Pelajar 15 tahun hilang dirayu pulang – Bernama


Pelajar 15 tahun hilang dirayu pulang

11 Julai 2013

KUALA NERANG – Seorang pelajar dari Kampung Pandang Cenderai, Padang Terap dekat sini yang meninggal rumahnya hampir tiga bulan lepas dirayu agar segera pulang ke pangkuan keluarganya.

Siti Nor Hazwani Abdul Rashid, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap keluar dari rumah pada 18 April lepas dipercayai mengikuti teman lelakinya.

Bapanya Abdul Rashid Osman, 47, berkata beliau telah membuat laporan polis berikutan kehilangan anak keempat dari lima beradik itu yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.

“Pada mulanya anak saya dilihat sedang melakukan kerja sekolahnya di dalam bilik tidurnya kira-kira 9.30 malam.

“Saya kemudiannya mendapati anak saya sudah tidak lagi berada di dalam bilik dan mendapati pintu dapur rumah kami turut terbuka.

“Pintu dapur rumah kami tidak pernah terbuka pada waktu malam. Bila saya periksa dalam bilik anak saya, saya dapati dia telah tiada.

“Kami dapati Hazwani membawa beberapa helai pakaiannya serta tidak membawa kad pengenalan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata mereka turut mengedarkan risalah yang mengandungi gambar anaknya.

Ibu gadis berkenaan, Zurina Senafi, 41, berkata anaknya pernah menghubunginya sebanyak tiga kali bulan lepas memaklumkan dia selamat dan sedang berada bersama sebuah keluarga yang tidak dikenali di Pahang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nor Hazwani diminta menghubungi Abdul Rashid di talian 013-491 2113/019-492 8656 atau balai polis terdekat. – Bernama

PMR: Calon OKU catat kejutan – Berita Harian


PMR: Calon OKU catat kejutan

2012/12/20 – 06:41:19 AMCetakEmel Kawan
gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoSeramai 80 orang pelajar SMK Perempuan St George, Pulau Pinang mendapat 8A dalam keputusan PMR yang diumumkan semalam.
  • FotoMira Amyra Bobby Asmidi menunjukkan keputusan PMR 4A, 4B yang diperolehinya kepada ibunya Haryani Hassan, di Bukit Baru, Melaka.
  • FotoSebahagian 93 pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor meraikan keputusan PMR yang diperoleh semalam.

14 calon keperluan khas raih keputusan cemerlang, bukti kekurangan tak jadi halangan

Kuala Lumpur: Empat belas calon keperluan khas mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan semalam.

Antara mereka ialah pasangan kembar, Ainul Yaqin Lokman dan Ainul Asyraf, yang menderita akibat Thalasemia.

Pasangan itu bukan saja meraih keputusan 9A, malah turut dinobat pelajar terbaik SMK Dato Syed Ahmad di Kuala Nerang, Kedah.

Mereka menghidap Thalasemia sejak kecil kerana ibu bapa mereka adalah pembawa penyakit itu.

Di Kota Bharu, keadaan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki sejak berumur setahun tidak menghalang Anis Adilah Amlaki, pelajar SMK Zainab I memperoleh 7A dan 1E.

Kesusahan berbaloi

Dia mendapat E dalam subjek Kemahiran Hidup (Perdagangan) kerana gagal mengambil kerja khusus atas faktor kesihatan.
“Kesusahan ibu bapa yang terpaksa mendukung saya setiap hari ke sekolah akhirnya berbaloi,” katanya yang menggunakan kerusi roda di sekolah.

Ketua Penolong Kanan (Pentadbir) sekolahnya, Wan Marina Wan Omar, berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan Kementerian Pelajaran mengenai status pelajar itu kerana Anis Adilah sepatutnya dikecualikan daripada menduduki kerja khusus bagi pelajar OKU.

Terima anugerah khas

Di Johor Bahru, Khairunnisaq Khairuddin dari SMK Bandar Mas, Kota Tinggi, yang mengalami penyakit genetik otot saraf (SMA) menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Calon Berkeperluan Khas (CBK) bagi kategori calon berkeperluan khas (fizikal).

Khairunnisaq yang menghidap SMA sejak lahir dan terpaksa berkerusi roda akibat lemah anggota badan mencatat keputusan 8A.

Teh Yong Shing, 17, pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak di sini, adalah calon tunggal daripada 23 calon sekolah itu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Pagi tadi (semalam), cikgu telefon dan saya agak terkejut. Tapi saya tidak boleh ke Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan kerana ayah bekerja,” katanya yang tinggal di Seremban.

Di Georgetown, Chew Sui Teng, 15, yang juga pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St George mendapat 6A 1B.

Dua lagi calon keperluan khas (CBK) di Pulau Pinang iaitu Neoh Xin Ee dari Sekolah St George dan Khor Wei Quan yang rabun, masing-masing memperoleh 7A dan 7A 1B.

Di Kuala Terengganu, Alia Syuhada Aziz, pelajar yang cacat pendengaran sejak lahir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan mencapai keputusan 8A.

Di Besut, pelajar cacat fizikal Nurfarah Hanim Mohamad dari SMK Tengku Mahmud memperoleh keputusan 7A 1B. Nurfarah yang cacat kedua belah kaki akibat kereputan tulang, didukung ke sekolah sejak Tahun 1.

Di Ipoh, Oui Yuen Shie, yang terpaksa menggunakan kanta khas untuk membaca turut memperoleh A bagi semua mata pelajaran.

Guru besar mengaku tidak bersalah makan rasuah RM32,400 – Kosmo


Guru besar mengaku tidak bersalah makan rasuah RM32,400

ZAKARIA (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam selepas didakwa menerima suapan berjumlah RM32,400 empat tahun lalu.

 

ALOR SETAR – Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima tuduhan menerima suapan bernilai RM32,400 membabitkan bekalan pakaian seragam kokurikulum sekolah empat tahun lalu.

Zakaria Md. Lazim, 54, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.

Bagi tuduhan pertama, Zakaria didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR) sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 yang mempunyai kepentingan kerana pemilik syarikat adalah adiknya, Ros Adimas.

Bagi tuduhan kedua hingga keempat, Zakaria dituduh atas kesalahan serupa dengan memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian Persatuan Bulan Sabit Merah bernilai RM6,300, set pakaian Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bernilai RM8,200 dan set pakaian pengakap RM8,700.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di SKTB pada November 2008 tanpa dinyatakan waktu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

500 pelajar terima netbook – Sinar Harian


500 pelajar terima netbook

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 September 2012
Sebahagian daripada 500 pelajar dalam kawasan Dun Kuala Nerang gembira setelah menerima Netbook 1Mal
Sebahagian daripada 500 pelajar dalam kawasan Dun Kuala Nerang gembira setelah menerima Netbook 1Malaysia.

KUALA NERANG – Seramai 500 pelajar sekolah menengah dan rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Nerang menerima komputer Netbook 1Malaysia.

Penyampaian netbook itu disempurnakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Anuar Sultan Badlishah pada satu majlis di sini.

Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, sehingga kini hampir 4,000 orang terdiri daripada pelajar, pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan usahawan kecil dalam Dun Kuala Nerang menerima netbook 1Malaysia.

“Kumpulan itu khususnya pelajar sekolah menengah merupakan sasaran kerajaan untuk meningkatkan tahap penguasaan teknologi maklumat penduduk luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Syed Sobri berkata, Pusat Jalur Lebar Dun Kuala Nerang  dibina di Kampung Tanjung, Padang Nyior dan Pekan Kuala Nerang  memberi kemudahan berguna kepada masyarakat luar bandar.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) juga meluluskan projek perkampungan Wifi di Bukit Tembaga di sini.

Sementara itu, Syed Sobri turut menasihatkan ibu bapa atau pihak sekolah yang belum mendapat netbook supaya mendaftar nama pelajar di Pusat Khidmat Dun Kuala Nerang.

Terdahulu pengarah SKMM Wilayah Utara Hussin Ali berkata program kesedaran ‘Klik dengan Bijak’ yang dilancarkan Julai lalu memberi kesan positif terhadap penggunaan Internet.

“SKMM menerima banyak aduan selain mengesan penyalahgunaan Internet yang berleluasa terutama facebook dan twitter. Program kesedaran ini diharap dapat mendidik masyarakat lebih bertanggungjawab,” katanya.

Pada majlis itu Tunku Anuar turut menyampaikan hamper dan duit raya kepada pelajar-pelajar berkenaan iaitu dari empat sekolah menengah dan tiga sekolah rendah.