193 pelajar Orang Asli terima bantuan KWAPM – Bernama


193 pelajar Orang Asli terima bantuan KWAPM
20 September 2013

GUA MUSANG – Sebanyak 193 pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di sini menerima bantuan kewangan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) hari ini.

Setiap pelajar terbabit menerima RM700 yang disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof.

Ab Aziz berkata bantuan itu menunjukan keperihatinan kerajaan terhadap pelajar Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kita melihat tidak ada mana-mana kaum di negara ini yang tersisih daripada menerima bantuan kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno bahagian Gua Musang berkata pelajar masyarakat Orang Asli kini sudah sedar pentingnya mereka mempunyai pelajaran.

Beliau percaya lebih ramai pelajar Orang Asli akan berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.  – Bernama

RM201 juta bukti BN tidak gadai sistem pendidikan – Utusan


RM201 juta bukti BN tidak gadai sistem pendidikan

TUMPAT 20 Jan. – Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggadaikan sistem pendidikan di Kelantan meskipun negeri ini ditadbir kerajaan Pas Kelantan yang mempunyai perbezaan pandangan dan pendirian dalam soal politik sejak lebih 20 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Pusat sebaliknya menolak segala sentimen politik yang timbul dan berusaha membangunkan sistem pendidikan di negeri ini secara sama rata seperti yang dinikmati rakyat di negeri lain.

Tegas beliau, tahun ini sahaja sebanyak RM201 juta diperuntukkan kepada Kelantan melalui Bajet 2013 untuk memajukan lagi sistem pendidikan dan membantu rakyat miskin mendapat pembelajaran yang selayaknya.

“Kita mungkin berbeza pendapat, kita mungkin berbalah daripada segi politik tetapi pendidikan terlalu mahal, terlalu tinggi nilainya untuk dijadikan gadaian politik sebab itulah saya memberi jaminan bahawa bumi Kelantan akan terus mendapat perhatian dalam bidang pendidikan.

“Apa sahaja yang terhidang di negeri lain kita tetap memberi sama banyak, sebaik mungkin kepada Kelantan dan Alhamdulillah bidang pendidikan di Kelantan telah terbukti apabila mendapat tempat kedua di seluruh negara dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 guru dan ibu bapa dalam majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Nor Zahidi Omar dan Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan pendidikan yang diterima Kelantan tahun ini adalah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sebanyak RM 33 juta, bantuan makanan asrama (RM53.5 juta), bantuan awal persekolahan (RM35 juta), biasiswa pelajar (RM19 juta), program susu 1Malaysia (RM14 juta), rancangan makanan tambahan (RM26 juta), netbook (RM11 juta), baucer buku sebanyak RM5 juta dan wang ihsan (RM5 juta).

“Saya yakin dan percaya dengan bantuan Kerajaan Pusat, insya-Allah ramai anak bangsa kita akan dapat melakukan transformasi yang besar kepada diri sendiri kerana mereka ada peluang dalam bidang pendidikan,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau memberi peringatan bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang digunakan di negara ini yang selalu dikritik pembangkang terutama Pas tidak pernah mengabaikan pendidikan agama Islam malah pengisiannya memberi keseimbangan antara ilmu dan iman.

“Saya jangka bahawa kita tidak boleh politikkan pendidikan kerana dalam soal masa depan anak bangsa tonggaknya ialah ilmu, Allah telah menjanjikannya dan Allah tidak mungkir janji.

“Allah menaikkan martabat sesiapa yang berilmu. Begitu besar peranan ilmu dalam agama jadi kalau kita diperintah Allah untuk menjadi khalifah bumi, macam mana kalau tidak ada ilmu.

“Jadi inilah konsep kita walaupun kita kata sistem kebangsaan tetapi tujuan dan pengisiannya melahirkan anak bangsa yang beriman dan berilmu,” tambah beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130121/dn_03/RM201-juta-bukti-BN-tidak-gadai-sistem-pendidikan#ixzz2IZDHthcP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar terima zakat dari PWMK – Sinar Harian


Pelajar terima zakat dari PWMK

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Ogos 2012
Wan Ahmad ( enam, kiri) dan Wan Safinah ( lapan, kiri) bergambar dengan sebahagian dari pelajar SMK
Wan Ahmad ( enam, kiri) dan Wan Safinah ( lapan, kiri) bergambar dengan sebahagian dari pelajar SMK Puteri, yang menerima sumbangan zakat dari PWMK.

KOTA BHARU – Sejumlah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, dekat sini, gembira menerima zakat sumbangan Persatuan Wartawan Melayu Kelantan (PWMK) yang menyaksikan majlis itu diwarnai dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian lagu patriotisme, nasyid, bacaan al-Quran beramai-ramai dan sebagainya di dewan sekolah itu, baru-baru ini.

Pengetua SMK Puteri, Wan Safinah Wan Hamad berkata, pihak sekolah bangga dengan peranan yang dimainkan oleh PWMK bukan sahaja merealisasikan kursus kerjaya kewartawanan untuk mengembangkan bidang media massa dan penulisan yang profesional tetapi turut beramal di bulan Ramadan ini dengan aktiviti menderma kepada pelajar yang memerlukan bantuan.

“Kita memberi respons serta penghargaan yang tinggi kepada PWMK yang pertama di Kelantan memperlihatkan kesungguhan dalam aktiviti kebajikan sosial di bawah pimpinan presidennya, Dr.Alias Mohamed merupakan tokoh dermawan yang tidak asing lagi,’’ katanya ketika berucap di majlis itu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PWMK, Wan Ahmad Wan Hassan dan turut hadir setiausaha agungnya, Wan Fauzi Wan Mohamood, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah PPD Kota Bharu, Nik Suzila Nik Abdullah, para guru, ibu bapa dan lain-lain.

Wan Safinah berkata, sumbangan juga diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak terutama pelajar miskin dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan wang sedekah untuk meringankan beban keluarga pelajar yang miskin bagi menghadapi dunia pendidikan yang lebih kondusif dan signifikan.

Sementara itu, Nik Suzila berkata, pihak jabatan pelajaran memang berhasrat untuk melahirkan pelajar-pelajar yang tinggi pencapaian di bidang pendidikan dan yang pakar dalam pelbagai bidang profesional yang masih diperlukan oleh negara.

Sekolah, pelajar terima bantuan – Metro


Sekolah, pelajar terima bantuan
Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

KUALA KANGSAR: Kehangatan Program Kembara Jelajah Janji Ditepati (JJD) yang diadakan besar besaran di Taiping, hari ini, mula dirasai apabila beratus-ratus pelajar, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan sekolah di negeri ini menerima nikmat bantuan kewangan semalam.

Bantuan sampingan itu membuktikan kesungguhan kerajaan menolong ibu bapa dan pelajar selain bantuan tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP), bantuan persekolahan RM100, pemberian komputer percuma 1Malaysia dan pelbagai bentuk sumbangan lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Bahru, Datuk Hamdi Abu Bakar, yang merasmikan majlis itu berkata penduduk negeri ini perlu bijak menilai pemimpin yang benar-benar mampu memberi sumbangan serta mengotakan janji.

Menurutnya, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menunaikan janji dan tidak hanya bijak berkata-kata tanpa membuktikan kemampuan dimiliki.
“Kalau ingin menjadi pemimpin, mesti mampu menunaikan segala yang dikata dan janji yang dibuat. Tiada gunanya menabur janji semata-mata untuk menarik sokongan tetapi setakat janji kosong,” katanya pada majlis Program Kembara JJD di Arena Square, Pengkalan Baharu, pagi semalam.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada pelajar, PIBG dan sekolah di daerah itu untuk digunakan bagi memenuhi keperluan pendidikan.

Hamdi berkata, dia akan berusaha memberi bantuan sedaya mungkin kepada segenap lapisan masyarakat secara berterusan tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.
Adun Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad, pula menyampaikan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada lebih 50 penuntut institut pengajian tinggi awam di Dataran Sungai Perak, tengah hari semalam.

Wan Mohamad berkata bantuan itu diyakini mampu menaikkan semangat pelajar dan membantu golongan muda meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Ketua Konvoi Media Prima Berhad yang turut menyertai program itu, Noor Maida Mohamad, berkata pihaknya gembira kerana dapat menyertai misi jelajah di segenap pelosok kampung di negeri ini.

Kajian pelajar tak minat sains – Berita Harian


Kajian pelajar tak minat sains
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amaruddin

2012/02/12

IPOH: Masalah kemerosotan ketara minat pelajar dalam jurusan sains di sekolah akan ditangani melalui kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang sedang dilakukan dan dijangka siap seawal-awalnya akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan yang diberi tanggungjawab mengkaji bagi menambah baik sistem pendidikan itu akan mengemukakan pelbagai cadangan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu tidak terhad kepada isu bidang sains malah mata pelajaran lain, termasuk Matematik dan bahasa Inggeris.

“Kajian ini dibuat oleh pakar yang akan buat perakuan dan cadangan dan kita (kerajaan) akan mengambil (menerima) cadangan itu. Mungkin kajian ini boleh siap sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya selepas menghadiri Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak, sempena lawatan seharinya ke Perak, semalam.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan mok cek bernilai RM12 juta kepada Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Perak dan RM14.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Perak.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan kebimbangannya kerana walaupun kerajaan sudah memperkenalkan banyak inisiatif memajukan bidang sains, minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran berkenaan di sekolah semakin merosot ke tahap yang kritikal.

Bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains secara keseluruhan adalah kira-kira 37 peratus dengan 29 peratus yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan sains tulen.
Muhyiddin berkata, walaupun pada beberapa peringkat negara mencatat kejayaan agak membanggakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada beberapa pihak melihat Malaysia agak terkebelakang dibandingkan beberapa negara lain, oleh itu, kajian dibuat meletakkan mengukur sistem dan kejayaan sedia ada dengan penanda aras antarabangsa bagi mengetahui kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, beliau secara prinsip bersetuju menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah, iaitu RM100 sebulan.