Betis lebam dipukul guru – Sinar Harian


Betis lebam dipukul guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Betis lebam dipukul guru
Keadaan kedua-dua belah kaki adik Mohammad yang lebam akibat dipukul gurunya.

KUALA PILAH – Seorang pelajar tingkatan lima dari sebuah kolej di Port Dickson, lebam di kedua-dua belah betisnya selepas dirotan seorang guru lelaki tanpa sebab munasabah.

Abang kepada pelajar tersebut, Muhammad Kamaruzaman, 32, berkata, insiden itu berlaku pada 22 April lalu kira-kira jam 1.30 petang di padang kolej terbabit.

Menurutnya, ketika itu, adiknya masuk ke kelas bengkel elektronik seperti biasa, namun guru terbabit meminta membantunya menyusun barang mengikut prinsip amalan  5S (Sapu, Susun, Sisih, Seragam, Sentiasa Amal).

“Setelah selesai, adik saya pulang semula ke kelas yang diajar guru sama, namun secara tiba-tiba guru tersebut memarahi adik saya kerana lambat menyiapkan kerja elektronik yang diberikan.

“Walhal, pada awalnya, guru itu meminta adik saya menolongnya membuat kerja lain (susun 5S),” katanya.

Muhammad berkata, selepas itu adiknya dipukul menggunakan buluh panjang berukuran satu meter sebanyak tiga kali di bahagian betis di kedua-dua belah kaki di hadapan 60 pelajar lain.

“Bila saya mengetahui adik dipukul, saya pergi ke kolej dan membawanya ke hospital Port Dickson. Namun sebelum itu, saya sempat berjumpa dengan pihak pengurusan kolej dan mereka hanya memaklumkan akan menyiasatnya

2 keluarga bertempur di restoran – Metro


2 keluarga bertempur di restoran

CEDERA…seorang remaja cedera.
JEMPOL: Akibat perselisihan faham, dua keluarga bertempur membabitkan 11 suspek termasuk sembilan remaja di sebuah restoran di Taman Meranti, Bahau, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, dalam pergaduhan jam 10.30 malam pada 4 Ogos lalu itu semua suspek ditahan berikutan terbabit dalam pergaduhan ganas sehingga menggunakan senjata termasuk pisau kecil, kayu dan botol minuman.
“Suspek yang terbabit pergaduhan itu berumur 12 hingga 42 tahun termasuk remaja perempuan berusia 15 dan ibunya berumur 38 tahun.

“Kejadian berpunca daripada seorang bapa remaja terbabit yang cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian itu. Bapa remaja berumur 42 tahun itu pemilik restoran berkenaan.
“Kemudian, keadaan lebih tegang sebelum tercetus pergaduhan menggunakan beberapa senjata seperti pisau kecil, kayu dan botol minuman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat polis daerah (IPD), semalam.
Bagaimanapun Hamzah berkata, kejadian itu tiada unsur pergaduhan berkumpulan.

“Susulan itu, tujuh individu daripada 11 yang terbabit cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jempol dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan akibat merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07

Remaja dituduh cuba bunuh ibu – Utusan


Remaja dituduh cuba bunuh ibu

Oleh FARABI SHEIKH SAID ALJABRI
utusanN9@utusan.com.my

AZIZAH Isa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
KUALA PILAH 19 Jun – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bersama sepupunya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh ibu remaja tersebut dengan mengelar leher wanita itu dengan sebilah pisau di Pasar Gemencheh, Tampin, minggu lalu.

Gadis tersebut bersama sepupunya, Nor Haslinda Mohd. Yunus, 26, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengelar leher Azizah Isa, 50, dengan sebilah pisau hingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di depan Pasar Gemencheh, Tampin pada pukul 5.15 petang, 11 Jun lalu.

RM87.1 juta bina, naik taraf surau sekolah – Utusan


RM87.1 juta bina, naik taraf surau sekolah

KUALA PILAH 30 Mac – Sebanyak RM87.1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pembinaan, ubah suai serta menaik taraf surau di semua sekolah menengah dan rendah seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan di bawah Projek Insentif Luar Bandar yang terkandung dalam Bajet 2012 itu dijangka dapat menjayakan keseluruhan 849 projek dengan 260 melibatkan pembinaan surau sekolah baru menelan kos RM48.7 juta.

”Peruntukan ini juga akan melibatkan proses mengganti surau sebanyak 24 buah yang melibatkan perbelanjaan RM4.9 juta sementara 565 projek menaik taraf surau akan dilaksanakan dengan kos RM33.4 juta.

”Projek ini juga akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Rantau, Rembau dengan kos perbelanjaan melibatkan RM200,000,” katanya di sini hari ini.

Pelajar terlibat curi motosikal – Sinar Harian


Pelajar terlibat curi motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mac 2012
Pelajar terlibat curi motosikal

KUALA PILAH – Hasrat empat pelajar lelaki untuk menjual komponen motosikal yang dicurinya tidak kesampaian apabila satu serbuan dilakukan anggota polis di salah sebuah rumah kosong di Perpaduan Height, di sini, baru-baru ini.

Serbuan yang dilakukan empat anggota polis cawangan Kuala Pilah kira-kira jam 10.30 pagi, Jumaat lalu, berjaya menjumpai dua motosikal yang mana salah satu daripadanya merupakan milik salah seorang bapa suspek sendiri.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, ketika serbuan, polis menemui salah seorang suspek yang sedang leka membuka komponen motosikal yang dipercayai dicuri dari sekitar Taman Bukit Intan, Taman Bahagia Delima dan kawasan berhampiran.

“Dengan tertangkapnya seorang suspek itu, kita berjaya menangkap tiga suspek lain yang masih bersekolah, berusia antara 14 hingga 16 tahun. Dipercayai, kegiatan itu dilakukan bermula seminggu lalu dan kita dapati, salah seorang suspek menukar ganti komponen motosikal yang dicuri kepada motosikal milik bapanya,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek menggunakan modus operandi dengan mencuri motosikal ketika pemiliknya sedang nyenyak tidur iaitu seawal jam 2 pagi.

“Walaupun motosikal itu berkunci, keempat-empat suspek mengangkat motosikal berkenaan dan membawanya ke Perpaduan Height untuk dileraikan,” katanya.

Sementara itu, Jaafar turut menggesa ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan tidak seratus peratus mempercayai setiap tindakan yang mereka lakukan.

“Ini kerana salah seorang suspek, bapanya tinggal di Johor manakala ibunya menunaikan umrah. Suspek tinggal di sini bersama neneknya, manakala tiga suspek masing-masing tinggal bersama ibu dan bapanya. Jangan biarkan anak-anak melakukan sesuatu yang menjurus kepada jenayah, sekiranya kita dapati mereka melakukan perkara yang meragukan termasuklah tiba-tiba memiliki motosikal, maklumkan kepada kami dan kami sedia membantu untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar memberitahu, keempat-empat suspek ditahan reman selama tiga hari bermula pada hari tangkapan dibuat namun disambung reman sehingga selesai siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.