Tiga pelajar ditahan kutip derma – Kosmo


Tiga pelajar ditahan kutip derma

 

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my

 

PEGAWAI polis memeriksa dokumen perjalanan pelajar yang ditahan ketika sedang mengutip derma daripada orang ramai di sekitar Kangar, Arau dan Kuala Perlis kelmarin.

 

KANGAR – Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) menahan tiga pelajar yang menjalankan aktiviti mengutip derma yang berselindung di sebalik pusat latihan kepimpinan antarabangsa yang berpangkalan di Thailand hingga larut malam di sekitar negeri ini kelmarin.

Dua daripada mereka merupakan pelajar asing masing-masing seorang lelaki dari Taiwan dan perempuan dari Thailand berumur dalam lingkungan 20-an.

Seorang lagi ialah pelajar perempuan tempatan berumur dalam lingkungan 20-an.

Menurut Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIPs, Suhaimi Ahmad, modus operandi kumpulan pelajar itu adalah mengutip derma dengan cara menjual rantai kunci permainan ‘zombie’ kepada orang ramai.

“Kami menemui pelajar berkenaan ketika sedang mengutip derma daripada orang ramai di sebuah stesen minyak di Arau dengan cara menjual rantai kunci pada harga RM10 seunit.

“Apabila diminta surat kebenaran bagi mengutip derma, pelajar itu gagal mengemukakannya, memaksa kami menahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya selepas operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi membanteras pemungut derma dan peminta sedekah di sekitar Kangar, Arau dan Kuala Perlis.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2IO9dfkPQ
Hakcipta terpelihara

Dua dicekup jual air ketum – Metro


Dua dicekup jual air ketum

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Cubaan dua lelaki termasuk seorang remaja cuba mengaut keuntungan mudah dengan menjual air ketum berakhir apabila diserbu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Kampung Rama, Jalan Kuala Sanglang, di sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan tujuh anggota diketuai Komander UPP Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman selepas menerima maklumat awam.
Azizan berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 23 dan 17 tahun sebelum membawa kepada penemuan dua guni dan satu beg plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 10 kilogram, selain menemui empat botol berisipadu 1.5 liter mengandungi air ketum sudah diproses.

 

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui 70 peket plastik lutsinar mengandungi air ketum di dalam tong ais berwarna oren dipercayai mahu dijual kepada pelanggan di kawasan sekitar.
“Selain itu, pihak UPP turut menemui 12 botol berisi cecair berwarna gelap disyaki ubat batuk untuk dicampur ke dalam air ketum berkenaan,” katanya ketika ditemui.anya.

Kemalangan: Tidak sangka hilang anak – Sinar Harian


Kemalangan: Tidak sangka hilang anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Ogos 2012
Kemalangan: Tidak sangka hilang anak
Orang awam memangku Fazli sementara menunggu bantuan ambulans.

ARAU – Seorang remaja maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggang bersama rakannya dirempuh sebuah kereta dari arah Changlun-Kuala Perlis, tengah hari semalam.

Kejadian yang berlaku di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis kira-kira jam 1 tengah hari itu mengakibatkan mangsa yang maut dikenali Zarul Sobirin, 14, dan rakannya, Fazli Hisham, 14, cedera parah.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali Abdul, 50-an, berkata, ketika itu, mangsa yang cuba keluar dari simpang Kampung Banat menuju ke seberang jalan itu dilanggar kereta terbabit sehingga menyebabkan mangsa yang maut tercampak di bahu jalan manakala Fazli terjatuh di atas jalan.

Katanya, kedua-dua remaja terbabit dikatakan teragak-agak untuk berhenti sebelum keluar dari simpang itu dan meneruskan perjalanan mereka sehingga dirempuh sebuah kereta yang dinaiki sebuah keluarga.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk mendapatkan rawatanselanjutnya. Sementara itu, bapa Zarul, Sobirin Mohamad, 37, berkata, anaknya bersama rakannya itu ke rumah kawan mereka yang terletak di Kampung Banat.

Menurutnya, dia tidak menyangka bahawa kemalangan itu menyebabkan dia kehilangan anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Pelajar maut langgar lembu – Sinar Harian


Pelajar maut langgar lembu
NURUL HUSNA AZIZAN
1 Jun 2012

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya
Changlun-Kuala Perlis selepas melanggar sekumpulan lembu, pagi semalam.
ARAU – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya dikatakan merempuh sekumpulan lembu yang melintas jalan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu melibatkan tiga buah motosikal yang salah satunya ditunggangi mangsa, Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16 dan dua lagi penunggang iaitu Norazam Che Azizul dan Amir Sabirin Ahmad. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan terbabit dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit yang dari arah Arau menuju ke Changlun melanggar sekumpulan lembu melintas jalan berhampiran pintu gerbang Ulu Pauh.

Menurutnya, Muhammad Arsyad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penunggang mengalami kecederaan parah dan di hantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seekor lembu mati dan cedera manakala satu lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis akan mengambil keterangan pemilik haiwan terbabit. “Dua lagi rakanya yang patah kaki serta cedera parah kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan waris masing- masing telah dimaklumkan,” katanya.

Bapa mangsa, Mohamad Zahir Kadir, 39, ketika ditemui terkejut dengan insiden menimpa anaknya itu kerana mangsa tidak memaklumkan bahawa dia hendak keluar. “Muhammad Arsyad jarang keluar malam, mungkin disebabkan cuti sekolah dia hendak keluar bersama rakannya.

“Saya menyedari kelakuan Arsyad kerana sejak beberapa hari lalu dia agak pendiam, walau apapun saya menerima dengan reda kerana ini merupakan ketentuan daripada-Nya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF, semalam.

Remaja maut rempuh lembu – Metro


Remaja maut rempuh lembu
ARAU: “Arwah tiba-tiba berubah menjadi pendiam sejak kebelakangan ini, malah saya tidak akan membenarkannya menunggang motosikal jika mengetahui dia mahu pergi makan hingga ke Changlun pada waktu awal pagi.”

Begitu kata Mohamad Zahir Kadir, 39, bapa kepada Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16, yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sekumpulan lembu di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun berhampiran pintu gerbang sempadan Perlis-Kedah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dari Kampung Padang Besar (Utara) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua rakan mangsa, Norazam Che Azizul, 20, dan Amir Sabirin Ahmad, 21, turut cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.
Mohamad Zahir yang berniaga sendiri, berkata dia tidak menyedari hasrat anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi makan di sebuah restoran di Changlun dengan menunggang motosikal secara konvoi bersama rakannya.
Menurutnya, ini kerana arwah sebelum ini tidak pernah keluar rumah lewat malam atau awal pagi, sebaliknya akan pulang seperti biasa jika berjumpa rakan.

“Saya langsung tidak tahu hasratnya dan rakan-rakan mahu pergi hingga ke Changlun kerana jika saya tahu memang tidak membenarkannya pergi.
“Mereka pergi berkumpulan dan ketika tiba di tempat kejadian yang agak gelap, anak saya dan tiga rakannya dikatakan tidak menyedari kemunculan sekumpulan lembu melintas sebelum terus merempuh haiwan itu.

“Rakan arwah yang lain sudah mendahuluinya dan tidak menyedari ketiga-tiga rakan mereka terbabit kemalangan sebelum berpatah balik apabila menunggu agak lama tetapi masih tidak muncul,” kata ketika ditemui di Bilik Mayat HTF, di sini.
Mohamad Zahir berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.