50 himpun sokong pengetua – Metro


50 himpun sokong pengetua

 2  1 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Kira-kira 50 wakil penduduk dan Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Pristana berhimpun di depan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh petang semalam bagi menyatakan sokongan terhadap pengetua sekolah berkenaan.

Pengerusi KRT Taman Seri Pristana Sulaiman Rejab, 57, berkata pihaknya dan UMNO cawangan Taman Seri Pristana akan mempertahan kedudukan Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd Nasir Mohd Noor, 57, agar terus berkhidmat di sekolah itu.
Beliau berkata sekolah yang dibuka pada Julai 2010 itu pernah dinobat sekolah terbaik Kuala Selangor peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di bawah kepimpinan Mohd Nasir.

 

“Sepanjang tempoh tiga tahun beliau menerajui sekolah itu, banyak kejayaan dan kecemerlangan yang sudah dilakukan,” katanya.
Mohd Nasir kini bercuti selepas diarah berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan berhubung isu bilik persalinan di sekolah itu diguna sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini. – BERNAMA

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/01

Tragedi beli makanan ringan – Metro


Tragedi beli makanan ringan

 14  8 Google +0  0  0

Oleh Na’imah Mohamed dan Che Haslinda Daraman

Kuala Selangor: Niat seorang murid tahun satu untuk membeli makanan ringan selepas pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila digilis sebuah kereta yang didakwa dipandu laju dalam kejadian di depan sebuah sekolah di Puncak Alam, di sini, kelmarin.

Mangsa, Faris Hakimi Sazali, 7, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta di Subang selepas dilaporkan mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.
Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika semua murid baru keluar dari kawasan sekolah untuk menaiki bas serta kenderaan ibu bapa masing-masing.

 

“Saya tidak melihat sendiri kejadian ketika murid terbabit dilanggar, bagaimanapun, ketika sedang sibuk melayan kanak-kanak lain membeli makanan ringan, saya terdengar bunyi yang kuat seperti sesuatu dilanggar.
“Sebaik melihat ke arah bunyi itu, saya dapati seorang kanak-kanak sudah berada di bahagian belakang sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita yang turut menjemput anaknya di sekolah berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Seorang lagi saksi, Shafie Mokhtar, 60, berkata, ketika kejadian waktu persekolahan baru saja tamat dan murid menyerbu keluar ke arah gerai makanan ringan di tepi jalan.

 

FotoTIADA pengawal mengawal keadaan lalu lintas ketika kanak-kanak menyerbu keluar apabila tamat waktu persekolahan.

“Mangsa mahu melintas jalan ke gerai menjual jajan sementara menunggu van sekolah dinaikinya tiba namun tiba-tiba dilanggar kereta yang dikatakan dipandu laju.
“Kemalangan memang kerap berlaku di kawasan ini, namun kejadian itu adalah yang paling teruk sejak sekolah ini dibuka 13 tahun lalu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van sekolah.

 

Selain itu, seorang lagi pemandu van sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 42, berkata, kawasan berkenaan sepatutnya diletakkan bonggol berikutan kanak-kanak sering melintas.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya pihak berkenaan mengambil langkah sepatutnya memandangkan ini bukan kali pertama kemalangan berlaku di kawasan ini.
“Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan atas kejadian yang berlaku sekiranya semua pihak lepas tangan?“ katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan kedua-dua pihak sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/06

Jerebu: Sekolah di tiga daerah di Selangor diarah tutup – Utusan


Jerebu: Sekolah di tiga daerah di Selangor diarah tutup

 

SHAH ALAM 25 Jun – Jabatan Pendidikan Selangor hari ini mengumumkan penutupan sekolah di tiga lagi daerah di negeri ini selepas Pelabuhan Klang semalam susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi 250 berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, tiga daerah terbabit ialah Kuala Langat yang melibatkan 71 buah sekolah diikuti Kuala Selangor (91 buah) dan Petaling Perdana sebanyak 132 buah sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_28/Jerebu-Sekolah-di-tiga-daerah-di-Selangor-diarah-tutup#ixzz2XDpXfWkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Seminggu jahit seragam sendiri – Sinar Harian


Seminggu jahit seragam sendiri

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Jun 2013
Seminggu jahit seragam sendiri
Sebahagian pelajar tekun menjalani latihan jahitan anjuran Giat Mara Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Tiada kemahiran asas dalam jahitan, tidak menghalang 20 anak penduduk di daerah ini menyiapkan pakaian seragam sekolah masing-masing dalam tempoh seminggu.

Cuti seminggu yang dimanfaatjab dengan menyertai kursus jangka pendek anjuran Giat Mara Kuala Selangor ternyata mampu memberi pengetahuan dan kemahiran menyiapkan baju kurung untuk kegunaan diri sendiri.

Peserta, Izzah Atirah Mohd Kamser, 17, bangga apabila dapat menyiapkan pakaian seragam sekolah dalam kursus terbabit walaupun sebelum ini tiada asas jahitan.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) itu, kemahiran yang diperoleh akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan bercadang menjahit baju raya sendiri.

“Peluang yang ada tidak dilepaskan begitu sahaja memandangkan minat jahitan agak mendalam, terutama rekaan fesyen.

“Dengan mengikuti kursus seperti ini saya dapat pengalaman baru selain belajar. Saya mahu membuka kedai jahitan apabila dewasa nanti,” katanya.

Seorang lagi peserta, Amirah Fakhira Zaidon, 17, berkata, dia menganggap kursus ini berguna bagi mengisi masa luang pada hujung minggu.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak begitu yakin dapat menyiapkan sepasang baju kurung dalam tempoh seminggu kerana tidak pernah menjahit sebelum ini.

“Namun akhirnya saya berjaya menyiapkan sepasang baju kurung sebagai seragam sekolah. Selepas ini pastinya kos pembelian pakaian seragam sekolah dapat dikurangkan.

“Bagi saya, jika ada kemahuan dan kesungguhan semua yang diusahakan pastinya berjaya. Sebagai contoh kursus ini, jika peserta itu bersungguh, mereka mampu melakukannya untuk manfaat diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Berkat saling kongsi ilmu – Metro


Berkat saling kongsi ilmu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA SELANGOR: Saling berkongsi ilmu dalam mata pelajaran diminati menjadi rahsia kejayaan tiga rakan karib mendapat keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.

Luqman Hakim Daim, Alif Asyraf Amin dan Mohamad Aiman Arif Mohamat Saat, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuala Selangor memperoleh 8A dalam peperiksaan itu.
Mohamad Aiman yang meminati Matematik berkata, setiap kali mengulang kaji pelajaran mereka saling bertukar maklumat dan memperbaiki subjek lemah.

 

“Kami menggunakan masa sebaiknya untuk memastikan masa berkualiti tidak dipersiakan kerana perlu diselang-selikan dengan tugasan diberi guru.
“Bayangkan jika mengulang kaji seorang diri ia akan menjadi bosan. Sebab itu kami bertiga saling bertukar maklumat dalam mata pelajaran diminati dan sentiasa membuat latihan,” katanya.
yang bercita-cita menjadi saintis.

 

 

Luqman Hakim pula menganggap kejayaan itu hasil restu dan doa ibu bapanya di samping bantuan guru.
“Hampir setiap hari saya akan memohon supaya kedua ibu bapa saya merestui perjuangan saya. Waktu yang paling penting adalah sebelum mengulang kaji pelajaran dan mulut saya sentiasa ringan memohon kemaafan daripada mereka supaya hati sentiasa tenang,” katanya.

 

Bagi Alif Asyraf pula, dia mengambil organ dalaman seperti hati, limpa, perut atau paru lembu serta ayam kerana percaya ia memberi kesan negatif terhadap otak.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, SMS Kuala Selangor mencatat peratus lulus terbaik dengan 100 peratus calon lulus PMR membabitkan 144 calon.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

Remaja 13 tahun hilang dirayu pulang – Sinar Harian


Remaja 13 tahun hilang dirayu pulang

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Ogos 2012
NURUL ATIKAH
NURUL ATIKAH

TAIPING – Seorang bapa merayu anak berusia 13 tahun pulang ke pangkuan keluarga selepas dipercayai hilang 22 Ogos lalu sekitar jam 3.30 petang.

Bapa, Ahmad Safari @ Yatim Mustafa berkata, anaknya, Nurul Atikah Ahmad Safari @ Yatim Mustafa, 13, dilihat asyik berbual bersama rakannya menerusi telefon bimbit ketika berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang dari kampung, di Kuala Selangor ke Taiping.

Menurutnya, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Simpang, Taiping tidak menunjuk reaksi yang mencurigakan sewaktu dalam perjalanan pulang beraya pada hari raya ke tiga lalu.

“Dari maklumat adik Nurul Atikah iaitu Mohd Fikri, petang sebelum kehilangannya, dia melihat keadaan kakaknya agak gelisah ketika berada di dalam rumah.

“Sebaik saja Mohd Fikri keluar dari bilik air dia dapati kakaknya sudah tidak ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Ahmad Safari, pada mulanya dia hanya menduga anaknya itu pergi berjalan ke rumah sepupunya yang tidak jauh dari rumah mereka.

Jelasnya, setelah dua hingga tiga jam tidak pulang-pulang baru dia mula mencari Nurul Atikah di rumah sepupu selain turut bertanyakan hal tersebut kepada jiran tetangga.

“Namun sehingga kini anaknya menghilang tanpa sebarang khabar berita.

“Lebih merisaukan, anak saya tidak biasa keluar berseorangan dan jika dia hendak keluar sekalipun pasti ditemani emaknya atau emak saudaranya,” katanya.

Ahmad Safari berkata, dari segi fizikal ketinggian anaknya itu lebih kurang 1.57 meter, berbadan sedikit gempal dan berkulit sawa matang.

Dia berharap sesiapa sahaja yang melihat atau mengetahui di mana Nurul Atikah berada kini segera menghubunginya di talian 019-5267736.

“Laporan Polis juga sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Taiping bagi menyiasat kedudukan Nurul Atikah yang dipercayai masih berada tidak jauh dari Bandar Taiping.

“Kepada Nurul Atikah jika terbaca berita mengenai kehilangan ini pulanglah Ayah dan emak rindukan kamu,” katanya.

Ceria dapat baju baru – Metro


Ceria dapat baju baru
Oleh Suzaini Sulaiman
am@hmetro.com.my

TANJUNG KARANG: Keceriaan tergambar pada raut wajah 100 anak yatim dari Tali Air 2, Sungai Burong, di sini apabila dibawa ke pasar raya Tesco cawangan Kuala Selangor untuk membeli pakaian raya sempena program Titipan Kasih Harian Metro 2012, semalam.

Sepanjang perjalanan menaiki bas, semua anak yatim terbabit ternyata gembira kerana berpeluang mengenakan baju baru pada lebaran tahun ini.
Pasangan kembar, Amiruddin dan Mohd Shahir Miswan, 14, bersyukur kerana dipilih untuk program Titipan Kasih untuk menerima hadiah istimewa sempena menyambut Aidilfitri.

“Pada mulanya saya tidak menyangka akan mendapat baju raya tahun ini kerana sudah lama tidak membeli baju baru sejak ketiadaan bapa 10 tahun lalu.
“Pemberian baju raya ini tidak akan saya lupakan selain memberi makna yang tidak terhingga kepada kami adik-beradik untuk menyambut Syawal lebih gembira,” kata Amiruddin sewaktu ditemui, semalam.
Dia dan adiknya menuntut di Sekolah Tahfiz Puncak Alam dua tahun lalu kini tinggal bersama ibu serta dua lagi adik di Parit 2 Sungai Burong, dekat sini, sejak ketiadaan bapa mereka.

Sementara itu, Mohd Hanif Kasim, 15, berkata, raya kali ini lebih ceria walaupun masih lagi bersedih mengenangkan ketiadaan bapanya yang dijemput Ilahi pada 2009. “Dengan adanya sumbangan baju raya dari Harian Metro untuk kami empat beradik, setidaknya mengurangkan beban ibu untuk memikirkan keperluan kami adik beradik.
“Kami bersyukur ada pihak mengambil berat golongan tidak berkemampuan seperti kami dan semoga ada lagi pihak pihak tampil membela nasib golongan yang ingin menyambut Syawal, tetapi tidak berkemampuan,” katanya gembira sambil menunjukkan baju raya kepada adiknya.

Selain Mohd Hanif, turut mendapat sumbangan tiga adiknya Mohd Haizal, 9, Mohd Hanafi, 11, dan Nurul Adilla, 13, yang turut gembira berpakaian baju sempena raya Aidilfitri tahun ini.
Program Titipan Kasih Harian Metro 2012 mendapat tajaan Affin Islamic Bank, Shell, Sani Ekspres, Yusof Taiyob, Takaful Ikhlas, Tesco, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Petronas Chemical serta Naza Quest Sdn Bhd yang menyediakan tiga kenderaan rasmi, Chevrolet Colorado dan dua Chevrolet Captiva.
Selain itu, penaja bersama yang turut menjayakan program berkenaan termasuk Abdul Halim Mat Som (Syabas), Ahmad Jauhari Yahya (MAS), Azran Osman Rani (AirAsia X Bhd), Datuk SM Faisal SM Mohd Nasimuddin (Naza Group), Datuk Mohamed Nazim Razak dan Datin Norjuma Habib (NRY Architechs Sdn Bhd), Datuk Mokhzani Mahathir (Sepang International Circuit), Datuk Noorizah Abd Hamid (Plus Expressway Bhd), Datuk Shahril Mokhtar (Syarikat Prasarana Negara Bhd), Datuk Seri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang, Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yakult (M) Sdn Bhd.
Semua anak yatim diberi masa beberapa jam dengan dibantu kakitangan Tesco dan Harian Metro untuk membeli kelengkapan raya.
Pakaian yang dipilih dikumpulkan dan diserahkan pada majlis perasmian program Titipan Kasih Harian Metro hari ini yang akan dirasmikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar di Masjid As Solihin, Tali Air 2, Sungai Burong.

Artikel ini disiarkan pada : 15/08/2012

Remaja dituduh membunuh – Utusan


Remaja dituduh membunuh

PETALING JAYA 25 Julai – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang ejen pengangkutan, akhir tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh A. Murugaiyah, 24, di persimpangan lampu isyarat, Batu 16, Sungai Pelong, Jalan Kuala Selangor, di sini antara pukul 3 pagi dan 5 pagi, 12 Disember tahun lalu.

Tertuduh dari Sungai Buloh, dekat sini mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahab.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Remaja didakwa bunuh seorang lelaki – Bernama


Remaja didakwa bunuh seorang lelaki

25 Julai 2012
PETALING JAYA – Seorang remaja yang menganggur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan membunuh seorang lelaki tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian pada tahun lepas didakwa membunuh A.Murugaiyah, 24, di lampu isyarat Batu 16, Sungai Pelong, Jalan Kuala Selangor, di antara 3 pagi hingga 5 pagi, 12 Disember 2011.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Najib lulus RM530,000 untuk bola sepak sekolah Tamil – Bernama


Najib lulus RM530,000 untuk bola sepak sekolah Tamil
16:02:57 PM Cetak Emel Kawan
Tweet
KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM530,000 untuk membiayai kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil di seluruh negara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel hari ini.

Beliau berkata, kejohanan dikenali sebagai ‘Road to England’ itu dijadual bermula lewat bulan ini dan membabitkan 10 venue serta 523 sekolah. Katanya, 11 pemain terbaik yang dikenalpasti melalui kejohanan ini akan dihantar berlatih dengan kelab bola sepak Manchester United (MU) di England akhir tahun ini.
“Objektif projek ini ialah untuk melahirkan rakyat Malaysia keturunan India yang mampu menjadikan bola sepak sebagai kerjaya dan mencapai standard permainan yang setanding dengan pemain England dalam jangka masa panjang.

“Mereka juga boleh menyumbang ke arah meningkatkan standard permainan bola sepak tempatan apabila pulang dan mewakili negara di kejohanan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM330,000 kepada 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India di Selangor di sebuah kuil berhampiran Bestari Jaya di sini.

Palanivel, yang juga Presiden MIC berkata, pemain terpilih daripada 10 venue perlawanan itu akan menjalani latihan singkat di Kuala Lumpur sebelum 11 pemain terbaik daripada mereka dihantar menjalani latihan dengan kelab MU.

Latihan dan pemilihan akhir akan dikendalikan bekas pemain antarabangsa England Peter Barnes.
‘Road to England’ adalah projek kerjasama antara Akademi Bola Sepak Peter Barnes dan Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Malaysia.

Pada sidang akhbar itu juga, Palanivel berkata, sejak tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM2.482 juta kepada 61 kuil Hindu dan 69 NGO India di seluruh Selangor.

Pada majlis berasingan kemudiannya, beliau menyampaikan peruntukan RM100,000 bagi membina sebuah gereja di Bestari Jaya. – BERNAMA