Berbuka sendirian sebelum ajal – Berita Harian


Berbuka sendirian sebelum ajal

19/08/2012 – 01:03:40 AMĀ Oleh Safuri KamarudinCetakEmel Kawan
Baling: Terkilan sangat kerana dia tak sempat pakai baju dan kasut baru yang sudah dibeli, namun saya reda Allah menjemputnya dalam usia muda ketika umat Islam bersiap sedia menyambut hari raya.

Bagi Sofiah Ahmad, 47, kematian anaknya, Muhd Shauque Sufi Khalilluddin, 15, yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi, harus diterima walaupun pemergian anak keduanya itu memang mengejutkan.

Remaja berkenaan maut apabila motosikal diboncengnya melanggar sebuah PROTON Persona yang sedang mengundur di Kilometer 54.9 Jalan Sungai Petani-Baling, di sini jam 11.30 malam kelmarin.

Kejadian dua hari sebelum Aidilfitri itu berlaku berdekatan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Baling, kira-kira jam 3 pagi akibat parah.

Rempuh kereta

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling itu, dikatakan menemani rakannya yang menunggang motosikal, Mohd Khairul Naim Abu Bakar, 17, dari rumah di Kampung Mengkuang Masjid, Kuala Pegang ke pekan ini untuk membeli kasut raya.

Kira-kira 500 meter sebelum sampai ke pekan, Khairul dipercayai tidak menyedari PROTON Persona berkenaan sedang mengundur itu lalu merempuh kereta terbabit.
Sofiah, guru di SMK Agama Baling, juga berkata dia tidak menyangka perubahan sikap Shauque yang gemar berbuka sendirian tanpa ahli keluarga lain sejak -akhir ini, menjadi petanda anaknya itu bakal meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Makanan sudah dihidang atas meja, tapi dia tetap duduk bersendirian walaupun saya dan adik beradiknya mengajak berbuka bersama. Dia juga sering merungut tidak mahu ambil PMR, Oktober ini kerana tidak bersemangat, malah pernah berkata dia rela dibuang sekolah.

Saya tertanya-tanya mengapa sikapnya begitu kerana dia sebenarnya anak yang baik, rajin dan suka menolong keluarga, katanya.