Sekolah risiko litar pintas – Sinar Harian


Sekolah risiko litar pintas
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2013
  • Sekolah risiko litar pintasKeadaan bangunan lama asrama yang tidak boleh digunakan lagi.
< 1 / 1 >

JERANTUT – Pelajar dan guru Sekolah Menengah Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah (JPSHAS) Kuala Tahan, di sini, terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa berikutan bangunan sekolah tidak diselenggara.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) JPSHAS, Abdullah Manan berkata, masalah tersebut berlaku sejak tahun 2000 apabila keadaan beberapa bangunan sekolah yang mengalami kerosakan tidak diberi perhatian segera untuk dibaik pulih.

Menurutnya, JPSHAS sekolah yang menjadi kebanggaan penduduk Tembeling Tengah termasuk penduduk di Ulu Tembeling.

Katanya, disebabkan keadaan bangunan yang membahayakan, pelajar dan guru terpaksa sentiasa berhati-hati kerana pendawaian  elektrik di sekolah itu sudah tidak berfungsi dengan baik.

“Ada kalanya ketika sesi pembelajaran secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan mengeluarkan bau hangit seperti terbakar.

“Kita bimbang, sekolah ini akan terbakar akibat pendawaian elektrik yang sudah tidak sempurna dan bila-bila masa sahaja boleh berlaku litar pintas,” katanya.

Abdullah berkata, bangunan lama asrama dan dewan makan sudah tidak boleh digunakan lagi kerana bumbung bangunan tersebut sudah reput.

Menurutnya, PIBG dan pengurusan koperasi sekolah bercadang menjadikan bangunan itu sebagai asrama desa iaitu penempatan kepada pelajar sekolah lain dan pelancong yang ingin datang ke Taman Negara kerana kedudukannya hanya dua kilometer ke kawasan rekreasi berkenaan.

“Sekiranya pengurusan koperasi sekolah dapat menjadikannya asrama desa, secara tidak langsung ia mampu memberi pendapatan sampingan kepada sekolah dan membolehkan pelbagai perancangan pembangunan dilaksanakan.

“Kita mahu lihat pelajar sekolah ini belajar dalam suasana kondusif dan dapat menumpukan perhatian mereka. Kita juga mahu lihat pelajar asrama di sini tinggal dengan lebih selesa dan berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas – Bernama


Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas

14 September 2012

KUANTAN – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Pahang dekat Jerantut, petang tadi.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, Nor Izwan Mohd Noor, 15, berasal dari Kampung Lubuk Payung dekat Kuala Tahan, Jerantut dikatakan terjatuh ketika melalui kawasan sungai berkenaan.

Menurut Ketua Polis daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, pihak polis dimaklumkan orang awam berhubung kejadian terbabit.

“Gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sehingga jam 7 petang tadi tapi gagal,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata operasi terbabit akan diteruskan awal pagi esok. – Bernama

Klinik UPSR bantu murid hadapi peperiksaan – Berita Harian


Klinik UPSR bantu murid hadapi peperiksaan

Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my
2012/04/10

IBU bapa sekitar daerah Jerantut, Maran, Temerloh, Bera dan Lipis terus yakin program bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Klinik UPSR dapat meningkatkan kecekapan murid menjawab dengan tepat.

Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan sekitar 100 kilometer, peserta program anjuran Unit Pendidikan Berita Harian, terus bersemangat menyertainya.

Aktiviti terus mendapat sambutan apabila lebih 200 murid luar bandar dan tanah rancangan Felda daripada kawasan sekitar Jengka, Sungai Retang dan Temerloh.

Program dua hari berlangsung di SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang di Jerantut baru-baru ini, dipenuhi dengan empat sesi ceramah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Seorang penjaga, Zamri Mohd Amin dari Kuala Tahan, berkata dia sudah empat kali menghantar anaknya mengikuti program berkenaan dengan tiga daripada mereka memperoleh 5A dalam UPSR masing-masing.

“Saya dapati program ini berguna kerana memberi pendedahan kepada murid mengenai teknik menjawab soalan dengan tepat,” katanya.

Seorang bapa, Sallehuddin Ramli dari Felda Sungai Retang, berkata Klinik UPSR membantu anaknya membuat persiapan menghadapi peperiksaan selain meningkatkan motivasi untuk terus gigih.
Seorang peserta Aiman Haikal Zainal dari SK Kota Gelanggi 2, Jerantut, berkata dia bertambah yakin selepas mengikuti klinik ini dan berazam membuat ulang kaji berterusan melalui akhbar Didik.

Nur Anis Nabilah Mohamad dari SK Paya Pulai, Temerloh menyifatkan portal e-pembelajaran, guru.net yang disediakan penganjur membantunya membuat latihan secara maya.

Sementara itu, bagi calon UPSR sekitar Kemaman, Terengganu, masih lagi berpeluang mengikuti Klinik UPSR (Fasa 1) peringkat daerah itu yang akan diadakan di Dewan Kuliah TATiUC, Telok, Kalong, Kemaman pada Jumaat dan Sabtu ini (13 dan 14 April 2012).

Kepada ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka menyertai klinik itu dengan menghubungi Abdul Ghani Mat Nor, di Jabatan Pengedaran NSTP, Kuala Terengganu menerusi telefon             017-9725280       atau            09-6300114       untuk pendaftaran.