas Tahun Empat Pintar.
Dia yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri dalam kejadian pada 15 Ogos 2010 berkata, mukanya sering gatal-gatal dan terpaksa menyapu ubat setiap malam bagi melegakan rasa gatal itu.

 

“Jika diikutkan, saya perlu memakai topeng 23 jam sehari dalam tempoh dua tahun, tetapi tidak tahan kerana berasa rimas dan panas.
“Saya tidak kisah jika muka bermasalah sekalipun asalkan boleh memberi tumpuan dalam kelas kerana topeng itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya di dalam kelas,” katanya.
Menurutnya, dia lebih semangat belajar apabila memperoleh keputusan memuaskan pada peperiksaan tahun tiga lalu dengan menduduki tempat kesembilan daripada 35 pelajar dalam kelasnya.

 

 

“Saya akan berusaha lebih gigih untuk memperoleh keputusan lebih baik. Sasaran saya ialah memperoleh tempat pertama pada peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.
Sementara itu, ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, berkata, dia bangga dan puas hati dengan kecemerlangan serta potensi ditunjukkan Lin dalam pelajaran.

 

“Walaupun dia mengalami masalah pada wajahnya, dia tetap membuktikan kemampuannya untuk memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan.
“Lin sebenarnya menderita kerana dia sukar bernafas ketika tidur.
“Saluran hidungnya yang terlalu sempit membuatkan Lin menanggung derita,” katanya.
Che Ku Zaimah berharap ada pihak menyalurkan bantuan membiayai pembedahan keseluruhan muka Lin yang berjumlah RM300,000.
“Jika diikutkan, Lin perlu menjalani pembedahan seberapa segera, namun kerana faktor kewangan, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan sehingga kini.
“Lin juga sudah lima bulan tidak menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana memerlukan RM100 untuk tambang van atau teksi,” katanya yang berniaga sayur di Pasar Kuala Brang.