Pendam rasa hindari miliki telefon bimbit – Metro


Pendam rasa hindari miliki telefon bimbit

 61  0 Google +0  0  0

Jitra: “Sepanjang tempoh belajar di tingkatan lima, saya memang tidak memiliki telefon bimbit kerana bimbang kemudahan itu akan melalaikan hidup saya dan secara tidak langsung mengganggu tumpuan dalam mengulang kaji pelajaran.

“Walaupun teringin untuk memiliki telefon bimbit seperti pelajar lain, saya keraskan hati demi kejayaan dan masa depan. Alhamdulillah, semua pengorbanan selama ini membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan 9A+,” kata Aiman Naim Rosli, 18.
Aiman dari Kulim, antara lima pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (A+) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan, semalam.

 

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, keputusan untuk tidak memiliki telefon bimbit atas nasihat bapanya yang bimbang akan mengganggu fokus pembelajaran. kerana leka dengan kemudahan yang ada jika dibekalkan dengan teknologi komunikasi itu.
“Selain itu, saya tidak mempunyai sebarang resipi kejayaan, namun saya mempunyai satu prinsip iaitu sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan apa jua tugasan yang diberikan dan melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin. “Alhamdulillah… hari ini (semalam) segala usaha saya selama ini berhasil. Ini adalah hadiah kejayaan buat keluarga termasuk guru-guru yang tidak jemu memberi tunjuk ajar,” katanya.
Bapa kepada Aiman, Rosli Abd Hamid, 48, berkata, dia sering menasihatkan anaknya supaya sentiasa melakukan yang terbaik.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Anak tukang cuci dapat 5A UPSR – Bernama


Anak tukang cuci dapat 5A UPSR

19 November 2012

JITRA – Anak seorang tukang cuci, Ahmad Adli Fais Ahmad Kamal, 12, membuatkan ibunya, Amishah Ahmad, 45, seorang ibu tunggal menitiskan air mata apabila mencatat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ahmad Adli, anak bongsu daripada tiga beradik itu adalah antara 32 murid Sekolah Kebangsaan Jitra 3 (SKJ 3) yang memperoleh 5A yang diumumkan hari ini.

Beliau berkata kejayaannya itu kerana memberi tumpuan semasa guru mengajar di samping bertanya kepada rakan-rakannya.

“Saya berharap dapat menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu,” kata Ahmad Adli yang bercita-cita menjadi pegawai polis.

Sementara itu ibunya, Amishah yang bekerja di sebuah hospital di sini dengan gaji RM550 sebulan melahirkan rasa syukur dengan pencapaian anaknya itu walaupun mereka hidup susah.

“Kesusahan bukan alasan bagi saya untuk tidak memberi pendidikan kepada anak-anak walaupun ada masa saya mengeluh kerana tiada wang namun keluarga saya sentiasa membantu,” katanya semasa ditemui di SKJ 3, hari ini.

Katanya beliau sentiasa menemankan anak bongsunya itu belajar bagi memastikan dia sentiasa memberi tumpuan.

“Semua tiga anak saya diberikan didikan sama. Setiap hari saya berikan kismis sebanyak tujuh biji waktu pagi dan malam. Saya tidak mampu hantar mereka ke pusat tuisyen. Cukuplah dengan apa yang dipelajari di sekolah,” katanya.

Amishah berkata kejayaan Ahmad Adli juga mungkin didorong oleh kejayaan dua lagi anaknya yang mencatat 5A dalam UPSR. – Bernama