Abang temui adik tidak bernyawa – Sinar Harian


Abang temui adik tidak bernyawa

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Februari 2012
Abang temui adik tidak bernyawa

JENGKA 1 – Seorang budak orang kurang upaya (OKU) yang dikhuatiri hilang, ditemui mati dipercayai terjatuh ke dalam parit oleh abangnya di Felda Jengka 1.

Mangsa, Norshahida Abdul Razak, 11, dikatakan tidak pulang ke rumah sejak jam 4 petang kelmarin, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa sekitar jam 8 malam hari yang sama.

Ibu mangsa, Zulaina Mat Ali, 41, berkata, pada jam 2 petang kelmarin, mangsa masih lagi berada di rumah, tetapi keluar selepas itu berkemungkinan menuju ke rumah rakannya di kawasan berdekatan.

“Ketika dia keluar, waktu itu hari sudah mula hujan. Datuknya yang ketika itu melihatnya berjalan keluar rumah melarangnya, tetapi tidak diendahkan. Ketika hujan semakin lebat sekitar jam 4 petang semalam (kelmarin), jiran ternampak Norshahida seperti dalam perjalanan pulang lalu memanggilnya, tetapi memang tabiatnya tidak suka menyahut panggilan orang,” katanya.

Zulaina berkata, mengikut kata jiran, mangsa dilihat tidak memasuki simpang menuju rumahnya, sebaliknya berpatah ke laluan lain.

“Mungkin ketika itu hujan lebat, maka dia takut untuk pulang ke rumah dan berpatah balik. Mungkin mencari tempat berteduh buat sementara. Itulah kali terakhir jiran melihat kelibatnya. Apabila hari semakin gelap, saya mula bimbang kerana dia masih tidak pulang. Saya kemudiannya memberitahu pihak Rela supaya membantu mencarinya,” katanya.

Zulaina yang juga ibu tunggal berkata, selepas itu dia bersama anak sulungnya terus mencari mangsa di kawasan kejiranan dan juga di dalam ladang.

“Puas kami mencari sekitar jam 8 malam. Bagaimanapun saya pulang dulu ke rumah kerana tidak larat lagi mencari tetapi anak sulung teruskan pencarian. Entah bagaimana, anak saya memberitahu, dia terfikir untuk menyuluh ke arah parit dan ketika itulah dia nampak kaki adiknya, tetapi sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Menurutnya, selepas dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, doktor mengesahkan Norshahida meninggal disebabkan kecederaan teruk di kepala dan bukan disebabkan lemas.

“Mungkin disebabkan hujan lebat petang semalam (kelmarin), arwah tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit yang dipenuhi dengan batu konkrit,” katanya.

Menceritakan saat-saat terakhir arwah, Zulaina berkata, malam sebelum anaknya ditemui mati, arwah sempat mengurut kakinya, malah arwah juga merenung tajam abangnya sebelum keluar seolah-olah tahu akan meninggalkan mereka sekeluarga.

Mangsa yang merupakan anak keempat dari lima beradik menghidap Sindrom Down dan bersekolah di Sekolah Khas Felda Kota Gelanggi 2. Jenazahnya dikebumikan sebelum Zohor, semalam dan hadir melawat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Tiga beradik tidak sekolah kerana miskin – Kosmo


Tiga beradik tidak sekolah kerana miskin

K. Murugaya dan isterinya, Janaki serta dua anaknya, Arjunan (kiri) dan Mawani di hadapan rumah sewa mereka di Ladang Geddes, Jempol.

 

JEMPOL – Ketika rakan sebayanya pergi ke sekolah, tiga beradik di Ladang Geddes, dekat sini terpaksa melupakannya kerana ibu bapa mereka berhadapan kemelut kewangan.

Tiga remaja berkenaan, M. Guna, 15, M. Arjunan, 14 dan M. Mawani, 11 sekadar tumpang gembira mendengar cerita rakan yang bersekolah dan sesekali meminjam buku untuk mengetahui apa yang dipelajari di sekolah.

Sebelum ini Guna dan Arjunan pernah bersekolah sebelum mereka terpaksa berhenti pada tahun 2009 kerana kesempitan wang, manakala Mawani pula tidak bersekolah langsung.

Bapa mereka, K. Murugaya, 47, be rasa sedih apabila memikirkan masa depan anaknya yang tidak menentu.

“Saya tidak bekerja kerana berhadapan masalah kesihatan. Saya menghidap penyakit jantung dan pergerakan juga tidak normal.

“Seluruh badan saya kini lemah dan tidak mampu melakukan kerja berat,” katanya di sini semalam.