Guru hilang ditemui di ladang – Metro


Guru hilang ditemui di ladang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita yang hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Kinrara menghala ke Bukit Jalil Rabu lalu, ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, kelmarin.

Mangsa, Teoh Soo Kim, 56, keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lalu dengan menaiki kereta Proton Saga sebelum dia gagal dihubungi keluarga.
Sumber polis berkata, selepas menunggu beberapa jam, suami mangsa yang dikenali sebagai Teng, 48, bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, akibat risaukan keselamatan mangsa, ahli keluarganya turut menyalurkan maklumat bagi meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mangsa melalui laman sembang sosial.
“Akhirnya dengan bantuan orang ramai, mangsa ditemui 11 pagi kelmarin di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dalam keadaan tidak bermaya.
“Polis menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan kecemasan dan kini mangsa berada dalam keadaan koma,” katanya.

Beliau berkata, bagi membuat pengecaman, suami mangsa diminta datang ke Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan polis masih mengesan kereta milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada suami mangsa, lebih RM1,000 dikeluarkan daripada akaun bank milik wanita itu di sekitar Bandar Kinrara.

Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu! – Sinar Harian


Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu!

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mei 2012
Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu!
Guru ibarat lilin, terima kasih cikgu!

“MAK, besar nanti adik nak jadi cikgu, adik nak didik masyarakat jadi bijak,” antara ungkapan dituturkan semasa kecil yang masih terlekat di benak fikiran penulis. Guru, cikgu, teacher, sir atau lain-lain panggilan menghiasi kamus dunia pendidikan. Sejak dahulu lagi profesion perguruan dianggap kerjaya popular dan paling utama berbanding lain.

Ingat tak ungkapan ini wahai pembaca sekalian: “Lahirnya pendeta kerana guru, lahirnya imam kerana guru dan lahirnya perdana menteri kerana guru.” Semuanya guru. 16 Mei pastinya menjadi detik indah kepada insan bergelar guru. Ucapan terima kasih cikgu akan dilontarkan murid-murid dan pelajar sebagai tanda penghargaan di atas segala pengorbanan mendidik yang amat dibutuhkan. Citra minggu ini membawa pembaca merasai momen bersama muddaris (guru).

Kesusahan itu pendorong

Guru mata pelajaran Matematik dan Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran, Sandakan, Sabah, Wan Nur Syamimi Wan Mat, 27, mengakui perasaannya sebaik sahaja menerima surat tawaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bercampur baur antara sedih dan teruja untuk mendidik anak bangsa.

“Mula-mula dapat surat posting ke Sabah, timbul bermacam perasaan sebab terpaksa berjauhan dengan keluarga. Terfikir di benak ini bagaimanakah nasib ketika di sana kerana Negeri Bawah Bayu itu tidak pernah dijejak.

“Saya sematkan dalam hati masa mula-mula mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) walau di mana pun saya dihantar, akan cuba lakukan yang terbaik. Tetapi tidak terjangkau pula akhirnya saya mengajar di kawasan pedalaman yang jalannya berbatu, berlubang teruk, keadaan sekolah dalam kawasan ladang kelapa sawit. Sekolah pula diperbuat daripada kayu berbentuk seperti rumah panjang,” katanya yang mula mengajar sejak 2009 lagi.

Menurutnya, pelajar-pelajar di sini amat dahagakan ilmu, kesusahan langsung tidak menjadi penghalang kepada anak-anak di sini untuk belajar. Cuba anda bayangkan dalam kalangan mereka ada yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana jaraknya yang jauh, tetapi mereka tetap mengulang kaji di rumah. Ibu bapa di sini tidak menghalang anak mereka untuk datang ke sekolah.

“Saya seronok berada di sini, melihat wajah pelajar yang bercahaya dan naif dalam menuntut ilmu menjadikan saya bersemangat. Lagi pun keputusan peperiksaan mereka memberangsangkan sungguh pun kekurangan kemudahan pembelajaran,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Bukan pilihan akhir

Sementara itu Rosli Mujni, 46, guru mata pelajaran Bahasa Melayu, berpengalaman hampir 23 tahun lamanya dalam dunia pendidikan berpendapat, terdapat perbezaan guru dahulu dan kini.
Ramai yang menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan akhir akibat tidak mendapat pekerjaan.

“Setiap pekerjaan di dunia ini bermula dengan guru, jangan musnahkan kemuliaan bidang pendidikan dengan menjadikan ia sebagai sandaran dalam mencari rezeki. Masyarakat perlu mengubah persepsi sedemikian.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri, semasa mula-mula menjadi guru, saya lihat bagaimana murid atau pelajar terlampau bergantung kepada cikgu. Maksudnya, setiap benda yang dilakukan pasti ada pendidik. Erat sangat perhubungan itu sehinggakan pelajar boleh datang bertandang ke rumah guru,” kata Rosli membuka cerita.

Menurutnya, kukuhnya hubungan pendidik dan anak didik. Ibu bapa juga sanggup tumpang sekaki belajar bersama anak-anak. Gembiranya saat itu, namun kini dek kerana kebejatan teknologi yang semakin canggih ibarat kata ‘dunia di hujung jari’ menyebabkan tugas pendidik dilihat hambar. Kita biasanya terbaca sajak atau kata-kata puitis diciptakan untuk guru, tapi itu hanya di kertas. jika benar jasa guru dihargai kenapa perlu ada kes bapa saman cikgu?

Pastikan yang terbaik

Mula mengajar sejak 1987, sekolah pertama adalah Sekolah Kebangsaan Clofford, Kuala Lipis, Pahang memberikan perubahan besar dalam hidup Rosjasmi Abdullah, 50, terhadap bidang pendidikan. Lahir dalam keluarga mendominasi kerjaya guru semakin menguatkan azam beliau untuk menjadi guru terbaik.

Ros seorang yang gemar mempelbagaikan corak pengajaran berpendapat, setiap murid itu tidak sama daya tumpuannya. Sebagai contoh apabila mengajar subjek Bahasa Melayu perlulah menggunakan cara bersesuaian. Apabila wujudnya keserasian barulah murid akan mudah faham.

“Saya pernah berdepan dengan murid yang tidak tahu membaca, murid ini perlu diasuh dan dididik dengan lembut, jadikan rakan mereka yang pandai membaca sebagai individu yang perlu dicontohi. Pada saya, anak-anak ini di sekolah lebih rapat dengan kawan-kawan seangkatan, sebab itu saya pastikan murid di bawah jagaan saya berkawan dengan individu yang mampu mengajar mereka bersama,” kata Ros.

Sesuai dengan tema hari guru tahun ini, “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Guruku, jasamu tidak mampu kubalas.

Nor Ain dibunuh dua minggu lalu – Kosmo


Nor Ain dibunuh dua minggu lalu

 

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

 

Nor Ain suka memakai pakaian seperti lelaki.

 

KOTA BHARU – Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang rangka mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang dekat sini pada Isnin lalu dipercayai telah dibunuh dan dibakar dalam tempoh dua minggu sebelum rangka mangsa ditemui.

 

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada gadis tomboi itu dibakar hidup-hidup atau mangsa dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar.

“Setakat ini, kita mendapati Nor Ain dan motosikal miliknya dibakar. Polis menemui rangka motosikal mangsa yang hangus dan tulang-tulang manusia termasuk beberapa barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa ada kaitan dengan dadah dan orang yang dikenalinya.

Kosmo! semalam melaporkan misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka Nor Ain ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.

Nor Ain yang sudah tidak bersekolah, sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya sejak 3 April lalu.

Jarak rangka Nor Ain ditemui dengan rumahnya kira-kira 500 meter.

Ekoran penemuan itu, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

 

Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata, polis dalam proses menahan beberapa suspek lain bagi membantu siasatan pembunuhan Nor Ain.

Remaja hilang 21 hari ditemui rentung terbakar – Utusan


Remaja hilang 21 hari ditemui rentung terbakar

GUA MUSANG 24 April – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi sejak 21 hari lalu terjawab apabila rangkanya ditemui bersama motosikal yang terbakar dalam ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh di sini kelmarin.

Tulang dan rangka remaja berusia 15 tahun itu ditemui seorang pemandu lori membawa muatan kelapa sawit dalam keadaan berselerak pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berikutan pembunuhan kejam itu, polis menahan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun awal pagi semalam bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan dipercayai mengenali mangsa dan dikatakan bersama dengan remaja itu semasa dia menghilangkan diri dari rumah. Lima daripadanya termasuk seorang wanita didapati positif mengambil dadah,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

Remaja hilang 21 hari ditemui rentung terbakar – Utusan


Remaja hilang 21 hari ditemui rentung terbakar

GUA MUSANG 24 April – Misteri kehilangan seorang remaja perempuan, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi sejak 21 hari lalu terjawab apabila rangkanya ditemui bersama motosikal yang terbakar dalam ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh di sini kelmarin.

Tulang dan rangka remaja berusia 15 tahun itu ditemui seorang pemandu lori membawa muatan kelapa sawit dalam keadaan berselerak pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, berikutan pembunuhan kejam itu, polis menahan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun awal pagi semalam bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan dipercayai mengenali mangsa dan dikatakan bersama dengan remaja itu semasa dia menghilangkan diri dari rumah. Lima daripadanya termasuk seorang wanita didapati positif mengambil dadah,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN