Kantin 1Malaysia sedia menu RM1 – Berita Harian


Kantin 1Malaysia sedia menu RM1
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

2012/02/11

KULAIJAYA: Menu makanan dengan minuman berharga RM1 disediakan Kantin 1Malaysia Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai, mendapat sambutan hangat lebih 900 muridnya yang mempunyai tiga waktu rehat berbeza mengikut tahap persekolahan setiap hari.

Murid Tahun Empat, Nur Naemahtul Farah, 10, menyifatkan Kantin 1Malaysia yang dilaksanakan kelmarin, cukup unik apabila menyediakan pelbagai makanan pada harga yang cukup murah.

“Ia cukup baik untuk murid sekolah luar bandar kerana kebanyakan kami daripada keluarga berpendapatan rendah. Berbekalkan RM1, kami boleh makan dengan kenyang bagi mengalas perut sebelum masuk untuk sambung belajar selepas waktu rehat,” katanya yang membeli sepinggan mi goreng.

P Yogeswaran, 10, berkata, usaha kantin menyediakan menu membabitkan cita rasa pelbagai kaum itu amat baik kepada murid-murid sekolah itu.

“Selain nasi lemak dan mi goreng, ada pula bubur nasi serta roti canai dan rojak. Semuanya pada harga RM1 termasuk minuman, jadi kami boleh menyimpan lebihan wang saku yang ibu bapa bagi, ” katanya yang memilih rojak sebagai menu pilihan.

Rakannya, Joan Kong Man Yin, 10, yang memilih bubur nasi pula, menyifatkan menu yang disediakan pengusaha kantin sekolah itu sebagai luar biasa kerana boleh dinikmati mereka pada harga yang murah.

“Saya yakin, murid sekolah lain pun pasti suka jika Kantin 1Malaysia turut dibuka di tempat mereka, ” katanya.
Sementara itu, pengendali Kantin 1Malaysia SK Kulai, Azim Mohd Dom, berkata jualan menu RM1 itu tidak menjejaskan perolehannya, sebaliknya masa sama membolehkannya meringankan beban kewangan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Saya tidak fikir pengusaha akan mengalami kerugian hanya kerana menjual hidangan menu RM1 ini yang menjadi pilihan murid daripada keluarga berpendapatan rendah, ” katanya.

Azim berkata, bagi pelajar yang berkemampuan, mereka boleh memilih membeli pelbagai makanan lain yang ditawarkan pada harga biasa.

Katanya, bahan yang digunakan bagi menyediakan menu RM1 sama seperti masakan yang dihidangkan kepada guru sekolah berkenaan cuma kuantiti yang disediakan untuk murid dikurangkan sedikit.

“Sebagai contoh, bagi hidangan mi goreng, saya memasaknya sama dengan juadah yang dihidangkan kepada guru dan tidak pernah mengurangkan ramuan yang digunakan,” katanya.

Katanya, selain menu harian nasi lemak, mi dan nasi goreng, snek bijirin dengan susu dan sekeping kuih serta minuman, pakej menu RM1 itu disediakan berbeza setiap hari.

Beliau berkata, pada Rabu setiap dua minggu sekali, pihaknya akan menyediakan hidangan pelbagai kaum seperti roti canai, bubur ayam dan rojak.

Remaja hilang ikut teman lelaki – Sinar Harian


Remaja hilang ikut teman lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
Hilang

KULAIJAYA – Seorang ibu dari Kampung Melayu Sengkang, di sini merayu agar anak gadisnya pulang ke pangkuan keluarga selepas empat hari didapati hilang tanpa sebarang khabar berita.

Tukinah Mahmood, 49 berkata, anaknya, Nurul Shafiqa Abu Amin, 16, tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu selepas dia dikatakan mahu bermalam di rumah rakan baik­nya di Taman Manis, Kelapa Sawit, di sini.
“Jumaat lalu dia pulang ke rumah seperti biasa selepas balik dari sekolah, tetapi kemu­dian kira-kira jam 2.30 petang, dia keluar menaiki bas sekolah yang sering dinaiki dan turun di Pekan Kulai.
“Sudah puas kami menghubungi telefon bimbitnya namun gagal, malah rakannya yang berada di Taman Manis memberitahu Shafiqa tiada di rumahnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Tukinah berkata, salah seorang rakan Shafiqa yang tinggal berhampiran, menceritakan bahawa anak bongsunya itu ada memberitahu mahu lari dari rumah sambil mena­ngis teresak-esak pada hari kejadian, sebelum dia menghilangkan diri.
“Sebelum ini dia berkelakuan seperti biasa, malah tidak pernah merungut atau menceritakan sebarang masalah yang dihadapi,” katanya.
Katanya, akibat resah de­ngan kehilangan anaknya itu, dia dan suami bergegas ke rumah salah seorang buruh ladang warga Indonesia di kawasan berhampiran yang dikatakan mempunyai hubu­ngan dengan anaknya.
“Saya diberitahu, Shafiqa ada berkawan dengan buruh Indonesia bernama Mahsup yang bekerja di ladang berhampiran dan segera mencarinya di rumah buruh berkenaan.
“Namun setibanya di sana, kami dapati Mahsup sudah keluar dari rumah berkenaan dengan membawa semua pakaian dan telefon bimbitnya,” katanya.
Tukinah berkata, susulan kejadian itu beliau mengesyaki anaknya mungkin keluar dari rumah bersama lelaki berkenaan dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulaijaya pada 21 Januari lalu.
Dia berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar segera menghubunginya di talian 019-7364955.

Guru tadika maut tercampak keluar MPV – Berita Harian


Guru tadika maut tercampak keluar MPV
Oleh Adnan Ibrahim

2012/01/17

KLUANG: Seorang guru tadika wanita maut apabila tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama lima rakannya selepas dirempuh sebuah kereta lain di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Simpang Renggam di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan jam 4.15 petang di Kilometer 58 Jalan Machap-Simpang Renggam, mangsa, Zainun Maas, 44, mati di tempat kejadian akibat tercampak kira-kira lima meter hingga memasuki laluan lebuh raya bertentangan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman, berkata ketika kejadian, mangsa bersama lima rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Johor Bahru selepas menyertai satu program di Parit Raja dekat Batu Pahat.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diterima, Toyota Wish dinaiki mangsa dipandu seorang rakannya dikatakan berhenti secara tiba-tiba menyebabkan Toyota City yang mengekorinya tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan mereka.

“Rempuhan itu mengakibatkan pintu belakang Toyota Wish terbuka menyebabkan mangsa bersama seorang lagi rakannya tercampak keluar kira-kira lima meter,” katanya di sini, semalam.

Azmi berkata, mangsa mati di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kulai, sementara empat lagi rakan mereka cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Sementara itu, bapa mangsa, Maas Mohamad, 74, dari Pasir Panjang, Kulai, tidak menyangka akan menerima berita buruk mengenai kematian anak sulungnya selepas kali terakhir mereka bertemu akhir bulan lalu.
“Pemergian Allahyarham buat selama-lamanya pasti dirasai kami sekeluarga kerana beliau sering menjadikan suasana meriah di rumah setiap kali pulang bercuti ke kampung. Allahyarham rapat dengan saya dan selalu berhubung untuk melepaskan rindu,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan terakhir bulan lalu, anak perempuannya itu sempat menyerahkan cenderamata yang dibelinya dari China untuk mereka sekeluarga.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasir Raja, Kulai selepas bedah siasat di Hospital Kluang.