Lapan dituduh rogol, subahat – Sinar Harian


Lapan dituduh rogol, subahat
M FEISAL NORAWI & MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
30 Julai 2013
  • Lapan dituduh rogol, subahatKetiga-tiga suspek berusia 17 tahun ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibicarakan secara tertutup di Mahkamah Majistret Maran, semalam.
< 1 / 1 >

TEMERLOH – Lapan lelaki termasuk empat remaja di bawah umur dituduh di Mahkamah Sesyen Temerloh dan Mahkamah Majistret Maran semalam atas tuduhan bersubahat dan merogol seorang remaja berusia 14 tahun.

Di Temerloh, lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat dan merogol secara bergilir-gilir gadis berusia 14 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tanah lapang laluan masuk ke dalam ladang getah Bukit Kebuk, Maran di antara jam 2.50 pagi hingga 3.15 pagi, 22 Julai lalu.

Bagaimanapun, kesemua yang didakwa iaitu Muhammad Hafizzi Zulkarnain, 20, Mohd Amirul Farhan Mohamad Shahaimi, 19, Mohd Iqra Isman Kamsoha, 18, dan Muhammad Waliyuddin Ahmad Basri, 20 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan yang didakwa merogol remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Mohd Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula dituduh bersubahat merogol mangsa bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan dan empat lagi rakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(1) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hakim Habibah Mohamed Yusof mengarahkan kelima-lima tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Elyna Othman dan peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Mohd Amirul Farhan manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mohd Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan rogol terhadap mangsa bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan dan empat rakan juvana mereka pada hari dan tempat yang sama di antara jam 2.50 pagi hingga 3.10 pagi.

Sementara itu, Majistret  Mahkamah Majistret Maran, Muhammad Noor Firdaus Rosli mengarahkan tiga lagi tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Tertuduh, Seorang pelajar tingkatan lima dan dua lagi sebayanya yang tidak bersekolah masing-masing didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh masing-masing didakwa atas kesalahan di lokasi sama namun pada masa berlainan kerana melakukannya secara bergilir-gilir.

Muhammad Noor menetapkan sebutan semula kes pada 28 Ogos depan untuk rundingan pra bicara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Md Ali.

Pada 23 Julai lalu, kesemua lapan suspek kes rogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Kebuk berjaya ditahan pihak polis dan ditahan reman sehingga 26 Julai untuk membantu siasatan.

Tiga daripada suspek berkenaan ditahan di tempat kejadian kira-kira jam 3 pagi itu sementara lima rakan suspek lain pada keesokan harinya.

Ibu, tiga anak ditemui rentung – Berita Harian


Ibu, tiga anak ditemui rentung

2013/02/06 – 00:28:12 AM Oleh Jalal Ali Abdul RahimCetakEmel Kawan
Sungai Siput: Seorang ibu bersama tiga anaknya rentung dalam kebakaran rumah sewanya di Taman Bukit Medan di sini, semalam, lima hari selepas suami wanita itu meninggal dunia akibat kanser paru-baru.

Mayat S Jayalatchumy, 45, dan anak lelakinya, R Suhan, 17, serta dua anak perempuannya, Puvaneswary, 21, dan Thilagawati, 23, ditemui di ruang dapur rumah berkembar setingkat oleh anggota bomba.

Mayat ditemui berdekatan antara satu sama lain, termasuk dua mayat dalam keadaan berpelukan.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 12.10 tengah malam yang diikuti letupan sehingga mengejutkan penduduk taman berkenaan.

Mayat empat beranak itu ditemui di atas lantai ruang dapur selepas pasukan bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 12.57 tengah malam.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

Suami Jayalatchumy, M Rajan, 48, meninggal dunia, Jumaat lalu. Keluarga itu menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu dirancang oleh mangsa kerana mereka dikatakan terlalu sedih selepas kematian Rajan.

Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengambil tindakan sendiri dan melulu kerana terlalu sedih dengan kematian suami dan bapa mereka beberapa hari lalu.

Apapun, itu satu kemungkinan saja dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut, katanya di sini, semalam.

Bedah siasat ke atas mayat empat beranak itu mengesahkan kematian akibat kebakaran teruk dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, sebelum ini Jayalatchumy membantu suaminya di ladang getah milik mereka. Suhan pula masih bersekolah manakala dua kakaknya tidak bekerja.

Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan kuat berpunca daripada tong gas tetapi polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Zon Pusat Perak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pegawai Kanan Bomba I Rushisha Haris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah malam.

Belajar agama dalam ladang getah – Sinar Harian


Belajar agama dalam ladang getah

ERMA YUSNIDA JUSOH
3 Disember 2012
Belajar agama dalam ladang getah
Peserta program mendengar penerangan cara mencari arah kiblat menggunakan kompas oleh fasilitator.

KUANTAN – Mendalami Islam tidak terhad di dalam kelas sahaja malah alam semula jadi juga boleh menjadi faktor meningkatkan ilmu berkaitan.

Justeru, Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Pasdec Damansara mengambil inisiatif mengadakan aktiviti merentas ladang getah sejauh 5.5 kilometer sambil belajar agama.

Antara pengisian aktiviti ialah  Celik Dhuha, Celik Kiblat dan Celik Wuduk melibatkan penyertaan 50 peserta dari pelbagai peringkat usia.

Pengarah program, Maria Alfah Mohd Abdullah Koi berkata, program kali kedua itu memberi peluang kepada peserta terutama kanak-kanak mempelajari kaedah bertayamum dan mengenal arah kiblat.

“Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta belajar Fardu Ain tetapi mengisi cuti persekolahan bersama keluarga,” katanya ketika ditemui selepas program itu, semalam.

Sebelum ini, katanya, aktiviti seumpama itu diadakan di Bukit Pelindung dan ternyata berjaya memberi pengalaman baru sekali gus bakal menjadi aktiviti wajib kepada penduduk di sini pada masa akan datang.

Sementara itu, peserta,  Khairiah Abdul Majid, 50, berkata, pertama kali menyertai aktiviti lasak itu mendedahkannya kepada pengalaman baru selain cara beriadah yang lebih bermanfaat.

Khairiah juga mengakui merentasi ladang getah sejauh 5.5 kilometer bersama keluarga adalah peluang terbaik bersama keluarga terutama ketika cuti sekolah.

“Selain dapat bersukan, pengisian program juga sangat meningkatkan ilmu mengenai kepentingan mengetahui arah kiblat dan mengambil wuduk ketika berada di hutan,” katanya.

Bagi peserta cilik, Muiz Safwan Mohd Azmie, 9, walaupun kali kedua menyertai program merentas hutan itu namun pengalaman yang diperoleh berbeza dari sebelum ini.

“Saya dapat menimba pengetahuan baru mengenai cara mengenal arah kiblat dan berwuduk di dalam hutan,” katanya.

Muiz juga akan berkongsi suka dukanya merentas ladang getah bersama rakan lain di sekolah.