‘Saya tak akan sia-siakan pengorbanan ibu’ – Metro


‘Saya tak akan sia-siakan pengorbanan ibu’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

REMBAU: “Kepayahan ibu membesarkan kami empat beradik menjadi pembakar semangat saya sebagai anak sulung untuk mengubah kehidupan kami sekeluarga. Saya percaya hanya dengan pendidikan dapat membebaskan diri daripada kemiskinan,” kata pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (SMSR), Nurul Asyiqin Abdullah, 15, yang muncul antara 118 daripada 150 calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, semalam.

Nurul Asyiqin berkata, dia kehilangan ayahnya sejak berusia tujuh tahun dan segala tanggungjawab terletak di bahu ibunya, Siti Hafizah Mohd Hassan, 36, yang melakukan pelbagai pekerjaan seperti pengawal keselamatan, tukang masak dan menjual kuih-muih bagi menyara mereka sekeluarga.
Menurutnya, walaupun hidup serba kekurangan, ibunya amat menitikberatkan pelajaran dan sentiasa mengingatkan mereka adik-beradik bahawa pelajaran begitu penting bagi menjamin masa depan cerah.

 

“Ibu bekerja keras bagi memastikan kami dapat meneruskan persekolahan dan kadangkala mengikat perut kerana mahu berjimat cermat. Walaupun penat, ibu akan menemani kami adik-beradik mengulangkaji pelajaran.
“Sekali lagi keluarga kami diduga apabila doktor mengesahkan ibu menghidap radang urat saraf menyebabkan dia sukar berjalan dan tidak mampu melakukan kerja berat serta perlu menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Slip Peperiksaan Keputusan PMR di sekolah berkenaan.
Katanya, ibunya sanggup merahsiakan saat dimasukkan ke hospital dan dibedah Mac lalu dengan alasan tidak mahu dia bimbang hingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

 

 

“Bergenang air mata saya apabila pulang ke rumah dan ibu sudah selesai menjalani pembedahan. Namun, saya bersyukur pembedahan itu berjaya dan ibu dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Dalam pada itu, SMSR menunjukkan peningkatan tinggi apabila Gred Purata Sekolah (GPS) melonjak kepada 1.04 berbanding tahun lalu, 1.07 sekali gus meletakkan sekolah ini di tempat kedua terbaik di negeri ini selepas Kolej Tunku Kurshiah di Seremban.

 

Pencapaian cemerlang ini juga menjadikan daerah Rembau sebagai daerah terbaik pencapaian cemerlang PMR di negeri ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembong, Zaifulbahri Idris; Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Datin Naemah Dahalan dan Pengetua Kanan SM Sains Rembau, Norzila Idris.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

Belikan ibu baju raya guna duit sumbangan – Berita Harian


Belikan ibu baju raya guna duit sumbangan
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2011/08/11

AmBank sedia RM100,000 ceriakan anak yatim

KUALA LUMPUR: “Sudah lima tahun ibu tidak beli baju raya, jadi dengan sumbangan duit raya AmBank ini, saya berhajat untuk membelikan ibu baju raya,” demikian luahan seorang penghuni Rumah Amal Baitul Kasih, Rawang, Selangor, Mohd Zulhilmi Anuar, 17, yang menerima bantuan Hari Raya daripada Kelab AmBank Group (KAG), Kumpulan AmBank, di sini semalam.

Zulhilmi begitu sayu mengenangkan nasib ibunya, Saadiah Abbas, 44, yang bersusah-payah berniaga kuih-muih di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa bagi menyara kehidupan dia tiga beradik sehingga tidak mampu menyediakan persiapan bagi menyambut hari lebaran.

Kehidupan kami makin terdesak selepas ayah meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan saya dan adik-beradik terpaksa menjadi penghuni Rumah Amal Baitul Kasih – Mohd Zulhilmi Anuar, Penghuni Rumah Amal Baitul Kasih

Justeru, Zulhilmi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, terpanggil untuk melakukan sedikit pengorbanan dengan membelikan ibunya baju raya tahun ini dengan menggunakan sumbangan Kumpulan AmBank itu.

“Pendapatan ibu kira-kira RM500 sebulan dengan menjual kuih memang tidak mampu untuk membeli baju atau kuih raya setiap kali menyambut hari lebaran. Kebiasaannya, bapa saudara akan membelikan baju raya untuk ibu,” katanya.

Malah, katanya, kehidupan mereka makin terdesak selepas ayahnya meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia adik-beradik terpaksa menjadi penghuni Rumah Amal Baitul Kasih.

Selain Zulhilmi, KAG turut menyampaikan bantuan kepada 111 kanak-kanak lain, iaitu 35 orang dari Rumah Amal Baitul Kasih, 51 penghuni Keluarga Besar Norlina Alawi Bhd dan 25 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kasih Harapan, Petaling Jaya.
Bantuan berbentuk sumbangan RM150 untuk membeli keperluan baju raya di Mydin Wholesale Emporium, Sinar Kota serta RM50 duit raya diberikan kepada setiap seorang, selain pemberian RM200 untuk ibu tunggal dari Rumah Amal Baitul Kasih.

Naib Presiden KAG, Anuar Omar, berkata Kumpulan AmBank memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan itu, termasuk pemberian sumbangan RM5,000 kepada tiga rumah kebajikan terbabit.

Katanya, bantuan itu adalah tradisi Kumpulan AmBank dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat yang bukan saja untuk sambutan hari raya malah bagi perayaan lain juga.