Geng Bas Sekolah tampil muka baru – Sinar Harian


Geng Bas Sekolah tampil muka baru

MARINA SAHABUDIN
30 Mei 2013
Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611
Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah tampil muka baru. – Foto ihsan ASTRO CERIA

BAGI penonton cilik, drama bersiri popular Geng Bas Sekolah (GBS) bukanlah asing di kalangan mereka lebih-lebih lagi ia sudah pun masuk musim kelima.

Pun begitu, pastinya berita sedih bagi pengikut setia drama yang disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611 ini kerana episod terakhirnya bakal menemui penonton Ahad nanti.

Mengimbas mengenai GBS musim ke lima, Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin memberitahu, pelbagai kelainan telah ditampilkan menerusi drama ini.

Jelasnya, meskipun barisan pelakon dari musim pertama sehingga keempat telah membawa GBS ke satu tahap, namun pihaknya mahu memastikan GBS musim lima lebih menonjol.

“Sebab itulah kita merombak semula pelakon yang ada, dari segi pemilihan pelakon ini kita mahu sesuatu yang segar dan baru dari mereka,” katanya kepada Zass.

Antara pelakon bagi GBS musim lima adalah adik Harris Alif yang memegang watak Jay, Jasmine Jessica Cross sebagai Chempaka, Brendan Gabriel Lai sebagai Bobby dan Muhammad Shahzuan

Aiman sebagai DJ.

Sementara itu, watak Abang Reza selaku pemandu bas lakonan Azrul Zaidi masih dikekalkan selain penampilan istimewa Mia Sara Nasuha sebagai Orked.

Bercerita mengenai pemilihan Mia pula, akui Hadzelynda, dia dipilih bukan kerana populariti yang dimiliki Mia semata tetapi kerana bakat yang ada dalam diri pelakon comel itu.

“Mia mengakui berminat menjadi pelakon GBS dan apabila di tawarkan watak ini, dia menerima dengan gembira.

“Malah kami sebagai pihak produksi sangat berbesar hati dengan kehadirannya,” katanya.

Karakter berbeza

Berkongsi mengenai watak yang diberi kepada pelakon GBS musim lima, jelas Hadzelynda, dia sangat berpuas hati dengan mutu dan kualiti lakonan yang dibawa kerana masing-masing berusaha menjadi yang terbaik.

“Seperti yang saya katakan, Mia sememangnya tidak sukar membentuk peranan yang diterima, begitu juga Harris.

“Tetapi untuk pelakon baru seperti Jessica, meskipun dia bukan berbangsa Melayu, tetapi dia dapat bertutur dengan baik.

“Kami juga terkejut apabila melihat dia bercakap Bahasa Malaysia dengan lancar,” katanya gembira pelakon GBS musim lima berjaya mewarnai karakter yang diterima.

Dalam pada itu, kata Hazelynda, bekerjasama dengan pelakon GBS musim lima tidaklah sesukar yang dibayangkan.

“Walaupun mereka kanak-kanak, namun mereka sangat komited dengan kerja.

“Lebih menarik mereka ini kreatif serta berani memberi idea kepada kami, malah mereka tidak bergantung kepada skrip semata-mata,” katanya.

Selit elemen komik

Sementara itu, menurut Hazelynda, GBS musim lima berbeza dari GBS musim satu hingga empat kerana wujudnya elemen komik dalam drama ini.

“Dalam satu-satu babak, terdapat elemen komik diselitkan, selain kelainan dari mana-mana GBS yang pernah disiarkan ia juga usaha kami untuk menarik minat penonton cilik menyaksikan drama ini,” katanya.

Ditanya adakah akan ada GBS musim ke enam pula, katanya, terdapat banyak permintaan untuk musim seterusnya.

“Bagaimana pun ia masih dalam perbincangan dan perancangan.

“GBS lima akan berakhir Ahad ini, jadi keputusannya akan dibuat selepas itu.

“Yang pasti, jika ia diterbitkan lagi, saya harap GBS akan terus diterima pengikut cilik di negara ini,” katanya.

Sedikit mengenai GBS, ia merupakan sebuah drama bersiri yang bercerita mengenai kisah penyiasatan yang tertumpu kepada kanak-kanak.

Galak sekolah, pengusaha kantin lain – Sinar Harian


Galak sekolah, pengusaha kantin lain

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Februari 2012

KULAIJAYA – Jabatan Pelajaran Johor menyambut baik usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai dekat Kampung Melayu, di sini, yang menjadi sekolah pertama di negara ini mengadakan Program Kantin 1Malaysia bermula 9 Februari yang lalu.

Pengarahnya, Mohd Nor A Ghani berkata, pihaknya menyokong dan memuji usaha Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya yang menjadi pencetus idea untuk merealisasikan program terbabit selain turut menerima cadangan dari PPD lain untuk mewujudkan pada masa akan datang.

Menurutnya, sekolah mahupun pengusaha kantin lain di negeri ini digalakkan untuk mencontohi sekolah berkenaan yang mana program tersebut berlandaskan konsep 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak.

“Program ini mengambil kira kepada sekolah yang mempunyai pelajar berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang mana menu makanan dan minuman dijual pada harga RM1 selaras dengan konsep 1 Malaysia.

“PPD Kulaijaya telah membentangkan perkara ini sebelum ini. Kami di peringkat jabatan tiada masalah dan mengalu-alukan usaha sedemikian yang mana dibuat berdasarkan kemampuan pelajar, sekali gus ia berupaya meringankan ibu bapa juga.

“Namun, biarpun terdapat menu makanan 1 Malaysia bernilai RM1, tetapi harga makanan lain yang lebih rendah dari harga tersebut juga perlu disediakan oleh pengusaha kantin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya, Fauzan Sukimi berkata, tercetusnya idea untuk mengadakan program itu sejak beliau bertugas di sebuah sekolah sebelum ini, di mana kebanyakan pelajar tidak makan pada waktu rehat kerana kekurangan wang.

Menurutnya, meskipun menu makanan terbabit berharga RM1, makanan tersebut tetap mengandungi khasiat dan kualiti yang diperlukan untuk pertumbuhan murid-murid sekolah bertepatan dengan slogan Murid Didahulukan, Kualiti Diutamakan.

“Kantin 1Malaysia turut mementingkan aspek 4 K iaitu kebersihan, keceriaan, kualiti serta kuantiti; dan 2 M iaitu murah dan mesra. Ini bermaksud ia turut mengutamakan persekitaran yang bersih dan mesra pelanggan serta kondusif.

“Untuk menjayakan program ini, keadaan kantin juga perlu berubah wajah dan kelihatan lebih ceria. Biarpun makanan dijual harga murah, tetapi murid-murid turut dilayan dengan mesra, selain menjadi medium atau tempat untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid-murid,” katanya.

Beliau berharap, lebih banyak lagi sekolah lain mencontohi SK Kulai untuk mewujudkan program Kantin 1Malaysia di sekolah masing-masing sebagai melambangkan keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Alimuddin dilantik Pengerusi KTAC – Berita Harian


Alimuddin dilantik Pengerusi KTAC

2012/01/16

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

BEKAS Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, dilantik sebagai Pengerusi Kolej Antarabangsa Cybernatic (KTAC).

Pelantikan beliau bertepatan dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki sepanjang tempoh 35 tahun berkhidmat bersama kementerian selain keupayaannya sebagai tokoh pendidik disegani.

KTAC dalam kenyataannya, pelantikan beliau diadakan dengan penuh meriah di kampus KTAC, di Taman Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelantikannya itu juga katanya, bertujuan meningkatkan jaringan akademik selain meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Seluruh warga kampus begitu menghargai kehadiran Alimuddin yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd sebagai peneraju kolej.