Ibu bapa digalak jalani pemeriksaan cegah Sindrom Marfan – Bernama


Ibu bapa digalak jalani pemeriksaan cegah Sindrom Marfan

25 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan anak yang mempunyai simptom seperti kaki dan tangan yang panjang serta bentuk jari-jemari seakan labah-labah digalakkan menjalani ujian mengesan penyakit ‘Sindrom Marfan’, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Sae Kie.

Beliau berkata ‘Sindrom Marfan’ ialah penyakit genetik yang boleh menyebabkan masalah injap jantung berkembang sehingga mungkin mengakibatkan pesakit mati mengejut.

Pesakit biasanya dikesan menghidap penyakit, yang sudah mencapai tahap serius, kerana penyakit genetik ini tidak mudah dikesan pada peringkat awal,katanya.

“Oleh itu, jangan pandang ringan terhadap simptom-simptom itu, sesiapa yang mempunyai simptom sedemikian diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan di mana-mana hospital bagi pencegahan awal,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak menghidap penyakit ‘Sindrom Marfan’, Choong Kai Sheng, 11, di Hospital Selayang, hari ini.

Kai Sheng, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur setelah mengadu sakit dada lalu pengsan pada 21 Jun lepas, disahkan menghidap penyakit itu selepas ayahnya meninggal dunia secara mengejut pada dua tahun lepas.

Kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Selayang pada Jumaat lepas setelah keadaannya bertambah serius dan kini berada dalam keadaan koma.

Menurut Heng, selain Kai Sheng, dua lagi adik-beradiknya iaitu abangnya, Kai Yin, 14, dan adik perempuannya, Pui Leng, 9, turut disahkan menghidap penyakit genetik itu tetapi masih terkawal.

“Mereka sekeluarga termasuk ibunya akan menerima peruntukan daripada Yayasan Kebajikan Masyarakat di bawah kementerian sebanyak RM300 bermula 1 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Mohd Suhaimi A. Majid berkata apabila ibu atau bapa dikesan menghidap penyakit itu, risiko anak-anak yang menghidap penyakit ini adalah 50 peratus.

Beliau berkata walaupun peratusan penghidap penyakit ini adalah kecil, orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan di klinik ataupun hospital berdekatan dengan memberi sampel darah untuk mengesan penyakit genetik itu. – Bernama

Kanak-kanak naik kuda sebelum berkhatan – Bernama


Kanak-kanak naik kuda sebelum berkhatan

27 Mei 2012

KULIM – Satu acara yang agak unik berlangsung di sini hari ini apabila seorang kanak-kanak diarak menaiki kuda sebelum dia dikhatankan.

Mohd Ammar Sirajuden, 7, dibawa menaiki kuda di sekitar kawasan perumahannya di Taman Tunku Putra hampir sejam sebelum disunatkan.

Kuda tersebut disewa oleh bapanya dari sebuah ladang kuda di Seberang Perai Utara dengan bayaran RM350.

Menurut bapanya Sirajuden Zainal Abidin, 42, acara itu diadakan bagi menghidupkan semula tradisi masyarakat India Muslim di Selatan India yang kerap dilakukan selepas Perang Dunia Kedua.

“Saya mahu hidupkan tradisi ini pada majlis mengkhatan anak lelaki kedua saya iaitu Mohd Ammar,” kata peniaga mee ini.

Beliau dan isterinya Fauziah Banu Mohd Adam, 36, masing-masing berasal dari Pudhuvalasa, Selatan India dan Dammam, Arab Saudi.

Sirajuden berkata beliau sendiri dan adiknya diarak dengan kuda sebelum disunatkan di kampung asal mereka dengan susu diagihkan kepada jiran sekampung yang hadir pada majlis tersebut.

“Tradisi ini mungkin tidak diamalkan di Malaysia namun ia menjadi budaya masyarakat Islam di Selatan India. Kini ramai masyarakat India Muslim di negara ini melupai adat resam nenek moyang mereka itu,” katanya.

Abang kepada Sirajuden, Sattar juga berkata masyarakat India Muslim di Selatan India menggunakan sarang labah-labah sebagai ubat tradisi bagi menghentikan pendarahan yang banyak selepas bersunat. – Bernama