Amaran keras – Metro


Amaran keras

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi amaran bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang memperalatkan kanak-kanak melakukan jualan amal apatah lagi jika motif sebenarnya diragui pihak berkuasa.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanaknya, Arfan Sulaiman berkata, gelagat murid sebuah tahfiz mengutip dana lebih 10 jam seolah-olah menampakkan mereka dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 menyebut kanak-kanak tidak boleh digunakan mengemis serta ia satu kesalahan sebaik adanya individu mendorong dan membenarkan kanak-kanak menjalankan kegiatan seperti mengemis, menerima sedekah, sama ada menerusi aktiviti menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan.

 

“Andainya terdapat antara aktiviti dinyatakan dilakukan kanak-kanak berikut, pihak yang mendorong serta memberi kebenaran menjalankan aktiviti sebagaimana didakwa, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali waima ibu bapa kanak-kanak itu sendiri,” katanya.
Beliau menyarankan orang ramai mengekang kegiatan pihak itu dengan tidak membeli barangan yang dijual pelajar tahfiz berkenaan. Ini kerana tindakan orang ramai membeli barangan itu sama seperti menggalakkan eksploitasi terhadap pelajar tahfiz itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP), Noormah Datuk Rauf berkata, eksploitasi kanak-kanak bagi kepentingan pihak tertentu pasti tiada berkesudahan andainya rakyat Malaysia kekal menyalurkan keprihatinan menerusi cara salah. “Disebabkan itu, pihak JKM mahu mendidik masyarakat seterusnya menyelamatkan mereka yang dipergunakan pihak tertentu menerusi kempen ‘Kami Tidak Memberi Kerana Kami Prihatin’ yang bakal dilancarkan 31 Januari ini (esok) di Kuala Lumpur Sentral,” katanya.