Pelajar samseng serang juara – Sinar Harian


Pelajar samseng serang juara

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2013

KUALA TERENGGANU – Sekumpulan pelajar samseng nekad menyerang pasukan bola baling daripada pihak lawan kerana tidak dapat terima kekalahan mereka dalam pertandingan bola baling kategori bawah umur 18 tahun, Khamis lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, kumpulan pelajar terbabit dari sebuah sekolah menengah di Batu Rakit, di sini, dikatakan mengekori pasukan dari sebuah sekolah menengah di Manir, yang dalam perjalanan pulang selepas memenangi pertandingan berkenaan.

“Pemandu van sekolah terbabit berusia 47 tahun, hanya menyedari diekori kira-kira 50 motosikal, dipercayai dinaiki oleh pelajar sekolah itu sejurus keluar dari pagar sekolah.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Tepoh, seorang daripada penunggang motosikal berkenaan telah membaling batu ke arah van mereka dan terkena cermin tepi sebelah kanan,” katanya, semalam.

Sumber berkata, terkejut dengan tindakan itu, pemandu van memecut laju masuk ke dalam pekarangan balai polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seorang pelajar terkena serpihan kaca di mata sebelah kanan, sementara yang lain tidak cedera,” katanya.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tepoh dan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkannya.

Dirogol kerana percaya teman lelaki – Sinar Harian


Dirogol kerana percaya teman lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2013
Ahmad Ma zlan
Ahmad Ma zlan

MARANG – Tindakan mengikut teman lelaki bermalam di sebuah rumah membawa padah apabila seorang gadis berusia 13 tahun, dipercayai ‘diratah’ sebelum tampil membuat laporan polis di sini, kelmarin.

Laporan dibuat kerana gadis itu bimbang dirinya hamil.

Terdahulu, Jumaat lalu, suspek yang berusia 18 tahun dan dikenali mangsa, difahamkan menghubungi mangsa kira-kira jam 6 petang untuk menjemputnya keluar bersiar-siar dengan menaiki motosikal ke Kuala Terengganu.

Selepas itu, suspek kemudiannya mengajak mangsa pulang semula ke daerah ini namun tidak menghantarnya pulang, sebaliknya dibawa ke rumah rakannya di sebuah kampung, di sini.

Tanpa sebarang keraguan dan percayakan suspek, mangsa menuruti permintaan itu namun rupa-rupanya ia membawa padah kerana ia hanyalah taktik suspek untuk bermadu kasih dengan gadis malang itu di rumah berkenaan pada waktu malam.

Mangsa dipercayai tidur di bilik berasingan sebelum suspek memasuki biliknya pada waktu malam dan dikatakan melakukan perbuatan terlarang sebelum mangsa dihantar oleh rakan suspek ke sebuah stesen minyak pada Sabtu petang.

Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Marang.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol kerana mangsa masih di bawah umur dan bertindak atas laporan itu, polis segera mengesan suspek dan berjaya menahannya untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

PRU-13: Sekolah Terlibat Pengundian 5 Mei Di Terengganu Dibenar Ambil Cuti Berganti – Bernama


PRU-13: Sekolah Terlibat Pengundian 5 Mei Di Terengganu Dibenar Ambil Cuti Berganti

KUALA TERENGGANU: Sekolah di Terengganu yang terlibat dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) secara langsung seperti menjadi pusat mengundi, dibenar mengambil cuti berganti

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Hussin berkata guru yang terlibat menjadi pegawai pilihan raya pada PRU13 juga dibenar berbuat demikian.

“Kita difahamkan banyak sekolah di Terengganu menjadi pusat mengundi PRU13pada 5 Mei ini. Begitu juga ramai guru terlibat menjadi pegawai pilihan raya.

“Semua itu bergantung kepada keperluan, dan guru besar kena tahu keperluan dan keadaan di sekolah masing-masing,” katanya. Beliau berkata guru dan petugas sekolah dibenar keluar mengundi seperti biasa namun bagi yang mengundi di tempat agak jauh, mereka juga dibenar mengambil cuti berganti.

Terengganu, Kelantan dan Kedah adalah antara tiga negeri di Semenanjung yangbekerja pada 5 Mei iaitu Hari Ahad, yang ditetapkan sebagai hari pengundian bagiPRU13.-BERNAMA

Pelajar mengaku rogol gadis sebaya – Sinar Harian


Pelajar mengaku rogol gadis sebaya
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 April 2013

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Majistret di sini, semalam, mengarahkan seorang pelajar tingkatan empat dihantar ke Sekolah Tunas Bakti, Butterworth, Pulau Pinang, selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis seusia dengannya, dua tahun lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Abdul Hayyi Salim selepas remaja terbabit mengaku bersalah merogol mangsa, yang ketika kejadian baru berusia 14 tahun 11 bulan di dalam bangunan landskap, belakang bangunan sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan, pada 17 Disember 2011, di antara jam 1.30 pagi hingga 2 pagi.

Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Abdul Hayyi mengarahkan remaja yang berasal dari Mengabang Telipot itu dihantar ke Sekolah Tunas Bakti, Butterworth, Pulau Pinang, selama tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi manakala remaja itu tidak diwakili peguam bela.

 

Jari retak tersepit pintu kelas – Metro


Jari retak tersepit pintu kelas

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Saya berharap guru bertindak lebih baik jika ada kecemasan di sekolah selepas ini,” kata Lokman Ibrahim, 45, bapa kepada Mohamad Hanif Lokman, 13, yang terpaksa bermalam di hospital sejak empat hari lalu selepas cedera jari tangan kanan akibat tersepit pada pintu kelas.

Bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman itu berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari Khamis lalu, anaknya tersilap meletak tangan pada pintu itu ketika berbual dengan rakan.
Menurutnya, jari manis anaknya tersepit selepas seorang pelajar yang mahu ke kelas lain menolak pintu itu.

 

“Sebaik pintu ditolak, jari Mohamad Hanif remuk akibat tersepit,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.
Lokman berkata, ketua kelas anaknya yang melihat tangan Mohamad Hanif berlumuran darah membawanya ke bilik rawatan sekolah sebelum disapu minyak dan dibalut oleh guru bertugas.
“Bagaimanapun, guru itu tidak menghantar Mohamad Hanif ke klinik atau hospital untuk rawatan susulan, sebaliknya meminta anak saya berehat hingga tamat waktu persekolahan pada jam 2 petang.

 

“Ketika pulang ke rumah, saya terkejut melihat muka anak pucat menahan sakit sebelum dia memberitahu kejadian sebenar,” katanya.
Katanya, selepas itu, dia bergegas ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan sedih apabila dimaklumkan tulang jari anaknya retak.

Dua pelajar STPM daerah Besut pelajar terbaik negara – Utusan


Dua pelajar STPM daerah Besut pelajar terbaik negara

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA TERENGGANU 18 Mac – Terengganu terus mencipta rekod tersendiri apabila dua daripada 15 orang calon di negeri itu yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumum antara pelajar terbaik negara.

Dua pelajar dari daerah Besut itu ialah Normadia Manaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra dan Nor Izyani Suhaimi dari SMK Renek. Masing-masing memperoleh 5A dan 4A 1A-.

Sementara itu, daripada keseluruhan 2,980 calon yang menduduki peperiksaan itu di seluruh Terengganu pada tahun lalu, seramai 2,861 orang atau 96.01 peratus mendapat lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil berbanding peratusan kebangsaan 94.44 peratus.

Selain itu, 13 buah sekolah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi 2.60 berbanding GPS negeri iaitu 2.40, antaranya Sekolah Menengah Atas (Agama) Sultan Zainal Abidin,(3.05), SMK Renek (2.86), SMK (Agama) Durian Guling (2.85) dan SMK Tengku Ibrahim (2.85). – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130318/dn_28/Dua-pelajar-STPM-daerah-Besut-pelajar-terbaik-negara#ixzz2NsXm378V
© Utusan Melayu (M) Bhd

GAGASAN sokong penuh cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris – Bernama


GAGASAN sokong penuh cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris

2013/03/13 – 15:42:14 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) menyokong penuh cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.

Setiausaha GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad, berkata menerusi langkah itu, pelajar akan lebih serius dan bersungguh-sungguh memberi tumpuan kepada pembelajaran bahasa berkenaan.

Katanya, GAGASAN berpendapat syarat baru itu bukan bermakna berlakunya peminggiran Bahasa Melayu, tetapi sebenarnya akan mempercepatkan lagi hasrat Kementerian Pelajaran untuk mencapai matlamat memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Menerusi e-mel kepada Bernama di sini, hari ini, Syed Anuar berkata ini amat perlu untuk memastikan generasi akan datang dapat bersaing di persada antarabangsa.

Syed Anuar berkata, GAGASAN menaruh keyakinan tinggi Kementerian Pelajaran akan dapat memastikan persiapan rapi dilakukan seperti penyediaan tenaga pengajar yang mahir dan mencukupi serta kemudahan pembelajaran lengkap termasuk memperkasakan makmal Bahasa Inggeris di sekolah.

Katanya, GAGASAN mencadangkan supaya guru pakar Bahasa Inggeris yang sudah bersara dibabitkan secara besar-besaran dan bersungguh-sungguh bagi membantu pelajar menguasai bahasa antarabangsa itu.

Beliau berkata, tumpuan khusus hendaklah diberi kepada pelajar tingkatan dua sekarang, kumpulan pertama yang akan terlibat dengan cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris SPM pada 2016.
– BERNAMA

Guru wanita dan nenek disamun tiga lelaki di Jerteh – Bernama


Guru wanita dan nenek disamun tiga lelaki di Jerteh

27 Februari 2013

BESUT – Tiga lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan pisau rambo melarikan wang tunai dan barangan kemas daripada seorang guru wanita dan neneknya di sebuah kedai barangan elektrik di Jerteh, di sini semalam.

Ketika kejadian pada pukul 6.20 petang itu, dua wanita berkenaan berada di kedai milik keluarga mereka apabila tiga lelaki memasuki kedai itu dan berpura-pura ingin membeli barangan elektrik.

Seorang daripada lelaki itu mengeluarkan pisau rambo dan meletakkan di leher guru wanita berkenaan dan mengarahkannya menyerahkan wang dan barangan kemas, kata sumber polis.

Beliau berkata, wanita itu menyerahkan wang hasil jualan sebanyak RM1,000 dan lelaki yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu meragut rantai leher dan gelang tangan emas yang dipakai guru wanita itu serta sebentuk cincin emas daripada nenek wanita itu.

“Ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan kereta Proton Iswara Aeroback tanpa nombor pendaftaran ke arah Kuala Terengganu. Mangsa dilapor mengalami kerugian kira-kira RM5,000,” katanya.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.- Bernama

‘Saya tetap nak ambil SPM’ – Metro


‘Saya tetap nak ambil SPM’

 6  2 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Saya tetap mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) walaupun terpaksa berkerusi roda,” kata Muhammad Zulhakimi Mat Ripin, 17, yang patah tulang belakang selepas dihempap besi paip sepanjang enam meter di Kerteh, Kemaman.

Muhammad Zulhakimi yang tinggal di Kampung Seberang Balok, Kuantan berkata, dalam kejadian jam 3 petang, Ahad lalu, dia bersama empat rakan bekerja menurunkan besi paip yang digunakan untuk menyalurkan gas dari sebuah lori kontena ke sebuah kilang di Kerteh.
Katanya, ketika kren digunakan untuk mengangkat besi paip berkenaan, kabel diikat pada besi paip itu terputus lalu menghempap belakang badannya sehingga dia tidak bergerak.

 

“Kejadian itu amat pantas dan saya yang berada di tepi lori kontena itu langsung tidak sempat mengelak ketika besi paip terjatuh.
“Bahagian bawah badan saya terasa kebas dan tidak mampu digerakkan sebaik dihempap besi paip berkenaan dan rakan membantu mengusung saya untuk dihantar ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Doktor memberitahu selain tulang patah, urat saraf di belakang badan turut terputus menyebabkan kedua-dua kaki saya tidak dapat digerakkan,” katanya ketika ditemui di Wad Ortopedik HSNZ, di sini, semalam.

 

Menurutnya, dia tidak menduga kerja sambilan yang dibuat sempena cuti sekolah itu menyebabkan dia terlantar di hospital dan terpaksa mengambil cuti panjang persekolahan.
“Keluarga saya bukan orang berada, jadi sejak dua tahun lalu saya bekerja sebagai pekerja am mengikut lori kontena untuk membantu meringankan bebanan ibu dan ayah yang menanggung perbelanjaan persekolahan lima adik,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, Kuantan itu.

 

Katanya, dia tidak tahu bila kecederaannya sembuh dan ketika ini dia terpaksa meminta rakan serta abangnya, Muhammad Zulkarnain, 18, membantunya mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi SPM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013022707034420130227070344/Article/index_html#sthash.2l44TeEB.dpuf

Banjir: 27 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup – Utusan


Banjir: 27 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup

KUALA TERENGGANU 27 Feb. – Sebanyak 27 buah sekolah melibatkan 22 buah sekolah rendah serta lima sekolah menengah di negeri ini terpaksa ditutup akibat banjir.

Penutupan itu membabitkan 14 buah sekolah di daerah Besut, lapan di Hulu Terengganu serta lima di Setiu.

Selain dinaiki dan digenangi air, sekolah berkenaan terpaksa ditutup disebabkan terputus hubungan dengan jalan utama serta dijadikan pusat pemindahan untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130227/dn_34/Banjir-27-sekolah-di-Terengganu-terpaksa-ditutup#ixzz2M5nF0eRR
© Utusan Melayu (M) Bhd