Pelapis pakar aeroangkasa bermula dari sekolah – Bernama


Pelapis pakar aeroangkasa bermula dari sekolah

8 Julai 2013

MELAKA – Usaha menambah pakar dalam bidang aeroangkasa di negara ini perlu bermula di sekolah dengan memperkasa kurikulum sekolah rendah dan menengah terutamanya melibatkan bidang astronomi dan sains roket.

Profesor Fizik dan Astronomi Universiti Malaya Prof Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata pemerkasaan kurikulum itu memainkan peranan penting dalam memupuk minat lebih ramai pelajar dalam bidang aeroangkasa pada usia muda.

“Bidang aeroangkasa ini merupakan tunjang kepada penerokaan teknologi baharu pada masa kini. Seperti teknologi kapal angkasa merupakan tunjang kepada teknologi pembinaan kapal terbang lebih canggih dan kecekapan bahan api.

“Aeroangkasa pada abad ke-21 dan abad ke-22 merupakan teknologi terpenting, maka Malaysia perlu mula memupuk tenaga pakar di kalangan anak-anak kita bagi memastikan kita mempunyai ramai tenaga pakar dalam bidang ini pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Semalam dalam laporan khas Bernama, Prof Dr Yoshihide Yamada dari Akademi Pertahanan Negara Jepun menyuarakan kepentingan Malaysia mempunyai golongan belia yang meminati pengajian berkaitan angkasa untuk membolehkannya mencapai cita-cita menjadi peserta utama dalam industri aeroangkasa.

Mengulas pencapaian Malaysia dalam bidang aeroangkasa setakat ini, Mohd Zambri berkata bidang itu kini berkembang pesat di Malaysia terutamanya dengan penubuhan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) pada 2002.

“Angkasa bergiat aktif dalam mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan bidang aeroangkasa terutamanya kepada generasi muda dengan mengendalikan pelbagai pameran, seminar dan tidak lupa Planetarium Negara.

“Paling penting Angkasa terus terlibat dalam pembinaan satelit untuk kegunaan negara seperti satelit komunikasi dan penderiaan jarak jauh (remote sensing),” kata pakar dalam kajian berkenaan matahari ini.

Beliau berkata satelit ‘remote sensing’ Malaysia seperti TiungSAT dan RazakSAT memainkan peranan penting dalam memberi amaran awal kepada rakyat di negara ini terhadap bencana alam.

“Lebih banyak satelit seumpama ini perlu dihasilkan ditambah dengan pusat ‘remote sensing’ bagi memberi amaran awal mengenai ancaman tsunami atau cuaca buruk.

“Sistem amaran terhadap ribut solar yang mampu menjejaskan stesen janakuasa elektrik dan sistem komunikasi negara juga perlu mula diusahakan. Walaupun acaman ribut solar di Malaysia rendah kerana dekat dengan garisan khatulistiwa tetapi pada masa hadapan situasinya mungkin berbeza,” katanya.  – Bernama

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 Fokus 11 Anjakan – mStar


Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 Fokus 11 Anjakan

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan pada Selasa menggariskan 11 anjakan yang diperlukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara agar setaraf dengan sistem yang dimiliki di kalangan negara membangun bagi tempoh 13 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya melancarkan laporan awal pelan tersebut.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah: Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015.

* Peningkatan dalam kemahiran guru

* Kualiti pengajaran

* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

Inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Utusan


Inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 hari ini menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah:

Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015.

* Peningkatan dalam kemahiran guru

* Kualiti pengajaran

* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. – UTUSAN