Kes liwat anak angkat dibicara bulan depan – Sinar Harian


Kes liwat anak angkat dibicara bulan depan

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Kes liwat anak angkat dibicara bulan depan
Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Mahkamah Sesyen Sungai Petani menetapkan 4 Februari 2013 sebagai sebutan semula kes liwat membabitkan seorang pekerja kilang besi terhadap mangsa yang juga merupakan anak angkatnya.

Lelaki berusia 45 tahun itu dituduh meliwat seorang budak perempuan berusia 11 tahun antara tarikh 24 November hingga 30 November 2012.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya sendiri di Kampung Kilang Sago, Kulim, Kedah.

Akibat tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Tertuduh merayu wang jaminan RM15,000 dikurangkan dengan alasan mempunyai dua anak dan pendapatannya sebagai pekerja kilang besi hanya kira-kira RM1,000 sebulan.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussin dihadapan Pendaftar Mahkamah, Balkhis Abdul Halim.

Tertuduh kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pelajar 15 tahun ditahan berasmara di belakang sekolah – Sinar Harian


Pelajar 15 tahun ditahan berasmara di belakang sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012

KULIM – Polis menahan seorang pelajar perempuan 15 tahun dan masih memakai uniform sekolah ketika berasmara dengan kekasihnya berusia 21 tahun di belakang sebuah sekolah menengah di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis menerima aduan dari orang awam sebelum menahan pasangan terlibat.

Ketika pemeriksaan dijalankan, polis mendapati pelajar perempuan sudah membuka tudung dan berkelakuan sumbang bersama teman lelakinya.

“Lelaki tidak bekerja dan tinggal bersama abangnya di sebuah taman perumahan di sini. Polis menasihati pasangan itu untuk tidak mengulangi perlakuan yang dilakukan sebelum mengarahkan mereka beredar,” katanya.

Tidak berakhir di situ, mereka kemudiannya ke rumah lelaki berkenaan dengan harapan selamat dari gangguan pihak berkuasa

Bagaimanapun, perbuatan mereka disedari penduduk dan memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk membuat serbuan.

Ketika serbuan, pasangan perempuan cuba menyembunyikan diri dalam almari baju gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan ditahan untuk dirakamkan keterangan.

Ghuzlan menasihatkan ibu bapa supaya bersikap lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab.

Katanya, semakin ramai pelajar perempuan ditahan kerana berkelakuan sumbang.

“Minggu ini sahaja, empat pelajar sekolah terdiri dari dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan berusia di antara 16 hingga 17 tahun ditahan polis bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) ketika membuat rondaan cegah jenayah.

“Mereka ditahan ketika berkelakuan sumbang di taman permainan di sini kira-kira jam 1 pagi.

“Dari soal siasat, pasangan itu mengaku ingin melakukan hubungan terlarang di taman permainan di mana mereka ditahan,” katanya.

KM cari waris tiga kanak-kanak ditinggalkan ibu bapa – Utusan


KM cari waris tiga kanak-kanak ditinggalkan ibu bapa
Musatafa Kamal Zainal Abidin (kiri) dan Mohd. Adam ditinggalkan ibu mereka kepada pasangan suami isteri di Kulim, Kedah.
KULIM 7 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan seorang ibu dan sepasang suami isteri untuk menyelesaikan kes tiga kanak-kanak yang dijaga sementara oleh dua keluarga di sini.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak JKM, Munirah Athirah Abdul Aziz berkata, dalam kes pertama, seorang wanita, Noraini Sarmadi, 47, dikehendaki mengambil kembali atau menyerahkan hak penjagaan dua anak lelakinya iaitu Mustafa Kamal Zainal Abidin, 9, dan Mohd. Adam Zainal Abidin, 7.

Katanya, kanak-kanak itu kini dijaga pasangan Hadzri Md. Yusuf, 47, dan Zarinah Mohd. Idris di Taman Bestari di sini.

“Alamat terakhir Noraini adalah di B-8, Kuaters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Kampung Boyan, 34000, Taiping, Perak,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bapa buntu cari anak bongsu – Sinar Harian


Bapa buntu cari anak bongsu

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Februari 2012
Bapa buntu cari anak bongsu

PERAI – “Saya bimbang akan keselamatan anak saya, saya mahu dia pulang dan bersekolah semula. Tambahan, tahun ini dia bakal menduduki PMR (Penilaian Menengah Rendah),” luah seorang bapa, Abu Bakar Bidin, 50, yang buntu selepas anak bongsunya, Nur Amira,15, tidak pulang ke rumah sejak hampir dua bulan lalu.

Abu Bakar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manis, di sini, berkata, anaknya dikatakan menaiki bas di Terminal Bas Penang Sentral, kira-kira jam 3.30 petang, 10 Januari lalu selepas tamat waktu persekolahan.

Menurutnya, maklumat itu diperoleh daripada dua rakan sekolah Nur Amira yang mengakui menghantar anaknya itu ke sana, namun, tidak diketahui destinasi yang dituju.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Inderawasih itu kini dipercayai berada bersama ibu kandungnya, Rohani Ahmad, 46, di Ipoh, Perak.

“Saya tidak tahu apa punca hingga dia (Nur Amira) sanggup bertindak keluar dari rumah. Saya pelihara dia dari kecil, sejak dia berumur enam tahun selepas berpisah dengan bekas isteri pada 2003 lalu.

Sepanjang tempoh itu kami tidak mempunyai masalah, malah dia merupakan anak kesayangan dalam keluarga, termasuk ibu tirinya.

“Bagaimanapun, perubahan ketara mula dilihat pada dirinya sejak Januari 2011. Dia yang sebelum ini seorang anak yang mendengar kata tiba-tiba menjadi seorang yang degil dan sering keluar hingga larut malam,” katanya.

Bekas pesara kerajaan itu berkata, anaknya itu pernah keluar dari rumah Februari tahun lalu dan tinggal bersama kakaknya di Kulim, Kedah selama sebulan dengan alasan mahukan kebebasan.

Nur Amira yang ketika itu bersekolah di SMK Agama Al-Masriyah, Bukit Mertajam, dikatakan sering ponteng, dan tidak sampai sebulan di sana, dia meminta bapanya menukarkannya ke SMK Kampung Dato’ Ahmad Said di Ipoh dan tinggal bersama ibunya, namun, anaknya itu didapati tidak ke sekolah sepanjang berada di sana.

Lantaran itu, dia mendaftarkan anaknya di SMK Taman Inderawasih bermula dari sesi persekolahan 2012 awal Januari lalu.

Abu Bakar berkata, pada mulanya Nur Amira itu ke sekolah seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, namun dia terkejut apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah pada hari kejadian.

Menurutnya, sejak kehilangan Nur Amira, kehidupannya menjadi tidak tenteram, apatah lagi dia mempunyai masalah kesihatan, kencing manis, jantung dan hati bengkak.

Disebabkan masalah itu juga, tahap kesihatannya semakin tidak menentu dan sering berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang dialami.

“Saya dan anak-anak lain sudah berusaha mencarinya, tetapi, tidak juga berjumpa. Telefon bimbitnya dimatikan, begitu juga ibu kandungnya. Pada 20 Januari lalu saya mendapat tahu Nur Amira ada di rumah neneknya di Pahang, tetapi, apabila ditanya, saya diberitahu dia tiada di sana dan sudah pulang ke rumah ibunya,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Perai 21 Februari lalu bagi meminta kerjasama polis untuk mencari anaknya.

Menurutnya, dia akan pergi ke Ipoh, Khamis ini untuk mencari anaknya, namun dalam masa sama meminta kerjasama orang ramai yang terlihat akan anaknya supaya menghubunginya di talian            019-4131639       atau             013-4071327      .