Pasangan kekasih masih bersekolah kena cekup di hotel – Sinar Harian


Pasangan kekasih masih bersekolah kena cekup di hotel

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Disember 2012
 Pasangan kekasih masih bersekolah kena cekup di hotel
Kereta yang dilarikan suspek.

LUNAS – Hasrat sepasang kekasih berusia 16 tahun dan masih bersekolah untuk melarikan diri dari keluarga masing-masing tidak kesampaian apabila ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sebuah hotel murah di sini kira-kira jam 10.30, malam kelmarin.

Suspek seorang remaja lelaki sebelum ini pernah bersikap agresif dengan memecahkan cermin kereta jenis Honda bapanya, kerana tidak berpuas hati dengan keluarga.

Bagaimanapun setelah dibaiki, suspek mengambil keputusan melarikan diri dengan menggunakan kereta itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis menerima maklumat dari orang awam setelah berjaya menemui kereta digunakan suspek untuk melarikan diri. Ia disorok di bahagian belakang hotel.

“Polis membuat semakan terhadap resit pembayaran dibuat oleh pelanggan yang menginap di hotel itu dan mendapati, suspek mendaftarkan diri kira-kira jam 9.15 malam.

“Polis kemudiannya membuat serbuan disalah sebuah bilik di tingkat satu hotel itu dan mendapati suspek dan kekasihnya berada di dalam.

“Sebelum ini waris pelajar perempuan terlibat sudah membuat laporan di Balai Polis Kulim apabila tidak pulang ke rumah dan dipercayai melarikan diri bersama suspek.

“Pasangan itu kemudiannya dibawa balik ke IPD untuk siasatan lanjut,” katanya.

Pengantin budak – Metro


Pengantin budak

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIA...Mohd Fahmi dan Nor Fazira dapat restu keluarga.
SEDIA…Mohd Fahmi dan Nor Fazira dapat restu keluarga.

KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu.

Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.
Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.

 

“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.
“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah bersedia menjadi seorang isteri.
“Daripada bergelumang maksiat dan melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman sekarang ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.

 

 

“Malah saya tidak menghalang sekiranya isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.
Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.

 

Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.
Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.
“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.
“Saya tidak kisah apa orang lain kata, penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.
Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.
Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.
“Hanya Allah tahu perasaan saya… walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.
“Anak saya bernikah pada 17 November lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.
Dia berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.
“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah Syariah Kulim.
“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22

Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal – Sinar Harian


Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal
Suspek (kanan) dibawa ke Balai Polis Padang serai sebelum dipindahkan ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

KULIM – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan di tempat meletak motosikal sekolahnya di sini dipercayai menaiki motosikal menggunakan enjin curi kira-kira jam 1.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika serbuan dibuat, suspek sedang menunggang motosikal dan cuba keluar dari kawasan sekolah.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis yang datang menghampirinya, suspek melarikan diri bagaimanapun polis yang turut menunggang motosikal berjaya memintas suspek sebelum ditahan.

“Dari pemeriksaan dijalankan mendapati rangka motosikal digunakan suspek adalah motosikal jenis lain manakala enjinnya pula dilaporkan hilang beberapa bulan lalu di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

“Suspek mengaku membeli casis motosikal itu dengan harga RM140 dari seorang pengusaha bengkel motosikal, manakala enjinnya dibeli dengan harga RM40 dari seorang kenalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Padang Serai sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Polis sedang memantau beberapa sekolah di mana ada dalam kalangan pelajarnya menggunakan motosikal curi.

“Mencuri motosikal adalah satu perlakuan jenayah serius dan ia boleh dihukum dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya prihatin terhadap kenderaan digunakan anak mereka kerana kebanyakan remaja kini membeli alat ganti dipercayai barang curi.

Menurutnya, sehingga kini polis sudah menahan beberapa pelajar sekolah kerana terlibat dalam kegiatan mencuri dan menggunakan motosikal  curi di sekitar Kulim dan mereka sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Pelajar sekolah bukanlah satu lesen untuk membolehkan mereka melakukan jenayah. Undang-undang tidak mengenal usia dan siapa mereka.

“Sekiranya mereka didapati memiliki motosikal atau alat ganti dikhuatiri dicuri, polis akan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Remaja nyaris maut bertembung kereta – Sinar Harian


Remaja nyaris maut bertembung kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 April 2012
Remaja nyaris maut bertembung kereta

KULIM – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Air Merah kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurut mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas, dia datang dari arah pekan Kulim menuju ke lampu isyarat jalan yang sama.

Mangsa berkata, tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja keluar dari selekoh untuk menyeberangi jalan sebelum bertembung dengan mangsa.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Taman Selasih. Tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja itu muncul menyebabkan saya tidak sempat membrek dan bertembung.

“Akibat rempuhan kuat, motosikal saya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.

Mangsa berkata, dia tercampak ke jalan bertentangan bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayop menasihatkan penunggang motosikal supaya tidak menunggang motosikal mereka dengan laju terutama di jalan lurus di sekitar pekan Kulim kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya terdapat kenderaan melintas atau keluar selekoh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian kedua-dua pihak. Pemandu dan penunggang motosikal seharusnya bersikap sabar ketika memandu kenderaan mereka,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa terlibat cuai dan tidak bersikap peka apabila memandu.

“Selain terlibat dalam kemalangan, kecuaian juga boleh mengakibatkan pengguna jalan raya lain terbunuh.

“Sehingga kini kebanyakan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. Ini adalah kerana penunggang motosikal terdedah kepada pelbagai kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya.