Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan – Bernama


Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan

5 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Guru yang mahu aktif dalam politik  disaran meletak jawatan bagi mengelak fokus mereka terganggu sewaktu sesi pembelajaran, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Zakariav Husin.

Beliau berkata JPNT tidak pernah menghalang mana-mana guru yang mahu meletak jawatan kerana berhasrat menceburi politik secara serius kerana tindakan itu lebih sesuai untuk kepentingan pelajar dan sektor pendidikan negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, secara umumnya di Terengganu tidak ramai guru yang mahu aktif dalam politik dan kalau ada pun sekadar memegang jawatan biasa di
peringkat cawangan.

“Sehingga kini, JPNT ada menerima kurang 10 permohonan rasmi daripada guru yang meminta kebenaran untuk memegang jawatan dalam parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Refleksi Pendidikan bersama 500 guru di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua guru di Terengganu agar sentiasa menyokong dasar kerajaan dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak sesuai jika kita sebagai penjawat awam tetapi menyokong pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa sahaja usaha dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata JPNT turut memantau prestasi semua guru di negeri ini agar mereka sentiasa memberi khidmat terbaik demi memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata Terengganu menerima 20 guru Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) pada tahun ini berbanding 17 pada tahun lalu
yang diharap mampu meningkatkan penguasaan bahasa utama dunia itu di kalangan pelajar di negeri ini.

Namun, kataya, jumlah itu masih belum mencukupi dan kerajaan negeri akan mencari guru ETA dari negara lain selain Amerika, mungkin dari Australia. – Bernama

Budak jantung di luar ikuti Program Pendidikan Khas – Metro


Budak jantung di luar ikuti Program Pendidikan Khas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang daripada empat kanak-kanak di negara ini yang jantungnya berada di luar kedudukan iaitu di tengah dada, kini mengikuti sesi persekolahan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam.

Ibu saudara pelajar itu, Rosiati Awang, 39, dari Kampung Wakaf Jala, Pengadang Baru di sini, berkata Muhammad Faiz Muntasir Muzil, 7, dikesan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.
Menurutnya, doktor memberitahu penyakit berkenaan tidak boleh dirawat kerana ruang asal jantung dipenuhi organ lain.

 

“Jantung Muhammad Faiz Muntasir berada di tengah-tengah, antara kedua-dua paru-parunya. Degupan jantungnya juga dapat dilihat dengan jelas,” katanya yang menjaga anak saudaranya itu sejak kecil, berikutan ibu bapa Muhammad Faiz bekerja di ibu negara.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Tiga sekolah masih ditutup di Hulu Terengganu – Bernama


Tiga sekolah masih ditutup di Hulu Terengganu

2013/01/02 – 16:24:07 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Tiga sekolah masih ditutup di negeri ini ekoran ditenggelami air sementara 28 lagi yang ditangguhkan penggal persekolahan baharu semalam telah dibuka hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga sekolah berkenaan terletak di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok.

“Jika keadaan beransur pulih, kesemua sekolah berkenaan akan memulakan sesi persekolahan esok. Cuaca dilihat semakin baik hari ini dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka kembali esok,” katanya kepada pemberita semasa melawat seorang murid Tahun 1 yang menghidapi masalah jantung, di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua sekolah yang ditutup semasa permulaan sesi persekolahan, perlu menggantikannya pada Sabtu ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, didapati para guru, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah pada jam 8.30 pagi tadi.

Guru Besarnya, Mohd Hassan Deraman berharap ekoran cuaca baik yang dialami sekarang, sekolah itu dapat dibuka semula esok. – BERNAMA

Kekal hukuman rogol anak jiran – Sinar Harian


Kekal hukuman rogol anak jiran

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Kekal hukuman rogol anak jiran
Mahkamah Tinggi menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 16 tahun, 18 sebatan terhadap Zulkefly selepas didapati bersalah sebelum ini merogol anak jirannya berusia 9 tahun 8 bulan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki terpaksa akur apabila rayuannya agar diringankan hukuman selepas didapati bersalah merogol anak jirannya sendiri yang baru berusia 9 tahun 8 bulan semasa kejadian, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman 16 tahun dan 18 sebatan terhadap tertuduh, Zulkefly Salleh, 44, dari Kampung Wakaf Baharu, Kelantan.

Terdahulu, Zulkefly yang berdepan tiga pertuduhan merogol mangsa pada tahun 2001 telah didapati bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada 12 Mei 2010.

Bagi pertuduhan pertama, Zulkefly didapati bersalah telah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun 8 bulan di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 4 November 2001.

Selain itu, Zulkefly juga didapati bersalah bagi pertuduhan kedua melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di rumah sama pada 16 November 2001 dan mengulangi perbuatan sama empat hari kemudian iaitu pada 20 November 2001.

Dengan itu, dia didapati bersalah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, Zulkefly yang sememangnya rapat dengan kedua orang tua mangsa meminta izin kononnya ingin membawa mangsa bersama seorang adiknya berusia tiga tahun bersiar-siar di kawasan kampung dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, dia telah mengambil kesempatan merogol mangsa sebanyak tiga kali pada hari berasingan di rumah lamanya itu, semasa mangsa tertidur di dalam bilik rumah berkenaan.

Pesta liar harga murah – Metro


Pesta liar harga murah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menggunakan laman sosial facebook sebagai medan mempromosi penganjuran pesta sambutan tahun baru di sebuah kelab di Kuala Ibai di sini.

Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Mohd Rozali Saleh berkata, pihaknya mengesan penganjuran aktiviti berkenaan di kelab terbabit berdasarkan risikan dan siasatan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.

“Promosi mengenai sambutan itu dilakukan melalui facebook dengan bayaran RM50 bagi setiap pengunjung.

“Bayaran itu murah berbanding pesta lain yang biasanya mencecah ratusan ringgit menyebabkan kami bimbang ia menarik minat ramai remaja Islam menyertai pesta yang boleh merosakkan akhlak mereka,” katanya ditemui dalam Operasi Bersepadu Sempena Sambutan Tahun Baru 2013, di sini, kelmarin.

 
Dalam operasi bermula jam 11 malam itu, empat wanita berusia antara 17 hingga 24 tahun ditahan kerana berpakaian tidak sopan ketika serbuan dilakukan di kelab terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02

Banjir: 31 sekolah di Terengganu ditutup – Bernama


Banjir: 31 sekolah di Terengganu ditutup

1 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 31 buah sekolah di Terengganu tidak dapat memulakan penggal baharu sesi persekolahan yang bermula hari ini yang menjejaskan 12,000 pelajar akibat banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata daripada 31 buah sekolah yang terlibat, 23 buah adalah sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

Beliau berkata, daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terbanyak membabitkan 13 buah sekolah diikuti daerah Besut sebanyak 12 buah dan masing-masing tiga buah sekolah di Kemaman dan Setiu.

Katanya sebab sekolah berkenaan ditutup ialah sama ada dinaiki air, menjadi pusat pemindahan sementara, masih dalam proses pembersihan selepas dijadikan pusat pemindahan dan terputus hubungan.

Beliau berkata sekolah yang dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periok, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, kesemuanya di Hulu Terengganu.

“Lain-lain sekolah iaitu SK Pasir Akar, SK Tok Raja, SK Bukit Jerok, SK Alor Keladi, SK Kampung Nangka, SK Tok Dor dan SK Keruak di daerah Besut,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar baharu di SK Tok Jembal di sini sempena pembukaan penggal persekolahan 2013 hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Pelajaran Hashim Mohd Zin.

Katanya sekolah yang masih menjadi pusat pemindahan sementara ialah SK Anak Ikan di Setiu, SK Seri Payong dan SK Tenang di Besut.

Beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok di Kemaman ditutup bagi proses pembersihan setelah menjadi pusat pemindahan banjir sebelum ini.

Sekolah yang terputus hubungan di Hulu Terengganu ialah SK Kuar, SK Felda Tersat, SK Bukit Taduk, SK Matang, SK Tengkawang, SMK Menerong, SMK Matang dan SMK Jenerih, di Kemaman ialah SK Padang Kubu, SK RKT Seberang Tayor, di Setiu ialah SK Pak Ba dan SK Sungai Las manakala di Besut ialah SMK Bukit Payong dan SMK Putera.

“Sehingga ini kita tidak tahu sampai bila sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka kerana ia bergantung keadaan banjir yang melanda. Kita harap banjir gelombang kedua ini cepat surut.

“Mana-mana sekolah yang ditutup itu, ia akan buat penggantian pada hari Sabtu,” katanya.

Katanya ibu bapa boleh menghubungi sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai sekolah anak-anak mereka.

Sementara itu, Hashim berkata, seramai 19,878 murid telah mendaftar bagi memulakan Tahun Satu bagi 2013 di 350 buah sekolah di seluruh negeri. – Bernama

Remaja mengaku curi barang kemas kakak – Sinar Harian


Remaja mengaku curi barang kemas kakak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013
Remaja mengaku curi barang kemas kakak
Remaja ini mengaku di Mahkamah Majistret di sini semalam, mencuri barang kemas milik kakaknya.

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku bersalah mencuri barang kemas dan wang tunai milik kakaknya.

Remaja berkenaan mengaku bersalah mencuri sebuah beg galas warna hitam mengandungi tiga urat rantai leher emas kanak-kanak; seutas rantai leher emas kasar dan wang tunai RM130 milik kakaknya, 33, di sebuah rumah di Kampung Tok Jiring, Gong Badak, di sini, 20 November lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan itu kira-kira jam 11 pagi.

Susulan pengakuan bersalahnya, dia boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, disebabkan dia merupakan kategori pesalah juvana, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rozianti turut membenarkan remaja terbabit diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, remaja itu mengaku menjual barang kemas yang dicuri di sebuah kedai emas berhampiran Pasar Pekan Batu Enam, di sini, dengan nilai keseluruhan lebih RM12,000.

Terengganu bantu pelajar cicir – Bernama


Terengganu bantu pelajar cicir

11 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu bersama Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan pelbagai program kemahiran bagi membantu pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik untuk mereka terlibat dalam bidang kemahiran tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program yang telah diwujudkan itu antaranya seperti Program Titian Bestari dengan menyediakan 3,000 tempat untuk pelajar Tingkatan Lima melajutkan pengajian mereka dalam bidang kemahiran tinggi.

“Kita wujudkan program latihan kemahiran dan dengan adanya kolej dan pusat latihan kemahiran itu, pelajar yang kurang cemerlang dalam akedemik juga mempunyai masa depan yang cerah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata demikian ketika menjawab soalan Ramlan Ali (BN-Setiu) yang ingin tahu jumlah murid yang tercicir di negeri ini berikutan pada setiap ceramah parti Pas, ia mendakwa keciciran pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri itu sebanyak 8.63 peratus.

Katanya, jumlah pelajar yang tercicir di negeri ini hanya 62 pelajar daripada 126,027 pelajar sekolah rendah yang tercicir iaitu 0.049 peratus manakala seramai 257 pelajar tingkatan satu hingga enam pula bagi sekolah menengah yang kebanyakannya murid Orang Asli.

Beliau berkata, kebanyakan murid yang tercicir kerana masalah kehadiran ke sekolah dan Jabatan Pelajaran Terengganu bersama kerajaan negeri dan beberapa pihak lain sentiasa memantau murid berkenaan agar sebarang tindakan perlu diambil bagi membantu mereka meneruskan pengajian.

“Pelajar yang tercicir dan kurang cemerlang dalam akademik,  kita akan bantu mereka kerana Yayasan Terengganu banyak menyediakan pusat-pusat kemahiran agar mereka dapat melanjutkan dalam bidang kemahiran,” katanya.

Ahmad Razif berkata, mengenai pencapaian pelajar luar bandar pula,  keputusan peperiksaaan Ujian Pencapian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini menunjukkan Terengganu telah mencipta sejarah apabila dapat  merapatkan jurang antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar.

“Siapa sangka Sekolah Kebangsaan Tapu terletak di Hulu Terengganu daripada 20 pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR, 16 daripada mereka telah memperolehi 5A.

“Ini sudah berlaku kecemerlangan dan kegemilangan kepada pelajar luar bandar di Terengganu,” katanya. – Bernama

Pasukan MyKids Terengganu ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun – Bernama


Pasukan MyKids Terengganu ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun

6 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Pasukan MyKids Terengganu berjaya mengiringi CIMB YFA untuk mara ke saingan suku akhir Kejohanan Juara antara Juara Bola Sepak bawah 12 tahun 2012 selepas muncul naib juara Kumpulan B.

Turut melangkah ke suku akhir kejohanan, MyKids Perlis (juara kumpulan A), Sabah (naib juara kumpulan A), Kedah (juara kumpulan C) dan Negeri Sembilan (naib juara kumpulan C).

MyKids Terengganu juga merupakan tuan rumah sekadar berpuas hati di tangga kedua kumpulan setelah tewas tipis 0-1 ke atas CIMB YFA pada perlawanan ketiga selepas mencatatkan kemenangan berganda ketika menumbangkan Mykids Kuala Lumpur (3-0) dan First Touch Pahang (4-0).

Namun pasukan yang dikendalikan Mat Noor Bidin itu bernasib baik apabila terlepas untuk bertemu juara bertahan musim lalu MyKids Perlis pada saingan suku akhir dan akan menentang juara Kumpulan C, MyKids Kedah esok pada 9.15 pagi di padang B, Kompleks Sukan, Gong Badak.

Aksi separuh akhir pula dijadual berlansung esok (Sabtu) di padang A Kompleks Sukan, Gong Badak manakala perlawanan akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Ahad ini, 3.30 petang – Bernama

Sibuk bukan alasan ibu bapa tiada masa pantau anak – Sinar Harian


Sibuk bukan alasan ibu bapa tiada masa pantau anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Disember 2012

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa diingatkan sentiasa memantau pergerakan anak terutama yang sedang menginjak ke usia remaja agar tidak tersalah memilih kawan sekali gus terjebak dalam gejala negatif.

Ini kerana, masalah sosial membabitkan remaja hari ini agak membimbangkan dan jika ia tidak ditangani segera mungkin berlaku masalah yang lebih serius kelak.

Justeru, didikan awal di rumah merupakan unsur yang perlu diberi penekanan selain memastikan anak lebih selesa menghabiskan waktu terluang di rumah berbanding bersama rakan sebaya lain.

Kakitangan swasta, Shukri Azmir Bakeri, 37, berkata, kesibukan tugas tidak harus dijadikan alasan untuk ibu bapa tiada masa untuk bersama keluarga.

“Perhatian ibu bapa bukan sahaja mampu mencegah anak daripada terlibat gejala yang tidak sihat, sebaliknya turut membantu pembesaran dengan lebih sihat,” katanya.